Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan Pahang tangguh penguatkuasaan kebun Cameron Highlands

Seramai 70 pekebun sayur di Cameron Highlands yang sebelum ini diberikan notis untuk meninggalkan kawasan tanaman mereka kini boleh menarik nafas lega.

Setiausaha Kerajaan Pahang, Dr Sallehuddin Ishak berkata kerajaan negeri bersetuju menangguhkan penguatkuasaan terhadap pengusaha kebun yang menduduki rizab sungai dan jalan tanpa kebenaran dari Februari ke Jun 2020.

Beliau berkata, selepas mengambil kira dan mempertimbangkan situasi pekebun di sekitar Lembah Bertam itu, kerajaan negeri memutuskan untuk membenarkan mereka menanam dan memetik sayur untuk satu kitaran lagi.

“Mereka boleh tanam sayur untuk satu cycle (kitaran) lagi dan harus kosongkan kawasan yang ditetapkan sebelum bulan Jun ini.

“Kalau waktu itu mereka masih tidak mahu keluar, maka susahlah...Kerajaan akan take over (ambil alih) tanah dan ambil tindakan pada masa itu,” katanya apabila dihubungi oleh Malaysiakini hari ini.

Keputusan itu hadir selepas lebih 30 pekebun Cameron Highlands menghantar memorandum kepada pejabat Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail di Kuantan semalam.

Memorandum tersebut juga dihantar kepada Kementerian Pertanian dan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli di Putrajaya.

Dalam memorandum itu, antara tuntutan yang dikemukakan ialah sesi dialog atau perbincangan diadakan antara pekebun dan wakil kerajaan Pahang, bagi memohon memanjangkan tempoh notis kepada 6 bulan.

Selain itu, memorandum itu juga menuntut agar pekebun diberi kelonggaran jarak atas rizab sungai dan jalan bagi tanah yang tiada perancangan pembangunan dalam masa terdekat, serta penempatan semula secara teratur bagi pekebun yang terkesan.

Untuk rekod, sebelum ini seramai 70 pekebun di Lembah Bertam telah menerima notis bertarikh 10 Januari daripada Pejabat Tanah dan Galian Pahang atas sebab pendudukan tanah kerajaan tanpa kebenaran.

Menurut notis tersebut, pekebun didapati menduduki kawasan rizab sungai atau jalan Daerah Cameron Highlands dan dianggap melakukan kesalahan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Akta 56/65).

Maka, pekebun dikehendaki merobohkan struktur binaan dan meninggalkan kawasan tersebut dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis disampaikan.

Jika terbabit kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman denda yang tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun.

Malaysiakini telah membaca notis ini. Mengikut tarikh notis tersebut, pihak berkuasa akan memulakan operasi pada Isnin depan, iaitu 9 Feb.

Sekiranya pihak berkuasa mengambil tindakan pada minggu depan, ia merupakan Operasi Lestari kali yang keempat.

Sebelum ini, kerajaan negeri Pahang dengan kerjasama polis dan tentera, telah melaksanakan Operasi Lestari di Sungai Tiang dan Sungai Ichat.

Semantara itu, menurut Adun DAP Tanah Rata Chiong Yoke Kong, Sungai Bertam ialah kawasan operasi terakhir bagi Operasi Lestari Fasa 2. Chiong bagaimanapun tidak pasti sama ada pihak berkuasa akan melakukan Fasa 3 atau tidak.

Beliau berkata, sebanyak 130 notis dikeluarkan kepada 70 pekebun di Lembah Bertam yang menyebabkan 300 keluarga terkesan kerana melibatkan generasi pekebun kedua dan ketiga.

Menurut Chiong, tanah pertanian di Lembah Bertam telah banyak diambil alih oleh kerajaan sejak 10 tahun lalu bagi menjalankan projek pembinaan Jalan Ringlet ke Sungai Koyan.

Tambahnya, sekiranya kerajaan negeri mengambil alih lagi tanah pekebun, ia akan menjejaskan sumber rezeki pekebun tempatan secara serius.

Bagaimanapun, Sallehuddin menafikan dakwaan yang melihat kerajaan negeri ingin bertindak tegas terhadap pekebun berkenaan.

Beliau turut mengesahkan bahawa pihak kerajaan telah menerima memorandum daripada pekebun.

“Op Lestari itu lain...Kami hanya nak bersihkan sungai sebab pekebun-pekebun telah menceroboh kawasan tebing sungai, maka kami hanya minta kosongkan.

“Kami bukan nak halau ke apa, cuma minta pekebun jangan tanam di tebing sungai kerana ini sangat bahaya,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Sallehuddin, Sungai Bertam merupakan sungai utama yang membekalkan air minum untuk negeri Pahang dan terdapat 17 loji air di sepanjang sungai tersebut sehingga ke Pekan.

Beliau menegaskan bahawa tujuan kerajaan mengeluarkan notis adalah untuk memastikan kebersihan air sungai supaya tidak dicemari dengan baja, racun dan najis haiwan.

“Notis keluar bukan nak buat operasi....harap mereka boleh faham sebab kami tidak mahu berlaku kes racun atau baja disalurkan dalam air minum,” tambahnya.

Di samping itu, Sallehuddin turut membangkitkan polisi kerajaan negeri yang menawarkan 1,018 pekebun sayur yang sebelum ini beroperasi di tanah berstatus Lesen Pendudukan Sementara (LPS) meneruskan aktiviti tanaman menerusi sewaan berdaftar.

“Pekebun semua ini pun akan dapat tawaran, paling banyak tiga ekar akan dapat,” katanya.

Seandainya tanah kebun terlalu kecil selepas kawasan rizab dikosongkan, pekebun boleh berbincang semula dengan pihak kerajaan negeri, kata Sallehuddin.

“Kalau lepas cut off kebun terlalu kecil, kita boleh bincang semula...Tapi kena case by case (berdasarkan kes masing-masing), bukan semuanya sama,” ulasnya.

Menurut laporan media, kerajaan Pahang telah meminda kaedah pengurusan tanah pertanian di Cameron Highlands pada Febr 2019 di mana semua tanah pertanian yang sebelum ini diberikan LPS kan diberi milik kepada Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK).

Sehingga kini, sebanyak 78 hak milik telah dikeluarkan kepada PSK dan tanah-tanah ini dipajakkan kepada Pahang Corporation Sdn Bhd, iaitu sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri yang akan menyewakannya kepada pengusaha pertanian dengan syarat perlu memperolehi Sijil Malaysia Good Agriculture Practice (MyGAP) dalam tempoh penyewaan sebelum boleh diperbaharui sewaan.

Pengumuman ini telah dibuat oleh Wan Rosdy pada Jan lalu. Bagaimanapun, kadar sewaan tanah PSK masih belum dimuktamadkan.

Lihat Komen
ADS