Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
6 pemimpin bertemu dahulu sebelum mesyuarat PH Jumaat ini
Diterbitkan:  Feb 19, 2020 4:48 PM
Dikemaskini: 9:09 AM

  • Dikemas kini dengan pembatalan lawatan Mahathir ke Laos.

Enam pemimpin paling kanan Pakatan Harapan akan berbincang terlebih dahulu sebelum mesyuarat Majlis Presiden gabungan itu pada Jumaat ini, kata sumber-sumber.

Pertemuan itu akan diadakan pada jam 8.30 malam sebelum disambung dengan mesyuarat Majlis Presiden.

Enam pemimpin itu ialah Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad, Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden PH Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sumber-sumber mendakwa Mahathir mahu Azizah hadir dalam pramesyuarat walaupun beliau biasanya tidak hadir dalam pertemuan awal.

“Saya percaya pramesyuarat ini akan bincang isu peralihan kuasa dan isu-isu lain yang berkaitan. Jadi sebab itulah Mahathir mahu dia datang.

“Mahathir anggap dia faktor penting di belakang pembentukan PH,” kata sumber yang enggan namanya didedahkan kepada Malaysiakini.

Mahathir dan timbalannya Azizah

Minggu lepas, Anwar berkata mesyuarat 21 Februari ini akan memuktamadkan isu peralihan kuasa antaranya dan Mahathir. 

Kali terakhir gabungan itu bermesyuarat tiga bulan lalu.

Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata pramesyuarat diadakan apabila terdapat isu yang perlu diselesaikan sebelum mesyuarat utama.

“Biasanya, lima pemimpin kanan akan ada mesyuarat awal. Ini biasa, bukan perkara baru,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong berkata PH patut membincangkan isu pascapersaraan Mahathir, kedudukan Anwar sebelum mengambil alih pentadbiran dan siapa bakal timbalan perdana menteri.

19 pemimpin dari 4 parti

Selain enam pemimpin di atas, sumber-sumber berkata 19 lagi pemimpin PH dijadual hadir dalam mesyuarat Majlis Presiden. Mereka ialah:

PKR - Timbalan Presiden Azmin Ali, Naib Presiden Tian Chua dan Dr Xavier Jeyakumar, Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Setiausaha Sekretariat PH Saifuddin Abdullah dan Ketua Wanita PH Zuraida Kamaruddin.

DAP – Pengerusi Kebangsaan Tan Kok Wai, Timbalan Pengerusi Gobind Singh, Naib Presiden M Kulasegaran, Setiausaha Pengelola Anthony Loke dan Anggota Jawatankuasa Pusat Lim Kit Siang.

Bersatu - TImbalan Presiden Mukhriz Mahathir, Setiausaha Agung Marzuki Yahya, Ketua Wanita Rina Harun dan Ketua Pemuda PH Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Amanah – Timbalan Presiden Salahuddin Ayub, Anggota Jawatankuasa Pusat Hatta Ramli dan Husam Musa serta Ketua Penerangan Khalid Samad.

Spekulasi muncul lepas lawatan Dr M ke Laos batal

Sementara itu, pembatalan lawatan rasmi Mahathir ke Laos pada minggu berikutnya juga menimbulkan spekulasi akan berlaku suatu perkara besar.

Ketika dihubungi, seorang pembantu perdana menteri berkata: “Lawatan itu dibatalkan susulan keadaan yang tidak dijangka dan jadual yang bertindih.”

Beliau tidak memberikan penjelasan lanjut.

Semalam, Mahathir berkata apa pun keputusan Jumaat ini, beliau tetap akan berundur selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec), November ini.

Sebelum itu, beliau berkata tetap berpegang pada janjinya tetapi Dewan Rakyat yang mempunyai kata putus berkaitan perkara itu.

Terdapat pemerhati melihat perkara itu sebagai tanda Anwar tidak mempunyai sokongan cukup dalam Dewan Rakyat dan sejarah 1998 bakal berulang.

Isu peralihan itu muncul kembali selepas muncul dakwaan akan wujud gabungan politik baru Pakatan Nasional yang dikatakan melibatkan kumpulan pro-Mahathir, PAS dan Umno.

Anwar dan Mahathir dalam pertemuan terbaru mereka

Pada masa yang sama PAS pula berusaha mengemukakan usul percaya terhadap Mahathir dalam Dewan Rakyat pada sidang bulan depan bagi memberi sokongan kepada Mahathir sehingga habis penggal.

Laman pembocor maklumat Sarawak Report mendakwa anggota-angotoa parlimen Umno, PAS, Bersatu dan kumpulan pro-Azmin dalam PKR sedang mengusahakan akuan bersumpah bagi menyokong Mahathir.

Anwar kemudian bertemu dengan Mahathir di Putrajaya.

Anwar selepas itu mengesahkan terdapat “muslihat licik” sedang diusahakan tetapi Mahathir tidak terlibat.

Lihat Komen
ADS