mk-logo
Berita
Kumpulan pendidikan Melayu cabar keperlembagaan sekolah vernakular
Diterbitkan:  Feb 21, 2020 10:58 AM
Dikemaskini: 2:58 AM

Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia memfailkan saman terhadap kerajaan di Mahkamah Tinggi di Kota Bharu untuk mencabar kewujudan sekolah-sekolah vernakular dari sudut perlembagaan.

Kumpulan itu memohon pengisytiharan bahawa Seksyen 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996, yang membenarkan penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa penghantar di sekolah Cina dan Tamil, tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam satu kenyataan, peguam yang mewakili kumpulan itu, Shaharudin Ali, berkata saman itu difailkan petang semalam.

"Mahkamah dijangka menetapkan tarikh untuk pengurusan kes tidak lama lagi," kata Shaharudin.

Seksyen 17(1) menyatakan bahasa kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri daripada subseksyen ini.

Seksyen 17(2) pula menyatakan jika bahasa pengantar utama di sesuatu institusi pendidikan adalah selain daripada bahasa kebangsaan, maka bahasa kebangsaan hendaklah diajarkan sebagai mata pelajaran wajib di institusi pendidikan itu.

Seksyen 28 pula berkenaan penubuhan dan penyenggaraan sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan. Ia menyatakan, "tertakluk kepada peruntukan akta ini, menteri boleh menubuhkan sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan dan hendaklah menyenggarakan sekolah-sekolah itu.

Ini merupakan cubaan ketiga untuk mencabar kewujudan sekolah-sekolah vernakular selepas Pakatan Harapan mengambil alih kuasa sebagai kerajaan persekutuan.

Sebelum ini, naib presiden Putra, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz mengemukakan saman terhadap kerajaan untuk mencabar penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar pengajaran di sekolah-sekolah vernakular.

Pada Disember 2019, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) mencabar kewujudan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

Kedua-dua kumpulan itu mendakwa sekolah vernakular bertentangan dengan penggunaan bahasa kebangsaan di bawah Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 152 (1)(a) menyatakan bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu dan tiada sesiapa yang boleh dilarang menggunakan (selain bagi maksud rasmi) atau daripada mengajar atau belajar bahasa lain.

Lihat Komen
ADS