mk-logo
Berita
Hishammuddin kritik menteri pertahanan isu pangkalan laut
Diterbitkan:  Feb 10, 2020 9:14 PM
Dikemaskini: 1:47 PM

Bekas menteri pertahanan Hishammuddin Hussein mengkritik Mohamad Sabu yang disifatkannya masih gagal membentangkan inisiatif keselamatan baru meskipun sedar ancaman keselamatan semakin mencabar.

Dengan mengambil Pangkalan Laut (PL) yang diwujudkan era pentadbiran BN dulu, Hishammuddin mendakwa Menteri Pertahanan kini tiada usaha untuk memperkasakan PL berkenaan.

"Baru-baru ini Mat Sabu (Mohamad) dengan bangganya bawa Menteri Pertahanan Kedua Brunei lawat PL Tun Sharifah Rodziah, salah satu inisiatif kerajaan BN yang diwujudkan sewaktu saya menteri pertahanan.

"PL ini merupakan yang pertama seumpamanya di dunia pada masa itu dan dikagumi banyak negara. Kita bukan hanya ada satu tetapi dua. Satu lagi ialah PL Tun Azizan. Kedua-duanya diwujudkan demi memelihara keselamatan Sabah.

"Tapi sekarang, Mat Sabu bukan sahaja tidak pernah umum apa-apa untuk perkasakan lagi kedua-dua PL. Malah, tiada langsung perancangan untuk bina lebih banyak PL seumpamanya di lokasi lain perairan negara," katanya pada hantaran di Facebooknya.

Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah di perairan Semporna dalam bentuk platfom statik menggunakan bekas pelantar minyak, manakala PL Tun Azizan pula menggunakan bekas kapal kargo.

Kedua-dua PL yang mula beroperasi pada Mei 2015 itu bertujuan memperkukuh kawalan keselamatan di Pantai Timur Sabah.

Tugas PL ini ialah bertindak sebagai cegah rintang bagi membanteras penceroboh pengganas, pengumpul maklumat perisikan taktikal dan komuniti maritim, berfungsi sebagai pangkalan operasi hadapan, menyediakan bantuan logistik kepada bot pemintas, bertindak sebagai pusat operasi hadapan untuk mengkoordinasikan operasi kawasan ancaman, berperanan sebagai platform pengoperasian helikopter dan bertindak sebagai pelantar untuk pasukan atur gerak cepat.

Demi memastikan fungsi PL dapat dimaksimakan, kerajaan ketika itu telah menambah baik PL Tun Sharifah Rodziah dan Tun Azizan, antaranya dengan memasang peralatan komunikasi radar dan kamera litar tertutup (CCTV).

Kesemua kos pembinaan dan penambahbaikan PL itu ditanggung sepenuhnya oleh pihak Petronas.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata inisiatif keselamatan baru berimpak tinggi penting untuk direncanakan Kementerian Pertahanan bagi mengekang negara daripada ancaman keselamatan.

"Padahal, dalam temubual bersama CNN Indonesia, Mat Sabu sendiri akui ancaman keselamatan serantau makin mencabar.

"Logiknya, kalau makin mencabar, mestilah negara perlukan lebih banyak inisiatif keselamatan baru dan berimpak tinggi kan?" Soalnya.

Lihat Komen
ADS