Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syed Saddiq dikepung: Semua pihak tanpa kecuali mesti patuh undang-undang
Diterbitkan:  Feb 5, 2020 8:56 PM
Dikemaskini: 12:56 PM

Susulan insiden Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dikepung oleh sekumpulan individu dalam satu majlis makan malam di Johor, kerajaan hari ini memberi peringatan mereka tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak termasuk negeri yang tidak menghormati undang-undang negara.

Dalam kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri hari ini, kerajaan berkata pihak berkuasa juga mesti menegakkan kedaulatan undang-undang secara telus dan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan.

“Hanya mereka yang menjadi anggota kerajaan saja berhak memberi arahan. Itu pun jika arahan tersebut bercanggah dengan undang-undang atau SOP (prosedur operasi standard), petugas (pihak berkuasa) tidak perlu bertindak.

"Kerajaan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak termasuk di negeri-negeri yang tidak menghormati undang-undang negara, termasuk yang tidak mematuhi arahan yang diberi oleh kerajaan,” menurut kenyataan itu.

Pada pada 31 Jan lalu berlaku kekecohan di majlis perjumpaan Syed Saddiq bersama Armada Bersatu Johor di sebuah restoran di Ulu Tiram.

Gangguan yang dibuat menyebabkan menteri belia dan sukan terbabit bersama ibu dan bapanya melarikan diri.

Syed Saddiq turut mendakwa, beliau bersama dua Adun serta orang lain terpaksa menggunakan "jalan tikus" dan "melompat pagar" untuk beredar dari restoran terbabit.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, tindakan kasar serta biadab yang dilakukan kumpulan mengepung Syed Saddiq itu tidak mencerminkan akhlak yang baik, justeru ia perlu dikecam.

“Negara mempunyai undang-undang. Kerajaan mengamalkan prinsip rule of law.

"Semua pihak - tanpa ada kecuali- harus mematuhi undang-undang negara,” menurut kenyataan tersebut.

Dalam video yang didakwa memaparkan kejadian itu, kira-kira 200 individu berbaju hitam didengar menjerit-jerit agar ahli parlimen Muar berkenaan meninggalkan Johor.

“Ini apa? Ada anak-anak kecil, wanita di dalam majlis. Paling teruk, mereka sergah supaya menteri minta maaf kepada TMJ kalau mahu pulang dari majlis.

"Apa yang berlaku, saya pun tak tahu. Yang saya tahu, ini biadab dan kurang ajar.

"Apa salah saya? Saya berkhidmat untuk rakyat,” tulis Syed Saddiq di dalam Instagramnya sehari selepas kejadian.

Beliau tidak mengulas lanjut siapa yang dimaksudkan sebagai TMJ, bagaimanapun umum mengetahui ia merupakan gelaran kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Lihat Komen
ADS