Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Macam melayang, kata Dr M mengenai sokongan Umno, PAS
Diterbitkan:  Feb 6, 2020 1:51 PM
Dikemaskini: 5:55 AM

Ketika spekulasi bahawa akan lahir kerajaan campuran dengan beberapa parti pembangkang, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata dirinya seperti “melayang” apabila dimaklumkan mengenai sokongan Umno dan PAS kepadanya.

Diminta mengulas lanjut mengenai sokonga itu semasa sidang akhbar di Putrajaya hari ini, Mahathir berkata parti pembangkang boleh menyokong kerajaan di Parlimen.

"Mereka kata bahawa Umno, malah PAS, sanggup bekerja dengan saya. Saya bagi tahu mereka jika mahu bekerja dengan saya, kamu sokonglah," katanya.

Ditanya mengenai bentuk sokongan yang diharapkan, Mahathir berkata: "Di parlimen, apabila kita lakukan sesuatu yang baik, saya fikir mereka harus menyokong, bukan hanya membangkang secara buta tuli."

Mengenai sama ada beliau mengalu-alukan sokongan kepadanya, perdana menteri menjawab: "Sesiapapun yang sokong, saya rasa seperti melayang (floating)."

Spekulasi mengenai kerajaan campuran tercetus apabila perkara itu dibangkitkan Ahli Majis Tertinggi Lokman Noor Adam pada Selasa lalu.

Lokman tampil membidas presidennya sendiri, Ahmad Zahid Hamidi yang didakwanya mahu bekerjasama dengan Dr Mahathir.

Bagaimanapun, tidak semua dalam Umno nampaknya memihak atau sehaluan. Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, hari ini mengingatkan anggota parti itu supaya tidak "terpesona dengan nafsu" kerana ia sangat merbahaya dan dalam politik perlu ada kejelasan dan tujuan "lamaran".

"Kepada kita yang dilamar ini, janganlah terlalu berbunga-bunga hati kita. Jangan berasa terlalu didambakan. Jangan sesekali terburu-buru hanya kerana sekali dua telah bertentang mata. Pesona nafsu kekadang sangat merbahayakan,” katanya.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, sebaliknya mengelakkan diri daripada soalan itu semasa sidang akhbar malam semalam tetapi berulang kali menyatakan sokongan padu kepada Mahathir.

Beliau juga membidas “orang nak jadi perdana menteri pintu belakang” yang dipercayai merujuk kepada bakal pengganti Mahathir, iaitu Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Walaupun Mahathir dan Anwar berkata bahawa pelan peralihan akan dilaksanakan seperti yang dipersetujui, namun spekulasi bahawa ia tidak akan menjadi kenyataan berterusan.

Oktober lalu, sekretariat Pakatan Harapan menuduh bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein cuba membentuk kerajaan baru tanpa DAP.

Hishammuddin menafikan dakwaan itu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS