Paling Popular
Terkini

Ketika Presiden Donald Trump sedang berusaha untuk dipilih semula dalam pilihan raya presiden November ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini mengekalkan kritikan Malaysia terhadap sokongan AS terhadap Israel.

Ditanya nasihatnya kepada Trump susulan rencana perdamaian yang disokong AS yang sebahagian besarnya ditolak oleh Palestin dan sekutunya, kata Mahathir, "Letak jawatan."

"Saya harap rakyat Amerika akan membuat keputusan yang lebih baik.

"Ini adalah seorang lelaki yang mencemarkan peranannya dan dasarnya, cuba menggunakan tekanan asing untuk memenangi pilihan raya," kata Mahathir merujuk kepada sokongan AS terhadap Israel dalam perjuangan rakyat Palestin untuk mendapatkan pengiktirafan terhadap tanah mereka sendiri.

"Itu boleh diterima di Amerika, tidak boleh diterima di sini.

"Mana-mana orang asing yang cuba mempengaruhi keputusan pilihan raya di sini, kami akan mengambil tindakan terhadap orang yang didapati melakukan itu," tegas Mahathir.

Beliau sebelum itu menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Persidangan Liga Ahli Parlimen Untuk Al-Quds kali ke-3.

Al-Quds merujuk kepada sebuah bandar di Baitulmuqaddis - tanah yang dianggap suci kepada ketiga-tiga agama utama Ibrahim - juga dituntut oleh Israel dan Palestin sebagai ibukota mereka.

Liga Ahli Parlimen Untuk Al-Quds adalah kumpulan bebas antarabangsa yang ditubuhkan pada 2015 yang bertujuan mengaktifkan peranan anggota parlimen dalam menyokong hak asasi manusia Palestin mengikut undang-undang antarabangsa.

Ia terdiri daripada 700 ahli parlimen daripada 70 negara pada 2018.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata jika sebelum ini beberapa negara telah melancarkan peperangan melawan Israel namun kalah, kini strategi yang dirancang dengan baik untuk memenangi hati dan minda dunia diperlukan untuk membawa keadilan bagi rakyat Palestin.

"Hanya menentang (Israel) tidak mencukupi untuk menang, kita perlu mempunyai strategi untuk memenangi hati dan minda rakyat.

"Apa yang dilakukan oleh negara kuasa besar sekarang ini adalah menyalahi undang-undang. Ini adalah satu tindakan pembuli ... hanya kerana anda mempunyai kekuatan membuli yang tidak berdaya, tetapi kita di Malaysia dan di bahagian lain di dunia, kita akan menegakkan peraturan undang-undang," kata Mahathir.

Beliau juga menyamakan pendirian Israel terhadap rakyat Palestin dengan penindasan terhadap Yahudi oleh Adolf Hitler dari Jerman.

Mahathir berkata Israel banyak belajar dari Hitler meskipun terdapat bencana yang dihadapi dalam perang dunia kedua.

"Mereka belajar banyak dari Nazi Jerman ... bukan pengajaran yang betul, tetapi pengajaran yang salah," kata Mahathir.

Persidangan dua hari di Kuala Lumpur itu dianjurkan oleh Liga Parlimen Untuk Al-Quds - yang diwakili oleh presidennya, Sheikh Hamid Abdullah Al-Ahmar - di bawah naungan parlimen Malaysia dan disokong oleh pelbagai kumpulan tempatan.

Antara ahli parlimen Malaysia yang terlibat dalam menganjurkan persidangan itu ialah Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution.

Turut hadir ialah Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof.

Lihat Komen
ADS