story images
story images
mk-logo
Berita
Hari 6: 'Mem' selalu tanya perkembangan projek solar, kata Rizal pada KSU

LANSUNG | Perbicaraan rasuah terhadap isteri bekas Perdana Menteri Najib Razak, Rosmah Mansor, berhubung dakwaan penyelewengan dana bagi pembekalan dan pemasangan tenaga solar melibatkan 369 sekolah luar bandar di Sarawak bersambung hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Malaysiakini membawakan laporan langsung perbicaraan yang masuk hari keenam.


2.00 petang - Perbicaraan ditangguhkan pada hari ini dan dijadualkan bersambung pada pagi Isnin.


1.40 tengah hari - Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi masuk ke bilik mahkamah dan menyapa Rosmah Mansor, sebelum mengambil tempat di galeri awam.


Rakan niaga Jepak petik nama Najib, desak lulus projek solar - Bekas KSU

1.10 tengah hari - Selain Rizal Mansor, bekas ketua setiausaha (KSU) Kementerian Pelajaran, Madinah Mohamad (gambar, atas) berkata beliau juga didesak oleh Rayyan dalam projek hibrid solar selepas bertemu dengan Rosmah pada 2016.

Beliau merujuk kepada Rayyan Radzwill Abdullah, yang merupakan rakan kongsi perniagaan kepada pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Menurut Madinah, beliau tidak kenal Rayyan sebelum ini dan pada mulanya menyangka beliau hanyalah pekerja kepada Jepak.

Lelaki itu mula menghubungi beliau, terutamanya melalui mesej Whatsapp, pada masa yang sama Rizal Mansor mula berkomunikasi berkenaan projek bernilai RM1.25 bilion itu.

Madinah berkata Rayyan juga bertanyakan kepadanya mengenai kontrak hibrid solar itu, dan telah mempersoalkan beliau mengapa ada kelewatan dalam menghantar kertas cadangan Jepak kepada Kementerian Kewangan untuk kelulusan.

Rayyan juga tahu bahawa Kementerian Pendidikan mempunyai kuasa untuk memberikan kontrak secara terus tanpa tender terbuka kepada jepak melalui rundingan langsung.

"Rayyan juga telah menggunakan nama perdana menteri untuk mendorong saya supaya mempercepatkan proses bagi mengambil permohonan secara rundingan terus kepada Kementerian Kewangan dengan mesej teks seperti: 'Katakan saja kamu mahu projek itu', 'bos akan meneruskannya dari sana' dan 'bos tahu apa yang perlu dilakukan'.

"Saya tahu bahawa 'boss' yang disebut Rayyan ialah Datuk Seri Najib Razak kerana Rayyan selalu silih berganti menggunakan nama PM dan boss."


'Mem' selalu tanya perkembangan projek solar, kata Rizal pada KSU

1.00 tengah hari - Bekas ketua setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan, Madinah Mohamad berkata selepas pertemuannya dengan Rosmah Mansor pada suatu waktu sebelum bulan Jun 2016, pembantu Rosmah, Rizal Mansor mula menghubungi beliau untuk membincangkan mengenai projek hibrid solar.

Beliau memberi keterangan bahawa Rizal telah menghubungi beliau melalui mesej Whatsapp atau panggilan telefon.

Bagaimanapun, menurut Madinah, beliau tidak pernah memberikan nombor telefonnya kepada lelaki itu tetapi hal itu tidak mengejutkan kerana Rizal boleh mendapatkannya atas kedudukannya di Jabatan Perdana Menteri dan berperanan sebagai pembantu Rosmah.

Madinah mendakwa bahawa Rizal juga menyebut nama Rosmah dalam komunikasi mereka, termasuk ketika dia meminta diberitahu mengenai perkembangan projek itu.

"Misalnya, Datuk Rizal akan memberitahu saya 'mem' bertanya mengenai 'perkembangan' projek hibrid solar sekarang, sebelum meminta bantuan saya untuk mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kewangan kerana 'mem' sentiasa bertanya kepadanya," kata Madinah.

Saksi mengatakan beliau memahami bahawa 'mem' yang disebut oleh Rizal merujuk kepada Rosmah.


Rosmah tunjuk minat projek solar, minta percepat - Bekas KSU

12.50 tengah hari - Bekas ketua setiausaha Kementerian Pendidikan, Madinah Mohamad memberitahu mahkamah mengenai kejadian pada 2016.

Menurut Madinah, pada ketika itu, isteri perdana menteri Rosmah Mansor menunjukkan minatnya terhadap projek hibrid solar.

Kejadian itu, kata saksi berlaku selepas tamatnya program Permata yang diadakan di Putrajaya. Ketika itu, Rosmah secara tiba-tiba memanggilnya untuk datang menghampiri kereta Rosmah.

Saksi itu berkata Rosmah kemudian memberitahu beliau untuk "meneliti projek solar Jepak" dan untuk "mempercepatkannya".

Menurut Madinah, beliau tidak ingat dengan jelas majlis yang dihadirinya ketika kejadian itu berlaku, tetapi yakin ia berlaku sebelum bulan Jun 2016.


12.40 tengah hari - Ketua Pendakwaan Gopal Sri Ram masuk ke bilik mahkamah. Difahamkan beliau datang dari Mahkamah Persekutuan di Putrajaya kerana hadir kes lain.


Bekas KSU arah mesyuarat agensi k'jaan projek solar tanpa Jepak

12.30 tengah hari - Bekas ketua setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM) Madinah Mohamad memberi keterangan pada April 2016, beliau telah mengarahkan mesyuarat teknikal untuk membincangkan projek solar yang akan dijalankan tanpa disertai wakil daripada Jepak Holdings.

Menurut keterangannya, Madinah mengeluarkan arahan itu melalui satu minit bertarikh 6 April 2016, di mana beliau meminta jawatankuasa teknikal kementerian, Jabatan Kerja Raya dan lain-lain agensi berkaitan untuk hadir mesyuarat.

Ini selepas agensi-agensi yang berkaitan dengan projek yang dicadangkan telah menegaskan kepada Kementerian Pendidikan bahawa supaya berhati-hati dalam mengendalikan projek hibrid solar.

"Saya keluarkan arahan begitu kerana perlu input lanjut daripada agensi-agensi teknikal mengenai tahap kebolehan solar (syarikat itu).

"Saya larang Jepak supaya agensi boleh beri pandangan bebas tanpa pengaruh syarikat," katanya kepada mahkamah.


KPM perlu pertimbang cadangan Jepak atas arahan Najib - Bekas KSU

12.10 tengah hari - Bekas KSU untuk Kementerian Pendidikan (KPM), Madinah Mohamad, memberi keterangan bahawa Jepak Holdings Sdn Bhd tidak pernah menyediakan kementerian dengan rancangan penyata perincian perbelanjaan mengenai bagaimana RM1.25 bilion akan digunakan dalam melaksanakan projek hibrid solar.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa KPM perlu mempertimbangkan cadangan Jepak pada 2016 hanya kerana mereka telah menerima kelulusan dan arahan daripada perdana enteri ketika itu Najib Razak.

Arahan itu datang dalam bentuk satu minit oleh Najib di atas surat Jepak bertarikh 23 Nov 2015.


Mustahil satu syarikat dapat kendali projek elektrik untuk 369 sekolah - Bekas KSU

12.00 tengah hari - Mahkamah mendengar bekas ketua setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM) Madinah Mohamad bahawa mustahil untuk sebuah syarikat dapat mengendalikan projek perkhidmatan bekalan elektrik melalui set janakuasa bagi sekolah-sekolah di Sarawak.

"Setahu saya sejak 2010 dilaksana. Projek ini dilaksana dengan tujuan bekal elektrik melalui genset kepada 369 sekolah luar bandar dan pedalaman. Ia masih diteruskan pada 2 Sept 2016 masa persaraan saya," katanya.

Madinah juga memberi keterangan sebanyak 30 syarikat diberikan kontrak melalui tender bagi mengendalikan projek bekalan elektrik ke 369 sekolah ini.

Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa Jepak Holdings Sdn Bhd yang mendapat projek hibrid solar cuma "merupakan salah satu syarikat terlibat projek jana kuasa diesel itu.

"Terdapat pelbagai faktor pengaruhi keputusan KPM untuk beri kepada 30 syarikat.

"Dari sudut geografi libat 369 sekolah di serata Sarawak. KPM percaya satu syarikat saja tak mampu selenggara dan bekal diesel ke semua dengan cekap.

"(Ini untuk) mengurangkan risiko kegagalan projek secara meluas akibat kegagalakan kontraktor hingga sebab kan semua 369 sekolah tak dapat bekalan elektrik. Peluang juga wajar diberi kepada syarikat-syarikat lain sertai projek tersebut," katanya saksi dalam keterangannya.


Bekas KSU Kementerian Pendidikan saksi pendakwaan

11.33 pagi - Pendengaran kes bersambung, pendakwaan memanggil saksi keenam mereka, bekas ketua setiausaha Kementerian Pendidikan Madinah Mohamad.


Pembelaan selesai pemeriksaan balas terhadap Mahdzir

11.10 pagi - Pasukan pembelaan menyelesaikan pemeriksaan balas terhadap bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid.

DPP Akram Gharib kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa pendakwaan akan mempunyai beberapa soalan lagi untuk pemeriksaaan semula untuk hari ini, dan pendakwaraya utama Gopal Sri Ram, yang sedang menghadiri kes lain di Mahkamah Persekutuan, ingin melakukan pemeriksaan semula pada minggu depan.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan kemudian membenarkan perkara ini.

Selepas Akram meminta Mahdzir menjelaskan beberapa perkara mengenai surat oleh firma undang-undangnya kepada Peguam Negara pada tahun 2018, saksi itu kemudiannya dibebaskan dan diberitahu oleh hakim untuk tidak membincangkan mengenai keterangannya dengan orang lain.

Mahkamah kemudian berehat sebentar.


Saidi beritahu dirinya, Rosmah, Rizal satu pasukan - Saksi

11.05 pagi - Bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid mengesahkan bahawa pengarah urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin yang memberitahu kepadanya mengenai 'Pasukan Saidi'.

Kata Mahdzir, ia merujuk kepada keterangannya sebelum ini yang membuktikan Saidi, Rosmah Mansor, bekas pembantu Rosmah Rizal Mansor, rakan Saidi, Rayyan Radzwill Abdullah dan Setiausaha Bahagian Umno PekanAazmey Abu Talib bersama-sama dalam rancangan itu untuk mendapatkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion.

Mahdzir berkata demikian sebagai menjawab peguam bela Azrul Stork yang mencadangkan kepadanya bahawa "Pasukan Saidi" hanyalah tanggapan beliau.

Bagaimanapun, saksi bersetuju dengan Azrul bahawa beliau tidak pernah memeriksa dengan nama-nama lain yang disebu itu sama ada apa yang didakwa Saidi bahawa mereka berada dalam satu pasukan adalah benar atau sebaliknya.

Peguam itu kemudian mencadangkan kepada Mahdzir bahawa memandangkan beliau tidak pernah memeriksa dengan Rosmah, Rizal, Rayyan dan Aazmey mengenai dakwaan 'Pasukan Saidi' itu, pemahamannya boleh menjadi salah.

Azrul: Datuk tidak tanya, kalau anggapan ini salah, salah lah.

Mahdzir: Ya kalau salah, salah lah.


Mahdzir tak setuju projek solar penting untuk program Permata

11.00 pagi - Peguam bela Azrul Stork menyoal bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid mengenai Yayasan Permata, yang mana Rosmah Mansor adalah penaungnya.

Saksi bersetuju bahawa program Permata juga meliputi sekolah-sekolah di Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, beliau tidak bersetuju dengan cadangan Azrul bahawa projek hibrid solar untuk sekolah-sekolah di Sarawak adalah penting untuk menyediakan bekalan elektrik ke sekolah-sekolah di Sarawak supaya program dalam talian Permata boleh sampai ke sana.

Mahdzir berkata sekolah-sekolah yang dimaksudkan untuk menerima sistem hibrid solar itu sudah pun mempunyai bekalan elektrik dengan menggunakan genset jana kuasa diesel.

Azrul kemudian menyoal Mahdzir jika beliau pernah bertanya kepada Rosmah mengenai kebimbangannya mengenai projek solar itu.

Azrul juga mencadangkan kepada saksi bahawa Rosmah mahu membantu projek tersebut semata-mata demi kepentingan program Permata.

Mahdzir berkata beliau tidak pernah bertanya kepada Rosmah mengenai hal ini.


Pembelaan tunjuk Mahdzir surat peguam tawar bukti kes solar

10.30 pagi - Permulaan prosiding hari ini menyaksikan pasukan pembelaan Rosmah Mansor mengasak bekas menteri pendidikan mengenai keterangannya terdahulu, yang mana beliau menafikan telah melantik peguam bernama Datuk Vignesh untuk membuat rundingan dengan SPRM.

Walau bagaimanapun, Mahdzir memberitahu mahkamah beliau menafikan bahagian di mana beliau dikatakan telah mengambil peguam itu untuk melakukan rundingan yang dikatakan pihak pembelaan.

Jelas Mahdzir, beliau memang menggunakan khidmat peguam itu behubung siasatan SPRM terhadapnya pada 2018, tetapi tidak bersetuju bahawa ia bertujuan melakukan rundingan dengan pihak berkuasa.

Peguam bela Jagjit Singh (gambar, bawah) kemudiannya mengeluarkan surat daripada firma undang-undang itu kepada Peguam Negara.

Surat bertarikh 27 Nov 2018 mengatakan firma itu mewakili Mahdzir dan diarahkan untuk menulis kepada pejabat AG berhubung penyiasatan mengenai kes hibrid solar.

Ia kemudian menambah anak guam mereka, merujuk kepada Mahdzir, bersedia memberi keterangan "terhadap penggerak utama skim rancangan itu."

Jagjit kemudian bertanya kepada Mahdzir, siapa yang dimaksudkannya dengan penggerak utama, tetapi saksi berkata beliau tidak dapat menjawab soalan itu.

Mahdzir bagaimanapun tidak bersetuju bahawa penggerak utama itu sama ada pembantu Rosmah, Rizal Mansor atau pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.


Rosmah masuk kandang tertuduh

9.58 pagi - Bekas isteri perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor masuk ke kandang tertuduh di dalam mahkamah, prosiding bermula di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.


Peguam bela Rosmah sebelum rehat makan tengah hari semalam secara tiba-tiba telah meminta penangguhan awal.

Peguam bela Rosmah memberitahu masalah kesihatan yang dihadapi isteri bekas perdana menteri itu sebagai alasannya.

Dijangkakan Mahdzir Khalid akan terus memberikan keerangan sebagai saksi kelima pendakwaan hari ini, ketika pasukan pembelaan Rosmah belum menyelesaikan pemeriksaan balas terhadap bekas menteri pendidikan itu.

Mahdzir telah mula memberi keterangan sejak hari kedua perbicaraan pada Khamis lalu.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan yang mendengar perbicaraan kes rasuah Rosmah Mansor menegur pihak pembelaan kerana mengajukan soalan sama kepada Mahdzir.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat teguran itu selepas peguam Rosmah, Jagjit Singh berulang kali bertanyakan soalan mengenai dakwaan Mahdzir menerima wang RM50,000 seperti yang disiarkan di dalam artikel sebuah akhbar tempatan dan penahanannya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perbicaraan semalam juga menyaksikan Mahdzir diasak peguam bela Rosmah, yang mencadangkan bekas menteri itu terbabit menerima rasuah dan keterangannya terhadap isteri bekas perdana menteri bertujuan menyelamatkan dirinya daripada dikenakan pertuduhan di mahkamah.

Mahdzir telah menafikan semua tuduhan peguam bela Rosmah itu.

Beliau juga tidak bersetuju dengan cadangan bahawa beliau adalah orang yang membuat keputusan untuk memberi projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion kepada Jepak Holdings Sdn Bhd.

Mahdzir juga menolak cadangan pembelaan yang beliau cuba menjadikan Najib sebagai kambing hitam dengan menyalahkan bekas perdana menteri itu.

Pada 15 November 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan meminta suapan berjumlah RM187.5 juta serta menerima RM1.5 juta bagi projek pembekalan tenaga solar di sekolah di pedalaman Sarawak.

Dalam pertuduhan pertama, beliau dituduh secara tidak jujur meminta suapan bagi dirinya sebanyak RM187,500,000, iaitu 15 peratus daripada nilai kontrak projek solar itu daripada pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Beliau dituduh membuat kesalahan itu melalui bekas pegawai khasnya Rizal Mansor.

Ia merupakan dorongan bagi membantu Jepak Holdings mendapat tender secara terus daripada Kementerian Pendidikan bagi Projek Integrasi Sistem Solat Fotovoltaik Hibrid dan Penyelenggaraan, serta Operasi Genset/Diesel untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak, bernilai RM1.25 bilion.

Bagi pertuduhan kedua pula, Rosmah dituduh secara tidak jujur, menerima RM1,500,000 untuk dirinya dari Saidi atas tujuan sama di ‪No. 11, Jalan‬ ‪Langgak‬ ‪Duta,‬ ‪Taman‬ ‪Duta‬ pada 7 September 2017.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 -tertakluk mana lebih tinggi- jika sabit kesalahan.

Pada 10 April 2019, Rosmah dituduh sekali lagi di Mahkamah Sesyen atas dakwaan menerima suapan RM5 juta dari Saidi melalui Rizal untuk membantu Jepak Holdings mendapatkan projek sama.

Lihat Komen
ADS