Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Apa pun keputusan PH Jumaat ini, Dr M letak jawatan lepas Apec

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) akan bersidang Jumaat ini selepas kali terakhir bermesyuarat pada pada November tahun lalu.

Mesyuarat itu sebelum ini dikatakan akan membincangkan isu peralihan jawatan perdana menteri daripada Dr Mahathir Mohamad kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, ketika diminta mengulas mengenainya, Dr Mahathir berkata beliau tidak tahu sama ada mesyuarat Jumaat ini akan membincangkan mengenai peralihan kuasa.

Malah, ketika mengulas, Dr Mahathir sekali lagi mengulangi janjinya untuk berundur selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) 2020 yang akan diadakan Nov tahun ini.

“Tak tahulah (peralihan kuasa akan dibincangkan atau tidak).

"Tapi seperti yang saya kata sebelum ini, saya bersedia bila-bila masa hendak suruh saya letak jawatan, saya letak jawatan. Itu janji saya, saya akan letak jawatan.

"Apa juga keputusan yang dibuat, saya akan letak jawatan selepas Apec nanti,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran Bulan Anti Dadah Kebangsaan 2020 di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama isteri perdana menteri Dr Siti Asmah Mohd Ali, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Mohd Zuki Ali, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Abdul Aziz Jaman dan Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Zulkifli Abdullah.

Pada majlis tersebut Siti Hasmah turut diberi penghormatan untuk menerima anugerah khas Tokoh Antidadah 2020.

Isu peralihan kuasa perdana menteri terus menjadi pertikaian walaupun Dr Mahathir berulang kali menyatakan hasratnya untuk berundur daripada jawatan perdana menteri selepas persidangan Apec, November ini.

Spekulasi terus bertiup apabila terdapat laporan mendakwa sesetengah pihak dalam PH dan Umno mahu Dr Mahathir - yang juga pengerusi Bersatu - kekal menjadi perdana menteri sehingga tamat penggal.

Sarawak Report sebelum ini mendakwa sekumpulan anggota parlimen pembangkang dan PH berpakat menandatangani Akuan Berkanun (SD) untuk menyokong Dr Mahathir dikekalkan sebagai perdana menteri.

Pada masa sama PAS menyatakan hasrat membawa usul 'undi percaya' pada Dr Mahathir pada sidang Dewan Rakyat akan datang, dijadual berlangsung bulan depan.

Untuk rekod, Pada 13 Februari lalu, Anwar mengakui "ada usaha daripada PAS, sekumpulan dari Umno dan sebilangan kecil dari PKR" untuk mendapatkan tandatangan bagi menyokong kepimpinan Dr Mahathir sehingga tamat penggal, tetapi menafikan penglibatan perdana menteri.

Beliau juga berkata isu peralihan kuasa akan dimuktamadkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH yang akan diadakan pada 21 Februari ini.

Lihat Komen
ADS