mk-logo
Berita
PAS bawa usul undi percaya Dr M demi maslahat rakyat
Diterbitkan:  Feb 14, 2020 11:21 AM
Dikemaskini: 3:58 AM

PAS bakal membawa usul undi percaya menyokong Dr Mahathir Mohamad terus menjadi perdana menteri sehingga PRU 15 pada sesi Dewan Rakyat akan datang demi memelihara kepentingan Malaysia, kata Ketua Penerangannya Kamaruzaman Mohamad.

"Pendirian PAS berhubung sokongan kepada Dr Mahathir mempunyai asas tertentu, termasuk keutamaan untuk menjaga kemaslahatan negara dan rakyat," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Menurut Kamaruzaman pendirian PAS itu dibuat kerana "sebagai negara yang mengamalkan demokrasi, peletakan dan pemilihan perdana menteri haruslah mendapat sokongan semua anggota parlimen terutamanya dari pihak kerajaan."

Menjelaskan lanjut langkah usul percaya PM yang akan dibawa PAS itu, beliau mendakwa berlaku krisis kesepakatan dalam gabungan PH yang mencerminkan ketidakstabilan dalam pemerintahan.

"Parti-parti tersebut tidak menunjukkan komitmen dalam membantu menguruskan negara sebagai sebuah kerajaan, sebaliknya bersaing antara satu sama lain.

"Lebih membimbangkan, apabila wujudnya pihak tertentu dalam kerajaan yang memberi tekanan untuk menyegerakan peralihan kuasa tersebut," katanya lagi.

Semalam, Presiden PKR Anwar Ibrahim selepas bertemu perdana menteri berkata Dr Mahathir tidak terlibat dengan usaha memujuk anggota parlimen menyediakan akuan berkanun (SD) bagi menyokong kepimpinannya sehingga habis penggal.

Sarawak Report minggu ini mendakwa anggota parlimen Umno, PAS, Bersatu dan PKR yang memihak kepada Timbalan Presiden PKR Azmin Ali digesa datang ke Kuala Lumpur bagi menandatangani akuan berkanun (SD) menyokong kepimpinan Mahathir sehingga habis penggal.

Memetik sumber, laman pembocor maklumat itu melaporkan mereka diminta berbuat demikian dalam tempoh 48 jam.

Sarawak Report juga memetik "khabar angin" bahawa ia akan dibawa untuk sokongan Yang di-Pertuan Agong jika berjaya memperoleh bilangan cukup.

Dalam kenyataan petang semalam, Anwar juga berkata beliau cenderung agar Mahathir terus menerajui negara sehingga selesai Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) hujung tahun ini.

Dr Mahathir telah berulang kali berkata beliau akan menunaikan janjinya, pada Disember lalu, perdana menteri membayangkan ia akan berlaku selepas sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) pada November tahun ini.

Dalam satu wawancara dengan portal The Malaya Post pada 9 Februari lalu, Mahathir sekali lagi berkata akan menunaikan janjinya tetapi pada masa sama menegaskan keputusan muktamad terletak pada sokongan anggota Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, terdapat pihak yang membangkitkan soal amalan penyerahan kuasa perdana menteri yang pernah berlaku sebelum ini tanpa memerlukan pengundian di parlimen, misalnya peralihan kuasa daripada Hussein Onn kepada Dr Mahathir dan penyerahan jawatan PM daripada Mahathir kepada Abdullah Badawi.

Perseteruan dalaman antara Anwar dengan timbalannya Mohamed Azmin Ali juga menimbulkan persoalan sekiranya anggota parlimen Port Dickson itu mendapat sokongan daripada kesemua 47 anggota parlimen partinya.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang pada 1 Februari lalu berkata suasana ketika ini memerlukan Mahathir kekal memegang jawatannya sehingga tamat penggal walaupun diasak untuk melepaskan jawatannya.

Mengikut persefahaman dicapai antara pemimpin parti komponen PH menjelang PRU ke-14 hampir dua tahun lalu, Dr Mahathir dicalonkan sebagai perdana menteri bagi menumbangkan Najib Razak.

Mahathir kemudian dikatakan bakal berundur untuk memberi ruang kepada Anwar - yang sebelum itu menjadi calon perdana menteri bagi PKR, DAP dan Amanah.

Penubuhan Bersatu dan penyertaan parti itu ke dalam PH menyaksikan pembangkang ketika itu - Pakatan Rakyat - menukar strategi dengan menawarkan kepimpinan Mahathir yang sebelum ini pernah menjadi perdana menteri selepas lebih 20 tahun.

Selepas membentuk kerajaan pusat pada Mei 2018, sesetengah pemimpin PKR mendesak agar ada tarikh yang jelas ditetapkan untuk peralihan kuasa daripada Mahathir, 94, kepada Anwar, 72.

Lihat Komen
ADS