Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Dzulkefly contoh menteri buat kerja tanpa bodek PM'
Diterbitkan:  Feb 17, 2020 2:44 PM
Dikemaskini: 6:44 AM

Rais Hussin memuji Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad dalam mengendalikan wabak Covid-19.

Kata presiden Emir Research itu, pemimpin Amanah itu berjaya melaksanakan tugas-tugasnya sebagai menteri tanpa melibatkan diri dalam politik dalaman.

“Sebagai menteri kesihatan, Dzulkefly menjalankan tugasnya dengan hebat, melaksanakan lebih daripada yang dijangka daripadanya (selaku menteri), tanpa membodek PM (perdana menteri).

“Ada menteri lain dah jadi pakar bodek, tapi lupa nak laksanakan tugas-tugas kementeriannya. Tak habis-habis main politik. Rakyat sengsara,” katanya dalam ciapan di Twitter.

Bagaimanapun, Rais yang juga merupakan ketua strategi Bersatu tidak menamakan mana-mana individu.

Dia turut mengulang ciap satu ciapan yang menyatakan 12 ciri untuk menjadikan seseorang itu dihormati, yang menurutnya, “nasihat yang bagus untuk semua ahli politik Malaysia”.

Dua belas ciri tersebut merupakan: Jangan menipu (kepada diri sendiri dan orang lain), jangan mempertahankan ketidakjujuran, jangan berpura-pura, jangan memanipulasi, jangan menyembunyikan kebenaran, cakap apa yang kamu rasa, jangan menipu, berikan kepercayaan, jelaskan keputusan kamu, kongsikan niat kamu, laksanakan janji-janji, dan jangan bermegah-megah.

Bercakap kepada Malaysiakini kemudiannya, Rais berkata pihak pentadbiran kerajaan mesti fokus dalam menunaikan janji yang terkandung dalam manifesto mereka.

“Tenaga mesti dipacu ke arah mempersiapkan rakyat dan negara untuk berdepan dengan cabaran ekonomi. Politicking yang berterusan dan perebutan takhta ialah pengkhinatan kepada kepercayaan rakyat dan pilihan yang telah mereka buat semasa PRU-14.

“Seperti yang diperkatakan ramai orang, ‘ia tentang ekonomi, bodoh’,” katanya.

Rais Hussin.

PH bergelut dengan permainan politik dan persengketaan dalaman, terutamanya berhubung pelan peralihan kuasa antara Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Minggu lalu, selepas pertemuannya dengan Mahathir, Anwar berkata pelan peralihan kuasa itu akan dimuktamadkan dalam majlis kepemimpinan PH yang akan bermuasyarat Jumaat ini.

Kali terakhir majlis itu bermesyuarat adalah pada November lalu.

Anwar turut mengesahkan terdapatnya “muslihat licik” bagi memastikan Mahathir terus berkuasa, namun menyatakan Mahathir tidak terlibat dengan gerakan tersebut.

Sehari kemudian, Mahathir sekali lagi menegaskan bahawa beliau akan mengundur diri daripada jawatannya selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) yang dijadualkan di Kuala Lumpur, pada November.

Sebelum itu, Sarawak Report melaporkan terdapat ahli parlimen yang "digesa untuk datang ke Kuala Lumpur" bagi menandatangani akuan berkanun (SD) menyokong Mahathir terus berkhidmat sebagai perdana menteri sehingga pilihan raya umum akan datang.

Selain Umno, PAS dan Bersatu, laporan Sarawak Report itu turut mendakwa wakil rakyat PKR yang mahu menyingkirkan Anwar turut menandatangani SD berkenaan.

Semalam, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali, menggesa semua pihak berhenti bermain politik bagi memberikan sokongan buat Mahathir membina semula ekonomi di tengah-tengah krisis wabak Covid-19.

Azmin turut mengelak menjawab soalan tentang dakwaan bahawa beliau merupakan orang tengah antara PAS dan Mahathir.

Lihat Komen
ADS