Generasi muda Umno diamanah capai Wawasan 2020
Umno menyambut ulangtahun yang ke-60 hari ini dengan laungan 'Hidup Melayu' bergema memenuhi padang Istana Besar Johor (tempat lahirnya Umno pada 11 Mei 1946) dengan amanah penting kepada generasi muda parti itu supaya memastikan matlamat Wawasan 2020 dicapai.
Umno menyambut ulangtahun yang ke-60 hari ini dengan laungan 'Hidup Melayu' bergema memenuhi padang Istana Besar Johor (tempat lahirnya Umno pada 11 Mei 1946) dengan amanah penting kepada generasi muda parti itu supaya memastikan matlamat Wawasan 2020 dicapai.
Padang bersejarah tersebut dibanjir lebih 30,000 ahli dan pemimpin Umno yang datangnya dari seluruh negara untuk bersama-sama menyambut hari ulangtahun Umno kali ke-60 yang turut dihadiri oleh Sultan Johor.
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam amanatnya berkata, Allahyarham Datuk Onn Jaafar telah menghadiah 'perpaduan orang Melayu' sehingga membawa kepada penubuhan Umno, manakala Tengku Abdul Rahman pula telah berjuang untuk menghadiahkan 'kemerdekaan' kepada orang Melayu.
Oleh itu, beliau mahu seluruh ahli dan pemimpin Umno untuk sama-sama bekerja keras untuk menjayakan matlamat mencapai Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju.
Katanya, kejayaan itu nanti akan merupakan satu lagi 'hadiah' kepada orang Melayu khasnya dan rakyat Malaysia amnya, yang terus menerus memberi kepercayaan kepada Umno untuk memimpin mereka dan negara ini.
Generasi muda
"Dulu pemimpin Umno telah menghadiah kepada bangsa kita apa erti perpaduan dan apakah nilai kemerdekaan hasil perjuangan mereka kepada bangsa dan negara.
"Dan kita ada Wawasan 2020. Jadikanlah Wawasan 2020 sebagai satu yang mesti kita capai. Pada tahun 2020 kita mahu hadiahkan kepada bangsa kita sebuah bangsa yang maju dan sebuah negara Malaysia yang maju.
"Janganlah kita kehilangan peluang ini. Jadikan ini adalah misi generasi sekarang, misi nasional kita yang mesti kita pikul di atas kesedaran bahawa kita mahu menjadi bangsa yang maju dan merdeka pada tahun 2020," katanya disambut tepukan gemuruh hadirin.
Dengan itu, katanya, apabila menjelang tahun 2020, pemimpin Umno dapat bangun dengan bangga untuk mengumumkan kepada seluruh rakyat 'bahawa kita telah mencapai matlamat Wawasan 2020'.
"Amat malu dan juga memalukan jika pada waktu itu pemimpin kita bangun dengan pelbagai alasan yang panjang lebar, meminta maaf kerana apa yang diharapkan tidak tercapai.
"Dan lebih malu lagi apabila Umno pula didesak supaya jangan mengumumkan kepada orang Melayu kerana belum bersedia... Mahu tidak mahu, kita tidak ada pilihan...kejayaan Wawasan 2020 itulah yang menjadi pilihan kita," tambahnya.
Untuk mencapai matlamat tersebut, Abdulah tidak mahu usaha ke arah itu dinodai oleh perbuatan rasuah, penyelewengan dan apa juga yang tidak memberi manfaat kepada rakyat, khususnya orang Melayu.
Buktikan kepintaran
Perdana Menteri yakin matlamat itu akan dapat dicapai berikutan kemunculan masyarakat saintis dan teknologis Melayu serta kejayaan yang mereka tunjukkan dalam pelbagai bidang, khususnya dalam bidang penyelidikan.
"Ramai yang sudah menjadi pakar dalam bidang kedoktoran dan sebagainya, dan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) kini diketuai oleh anak-anak Melayu. Mereka telah membuktikan kepintaran mereka, sama ada semasa belajar dalam negeri atau di luar negeri.
"Hasil pendidikan, usaha dan rancangan mereka telah menambah kejayaan kita, dan dapat mewujudkan sumber pendapatan dan kekayaan baru kepada negara," tambahnya.
Beliau mengambil industri kelapa sawit sebagai contohnya di mana hasil penyelidikan yang dijalankan oleh rakyat Malaysia sendiri, khususnya anak-anak Melayu, industri tersebut kini memberi kekayaan kepada negara hasil daripada pelbagai produk yang dihasilkan daripada pokok kelapa sawit.
Sementara itu, baginda Sultan Johor ketika bertitah di majlis tersebut mengingatkan orang Umno, terutama generasi muda Melayu bahawa Umno dilahirkan di istana.
Oleh itu, baginda mahu orang Melayu menjaga perpaduan di antara mereka supaya kekuatan bangsa terus kukuh dan menjadi teras perpaduan dan pembangunan negara.
Turut hadir ialah Timbalan Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Musa Hitam.
Kehadiran Dr Mahathir dan Musa yang duduk bersebelahan menarik perhatian para hadirin kerana pada suatu masa dahulu pentadbiran mereka dikenali sebagai kepimpinan '2M'.

