Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Usul percaya PM: Memang tak pernah dibuat, tapi bukan tak sah
Diterbitkan:  Feb 16, 2020 9:59 AM
Dikemaskini: 1:59 AM

PAS mengakui tidak pernah berlaku lagi mana-mana parti pembangkang membawa usul ke Dewan Rakyat bagi menyatakan sokongan kepada perdana seperti apa yang sedang mereka usahakan sekarang.

Pun begitu, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata langkah tersebut bukanlah salah untuk diambil.

Katanya usul percaya di Dewan Rakyat sesuai dibawa ketika perdana menteri yang sedang berkhidmat dipertikaikan kedudukannya.

"PAS tetap berpandangan apabila perdana menteri yang sedang berkhidmat dipertikaikan kedudukannya, hanya usul undi percaya dalam Dewan (Rakyat) ataupun akuan bersumpah (SD) di luar dewan sahaja boleh menentukan sama ada perdana menteri masih mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat (atau tidak).

"Usul undi percaya di dalam dewan walaupun suatu perkara yang belum pernah berlaku (unprecedented), namun ianya bukanlah tidak sah (illegal)," katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Isu peralihan kuasa antara perdana menteri daripada Dr Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim menjadi pertikaian kerana belum ada tarikh muktamad dinyatakan untuk ia berlaku.

Ia menjadi semakin menjadi panas apabila ada laporan mendakwa sesetengah pihak dalam PH dan Umno mahu Mahathir - yang juga pengerusi Bersatu - menamatkan penggalnya sehingga pembubaran parlimen akan datang.

Wujud sebelum dapat kuasa

Sesetengah pihak mendakwa terdapat anggota Parlimen pembangkang dan PH berpakat untuk menandatangani SD sokongan kepada Mahathir.

Mahathir ketika ditanya media mengenai spekulasi itu menyalahkan media berhubung kontroversi peralihan kuasa antara beliau dan Anwar.

Mahathir berkata beliau akan berundur selepas sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) pada bulan November.

Pada masa sama PAS menggerakkan usaha membawa usul menyokong Mahathir pada sidang Dewan Rakyat akan datang, dijadual berlangsung bulan depan.

Langkah itu dibuat di sebalik pelbagai serangan dan dakwaan parti itu terhadap Mahathir sebelum pilihan raya umum (PRU) 2018.

Umno pula dilihat mengambil sikap berhati-hati dengan langkah PAS berkenaan dan tidak menyatakan sokongan secara jelas mengenainya.

Semalam, Anwar mempersoalkan sokongan pemimpin dan parti PKR dan PH terhadapnya dalam isu peralihan kuasa itu.

Ditanya sama ada tahu identiti anggota parlimen partinya yang terlibat, Anwar berkata: "Saya tak tahu, tapi semua nafi."

Takiyuddin berkata isu peralihan kuasa yang hangat dibincangkan kini sebenarnya mencabar kuasa Yang di-Pertuan Agong.


Baca Penganalisis: Itu tanda PAS takut, cemas


Jelas ahli parlimen Kota Bharu itu, berdasarkan Perkara 40(2) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, hanya Agong boleh bertindak menurut budi bicara mutlak baginda untuk melantik perdana menteri.

Katanya lagi, perjanjian peralihan kuasa yang dikatakan bertarikh 7 Januari 2018 dan kononnya mengehadkan tempoh perdana menteri ketujuh sebelum digantikan Anwar - sekiranya wujud - juga bercanggah dengan undang-undang dan tidak sah.

"Ini kerana perjanjian yang dikatakan wujud itu dibuat sebelum 9 Mei 2018 iaitu tarikh PH mendapat kuasa melalui PRU ke-14.

"Adalah amat ganjil perjanjian peralihan kuasa dibuat sebelum pihak-pihak yang dikatakan mengikat perjanjian tersebut mendapat dan mempunyai kuasa," katanya.

Lihat Komen
ADS