WAWANCARA | Pengerusi Suruhanjaya Polisi Dadah Global, Ruth Dreifuss kesal hukuman mati dikenakan terhadap orang yang mendakwa menggunakan ganja bagi tujuan perubatan.

Ini termasuklah kes Muhammad Lukman Mohamad yang dijatuhi hukuman mati pada Ogos 2018 kerana memiliki 3,010 mililiter delta 9 tetrahydrocannabinol (ekstrak kanabis), 1,422 gram delta 9 tetrahydrocannabinol dan 279.81 gram kanabis.

Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada 27 November tahun lalu mengekalkan hukuman mati terhadap Lukman.

"Memang tidak terkatakan apabila memikirkan nasib yang menimpa orang-orang ini.

"Saya fikir, benar-benar sangat perlu untuk membuat satu gerakan besar menghapuskan hukuman mati dan pada pandangan saya untuk semua jenayah. 

"Ini untuk mengharamkan pembunuhan kejam terhadap rakyat oleh kerajaan," tegas beliau kepada wartawan Malaysiakini pada wawancara Jumaat lalu di Kuala Lumpur.

Lukman, 30 tahun bapa kepada seorang anak dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Bandar Mahkota, Banting pada 6.45 petang 7 Disember 2015.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 18 September 2018 berpendapat kerajaan patut menyemak semula kes Lukman.

Satu lagi kes doktor ganja yang menjadi tumpuan ialah kes melibatkan pesara tentera Amiruddin @ Nadarajan Abdullah yang sedang berhadapan dakwaan mengedar ganja di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan perbicaraannya kini dibawa ke Mahkamah Tinggi.

Dreifuss yang juga bekas presiden Switzerland berada di ibu negara minggu lalu bagi berbincang mengenai rancangan Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad untuk melaksanakan polisi pengurangan mudarat bagi menangani masalah penyalahgunaan dadah, termasuklah cadangan untuk menyah jenayah penagih bahan itu.

Nyawa manusia sakral

"Pertamanya, biar saya bercakap mengenai hukuman mati.

"Saya aktivis menghapuskan hukuman mati. Saya fikir nyawa manusia cukup sakral dan peranan negara adalah untuk melindungi nyawa warganya dan bukan mengambil nyawa manusia.

"Berhubungan dengan undang-undang dadah, saya fikir kesalahan dadah bukan sejenis jenayah di mana kerajaan boleh menjatuhkan hukuman mati," kata naib presiden Jawatankuasa Antarabangsa Penghapusan Hukuman Mati itu.

Sekitar tiga per empat banduan menunggu hukuman mati di Malaysia disabitkan kesalahan berkaitan jenayah dadah. 

Malaysia sedang memperkenalkan moratorium (penangguhan) untuk semua pelaksanaan hukuman gantung sementara kerajaan melakukan kajian mengenai pindaan terhadap undang-undang hukuman mati.

Pada 6 Oktober 2018, Dr Mahathir ketika mengulas dasar Putrajaya yang "rahmatan lil alamin" (rahmat ke sekalian alam), berkata dalam Islam tidak mudah untuk mengambil nyawa seseorang.

"Hak kita sebagai manusia memang agama mengambil berat tentang nyawa seseorang, bukan mudah hendak bunuh orang, potong kepala kerana perbuatan itu membunuh orang dan Islam melarang membunuh orang lain," kata perdana menteri.

 

Menurut Dreifuss lagi, berdasarkan pengalaman di Switzerland memenjarakan penagih dadah akan merumitkan lagi masalah dan mendatangkan mudarat lebih besar berbanding maanfaatnya.

"Jika seseorang itu sakit maka tidak ada alasan untuk meletakkannya di dalam penjara. Jika orang itu mengambil dadah dan mengawal penggunaan dadah itu dan tidak membahayakan siapa-siapa, hanya mudarat kepada dirinya sendiri, mengapa dia perlu dipenjarakan?

"Bukankah penjara dibina untuk melindungi masyarakat terhadap orang yang membahayakan masyarakat dan orang lain? 

"Saya tidak melihat alasan untuk hukuman sebegini dan saya melihat kehidupan yang dimusnahkan akibat pemenjaraan.

"Saya melihat orang yang mempunyai rekod jenayah, terutamanya golongan muda dan mereka tidak dapat mencari pekerjaan atau meneruskan pengajian mereka. Saya hanya melihat aspek negatif hukuman berat (terhadap pesalah dadah)," katanya yang pernah menjadi menteri dalam negeri Switzerland dari tahun 1993 hingga 2002.

'Tak guna dadah pun ada buat jenayah'

Sementara itu, kata Dreifuss, jenayah boleh dilakukan oleh penagih dadah atau bukan penagih dadah dan jika penagih dadah melakukan jenayah lain seperti mencuri dan sebagainya maka dia memang patut dihukum.

"Pengalaman di Switzerland sangat jelas, jika seseorang itu melakukan jenayah lain selain menggunakan dadah maka dia memang patut diperlakukan sama di sisi undang-undang.

"Maksud saya jangan hanya semata-mata bercakap mengenai penagih dadah, bercakaplah mengenai manusia. 

"Manusia itu kompleks, mereka ialah orang yang menggunakan dadah dan juga anggota masyarakat," ujarnya.

Menurut sumber data PDRM, pada 2017 seramai 208,550 orang ditangkap polis untuk saringan air kencing dan 80,925 ditangkap kerana menggunakan dadah dan tiada kaitan dengan jenayah lain.

Dreifuss juga ditanya bahawa Switzerland antara negara maju dan makmur di dunia, maka boleh lah negara itu menjalankan dasar pengurangan mudarat, berbanding negara seperti Malaysia yang masih membangun ekonominya.

"Saya sering mendengar hujah ini bahawa Switzerland telah melakukannya tetapi yang lain akan gagal. Saya mengatakan ini dengan pengalaman saya selama 40 tahun bahawa polisi pengurangan mudarat boleh dilakukan oleh semua jenis negara dan apa yang kami laksanakan di Switzerland adalah sangat bagus.

"Perbezaannya adalah bagaimana cara kami membayar gaji doktor dan di Switzerland juga kurang rasuah.

"Ini sangat penting kerana rasuah menjadi sebahagian kehidupan politik. Seperti yang anda tahu rasuah adalah racun kepada masyarakat.

"Di Switzerland, polis dan kakitangan perubatan dibayar dengan gaji tinggi dan memiliki tahap rasuah yang rendah dan ini memudahkan untuk kami melaksanakan semua dasar-dasar ini," katanya lagi.

Siapa musuh sebenar perang antidadah?

Menjawab soalan jika perang antidadah di seluruh dunia telah gagal, Dreifuss berkata: "Ya, tentu sekali.

"Perang adalah sesuatu yang kamu tentukan pada suatu hari bahawa 'saya sedang berperang dengan... dan saya akan berdamai apabila...

"(Tapi dalam perang antidadah) ini bukanlah kesnya. Siapa musuhnya? Adakah pengguna dadah? Bolehkah orang awam menjadi musuhnya? Ini mustahil.

"Apa yang akan menjadi perdamaian, bila kami boleh menandatangani perjanjian damai dan dengan siapa?" Soal beliau.

Beliau juga memberi contoh perang antidadah di Amerika Selatan, berkata ia "perang terhadap petani, terhadap orang miskin, terhadap penagih dadah."

"Ia keganasan. Lihat ratusan ribu orang yang dibunuh di Mexico, lihat 10,000 ribu orang hilang dan sekarang mereka menemukan kubur beramai-ramai di Mexico.

"Inilah hasil perang. Dalam perang akan ada korban. Adakah kamu mahukan korban atau kamu mahu menyelesaikan masalah?

"Jadi perang antidadah telah gagal. Dalam perang ini rasuah tambah banyak, konsumsi (dadah) terus meningkat, kami dapati organisasi jenayah juga tambah kuat dan kerajaan menjadi semakin lemah," jelasnya.

Dreifuss juga ditanya mengenai sikap keras Presiden Filipina Rodrigo Duterte terhadap pengguna dadah di mana 5,779 dibunuh dalam operasi anti-dadah rasmi antara Julai 2016 dan Ogos 2019.

"Itu bukan perang ke atas dadah tetapi perang terhadap rakyat. Apabila anda bercakap mengenai perang mengenai dadah, jangan lupa siapa yang akan menjadi sasaran dan sasaran presiden ialah orang miskin di negara itu," katanya.


BACA:

Bahagian 1: S'jaya Polisi Dadah Global sambut baik usaha Dr Dzul

Lihat Komen
ADS