Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lepas pendedahan rasuah, JPJ mahu lapor pihak berkuasa
Diterbitkan:  Feb 13, 2020 2:32 PM
Dikemaskini: 6:32 AM

Susulan pendedahan Malaysiakini mengenai amalan rasuah dalam penguatkuasaan pengangkutan komersial melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), jabatan itu memaklumkan akan membuat laporan dengan pihak berkuasa mengenai perkara itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, JPJ merujuk laporan Malaysiakini bertajuk 'Rasuah dalam JPJ jahanamkan industri logistik' dan berkata pihak mereka tidak akan berkompromi dengan sebarang kegiatan rasuah dan penyalahguanan kuasa dalam jabatan itu.

"Tindakan tatatertib sehingga buang kerja akan dikenakan sekiranya sabit kesalahan," kata kenyataan itu lagi.

April tahun lepas, seramai 46 pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan Pulau Pinang dicekup SPRM.

Ia bukan sahaja mengejutkan masyarakat awam, tetapi turut menyuntik rasa takut terhadap pegawai-pegawai kerajaan yang korup.


Berita berkaitan: Rasuah dalam JPJ jahanamkan industri logistik


Bagaimanapun selepas setahun penangkapan beramai-ramai itu, keadaan kembali seperti biasa. Ada antara mereka yang meminta ‘pampasan’ bagi bulan-bulan bersih tanpa rasuah itu.

Pemberian rasuah itu, yang antaranya ada yang berjumlah ribuan ringgit setiap bulan, diberikan untuk membenarkan lori syarikat logistik membawa muatan berlebihan atau menerima maklumat mengenai operasi JPJ.

Bagi mengelakkan dikesan, bayaran rasuah akan dimasukkan ke dalam akaun perantara milik keluarga, rakan atau ejen pegawai JPJ.

Pekerja berkata bahawa pegawai JPJ sering bekerja dalam satu pasukan untuk mendapatkan pelbagai rasuah dari satu perjalanan pemandu lori, dengan menyasarkan mereka di jalan raya dan pos pemeriksaan yang berbeza.

Malaysiakini difahamkan bahawa pegawai JPJ menyalahgunakan kuasa dengan menggunakan hukuman yang lebih berat untuk pelanggaran kecil dalam usaha untuk menakut-nakutkan syarikat-syarikat logistik agar memenuhi permintaan mereka.

Sementara itu, syarikat-syarikat logistik yang pada awalnya enggan membayar rasuah mendakwa bahawa lori mereka sering diganggu oleh pegawai JPJ, dan gangguan itu telah menjejaskan perniagaan mereka.

Syarikat-syarikat ini akhirnya bersetuju untuk membayar rasuah bulanan.

Lihat Komen
ADS