Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM mohon Interpol tangkap Jho Low, 2 bekas pengarah Petrosaudi

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memaklumkan kepada Interpol berhubung waran tangkap yang dikeluarkan terhadap Low Taek Jho, Tarek Obaid dan Patrick Mahony.

Ia selepas suruhanjaya itu memfailkan pendakwaan baru in absentia (tanpa kehadiran) tiga individu itu untuk kes pengubahan wang haram dana 1MDB melibatkan nilai AS$69 juta.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya memaklumkan perkara itu kepada pemberita dalam satu program di Putrajaya hari ini.

"Ini sebahagian daripada siasatan dan usaha mendapatkan semula (dana) 1MDB dan SRC International yang sedang berjalan...

"Ini sebahagian proses di mana kita mendakwa mereka yang mungkin ada akses kepada perincian wang tersebut," katanya, sambil menambah SPRM akan mengeluarkan maklumat pendakwaan tersebut secara rasmi dalam masa terdekat.

Ini merupakan waran tangkap kedua terhadap Jho Low, yang didakwa sebagai dalang utama skandal 1MDB.

Obaid dan Mahony pula adalah bekas pengarah Petrosaudi International Limited (PSI) yang menjadi individu utama dalam pemeteraian usaha sama syarikat itu dengan 1MDB.

"Ini adalah satu kes...konspirasi jenayag untuk bersubahat dalam pengubahan wang (berjumlah) AS$69 juta," kata Latheefa berhubung pendakwaan baru itu.

Ketika laporan ini ditulis, Low, Obaid dan Mahony tiada dalam senarai notis merah Interpol.

Rasuah RM60 juta

Menurut kertas pendakwaan yang dilihat Malaysiakini, Jho Low dihadapkan dengan satu pendakwaan baru manakala Obai dan Mahony dengan dua pendakwaan.

Ketiga-tiganya didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009.

Menerusi usaha sama 1MDB-PSI, mereka dikatakan terlibat dalam konspirasi jenayah untuk membolehkan bekas perdana menteri Najib Razak menggunakan kedudukannya untuk menerima rasuah berjumlah RM60,629,839.43.

Dakwaan kesalahan itu dikatakan berlaku antara 24 Februari hingga 14 Jun 2011 di Bank AmIslamic cawangan Jalan Raja Chulan di Kuala Lumpur.

Sabit kesalahan membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda RM10,000 atau tidak kurang lima kali nilai suapan, yang mana lebih tinggi.

Pengubahan wang haram AS$300 juta

Selain itu, Obaid dan Mahony turut didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (Amla).

Mereka didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram dengan "secara salah" menerima AS$300 juga daripada 1MDB sebelum menyalurkannya ke dalam akaun 1MDB Petrosaudi Limited.

Sabit kesalahan membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM5 juta, atau kedua-duanya sekali.

Semua pendakwaan dibaca di depan Majistret Mageswary Subramaniam di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Lihat Komen
ADS