mk-logo
Berita
Dr Maza bangkitkan isu janji serah jawatan PM
Diterbitkan:  Feb 9, 2020 5:54 PM
Dikemaskini: Feb 10, 2020 7:31 AM

Ketika hangat isu peralihan kuasa jawatan perdana menteri dibincangkan, Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainal Abidin berkias mengenai seseorang yang berjanji menyerahkan sesuatu yang bukan miliknya kepada orang lain.

Menerusi hantaran di Facebook beliau, Asri berkata hasrat menyerahkan harta yang bukan miliknya itu tidak boleh ditunaikan sekiranya pemilik harta tersebut tidak bersetuju.

“Kita boleh berjanji untuk memberikan apa yang menjadi milik kita sepenuhnya kepada sesiapa yang kita mahu.

“Kita tidak boleh menjanjikan apa yang merupakan milik orang lain untuk kita berikan kepada sesiapa yang kita pilih melainkan pemiliknya bersetuju terlebih dahulu.

“Menjanjikan harta kita kepada seseorang itu hak kita. Menjanjikan harta orang (yang bukan miliknya) kepada seseorang, itu janji yang tidak boleh ditunaikan melainkan dengan persetujuan pemilik.

“Maka, yang menuntut janji juga hendaklah menyemak status sesuatu janji,” tulisnya.

Meskipun tidak mengulas secara khusus mengenai kenyataannya itu, Asri dipercayai merujuk kepada isu peralihan kuasa daripada Dr Mahathir Mohamad dengan penyerahan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

“Persoalan yang patut kita fikirkan, dalam sistem negara ini, jawatan perdana menteri sebenarnya milik siapa?

"Siapakah yang berhak menentukan? Siapakah yang berhak berjanji? 

"Siapakah yang betul atau salah jika berjanji? Siapakah yang betul atau salah jika menuntut janji? PM? Parlimen? Rakyat?" Soal mufti Perlis.

Semalam, dilaporkan melalui wawancara bersama laman The Malaya Post Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menegaskan bahawa beliau akan menunaikan janji untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar, tetapi menambah keputusan muktamad terletak pada Dewan Rakyat.

Untuk rekod, pada masa ini, PKR adalah parti terbesar di Dewan Rakyat dengan 47 anggota parlimen, disusuli dengan DAP (42), Bersatu (26) dan Amanah (11). Sekutu PH iaitu Warisan memiliki sembilan anggota parlimen.

Bagaimanapun, perseteruan dalaman antara Anwar dengan timbalannya Mohamed Azmin Ali membangkitkan persoalan sama ada anggota parlimen Port Dickson itu mendapat sokongan daripada kesemua 47 anggota parlimen partinya. 

Mengikut persefahaman dicapai antara pemimpin parti komponen PH menjelang PRU ke-14 hampir dua tahun lalu, Dr Mahathir dicalonkan sebagai perdana menteri bagi menumbangkan Najib Razak.

Mahathir kemudian dikatakan bakal berundur untuk memberi ruang kepada Anwar - yang sebelum itu menjadi calon perdana menteri bagi PKR, DAP dan Amanah.

Penubuhan Bersatu dan penyertaan parti itu ke dalam PH menyaksikan pembangkang ketika itu - Pakatan Rakyat - menukar strategi dengan menawarkan kepimpinan Mahathir  yang sebelum ini pernah menjadi perdana menteri selepas lebih 20 tahun.

Selepas membentuk kerajaan pusat pada Mei 2018, sesetengah pemimpin PKR mendesak agar ada tarikh yang jelas ditetapkan untuk peralihan kuasa daripada Mahathir, 94, kepada Anwar, 72.

Mahathir sendiri berkali-kali menyatakan beliau akan memenuhi janji berkenaan. 

Terbaru, beliau membayangkan ia akan berlaku selepas berakhirnya sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) pada akhir Nov tahun ini.

Lihat Komen
ADS