Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tumpuan utama ekonomi, isu peralihan kuasa boleh selesai setengah jam'

Presiden PKR Anwar Ibrahim menjangkakan perbincangan mengenai isu peralihan kuasa akan singkat dan boleh diselesaikan dalam tempoh setengah jam.

Sebaliknya, jelas Anwar, isu ekonomi harus diberi lebih tumpuan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH esok.

"Semestinya kita lebih fokus pada isu semasa dan bukan pelan peralihan (kuasa), ya peralihan itu adalah sebahagian daripada perjanjian, dan itu dapat diselesaikan dalam masa setengah jam.

"Tumpuannya adalah pada ekonomi," kata Anwar ketika ditemui selepas menyampaikan ucapan pada simposium anjuran Help University di Kuala Lumpur, hari ini.

Anwar sebelum itu ditanya tentang isu peralihan kuasa memandangkan esok Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) akan bersidang dan dijangka akan membincangkan isu berkenaan sebagai salah satu fokus pertemuan.

Dr Mahathir sebelum ini menegaskan bahawa apa pun keputusan mesyuarat Majlis Presiden PH esok, beliau tetap akan melepaskan jawatan selepas Sidang Kemuncak Kerajasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada Nov ini.

Anwar pula memberi gambaran bahawa beliau tidak kisah untuk menunggu sedikit masa lagi.

Bagaimanapun, baru-baru ini timbul dakwaan yang mengatakan sekumpulan anggota parlimen menandatangani akuan bersumpah (SD) untuk menyokong Dr Mahathir kekal sehingga habis penggal.

Anwar mengesahkan wujudnya "muslihat licik" berhubung perkara itu namun menafikan penglibatan Dr Mahathir.

Sementara pada 16 Feb lalu, ahli parlimen PKR William Leong mengingatkan perlunya "pelan B" untuk memastikan Anwar tidak dinafikan menjadi perdana menteri.

Ketika bercakap dengan media hari ini, Anwar berkata beliau dan Dr Mahathir sendiri tidak seharusnya diberi tekanan berhubung isu peralihan kuasa.

"Selepas perbincangan dengan beliau (Dr Mahathir), ia (peralihan) akan berlaku selepas Apec...Saya tidak fikir sesiapa saja perlu diletakkan di bawah tekanan, saya atau Tun (Mahathir)," katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Dr Rais Yatim yang menggambarkan sesuatu akan berlaku sebelum November tahun ini, Anwar berkata beliau menganggap kenyataan Rais sebagai pandangan perbadi.

"Ia adalah pandangan peribadinya, tidak penting, saya tidak ambil tahu, saya hanya ikut ketetapan, perbincangan saya dengan perdana menteri ialah ketetapan dan saya teruskan dengan itu," jelasnya.

Lihat Komen
ADS