Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Menteri: Hutan Simpan Kuala Langat kekal penting buat 4 kampung Orang Asli
Diterbitkan:  Feb 22, 2020 6:31 PM
Dikemaskini: 10:33 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy menyangkal dakwaan bahawa kawasan Hutan Simpan Kuala Langat tidak lagi sesuai untuk dikekalkan.

Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Orang Asli itu berkata kawasan yang dicadangkan untuk pembangunan semula itu memainkan peranan penting kepada kira-kira 1,049 penduduk empat kampung Orang Asli, iaitu Bukit Kecil, Bukit Ceeding, Busut Baru dan Pulau Kempas.

"Walaupun kawasan pembangunan yang dirancangkan itu tidak melibatkan perkampungan Orang Asli secara terus, ia merupakan kawasan rayau tradisi mereka sejak 1845.

"Ia kemudian diiktiraf sebagai tanah adat Sakai seluas 17,900 ekar bagi mereka mendapatkan hasil hutan seperti buluh, rotan, ubat herba, hasil buruan serta mengusahakan tanaman kelapa sawit, getah dan dusun buah-buahan," katanya dalam kenyataan.

Katanya lagi, kawasan itu bagaimanapun telah mengecil dari tahun ke tahun.

Pada 20 Februari lalu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata cadangan pemansuhan status hutan simpan di Kuala Langat Utara kerana 40 peratus kawasan itu sudah menjadi hutan rosot dan untuk mengelakkan kegiatan pembakaran hutan secara haram berulang.

Beliau juga berkata ia tidak akan mengurangkan jumlah hutan simpan di Selangor kerana akan digantikan dengan kawasan baru, dengan tambahan keluasan lebih 121 hektar.

Bagaimanapun beliau berkata cadangan nyahwarta itu masih di peringkat awal dan kerajaan negeri akan mendapatkan maklum balas semua pihak berkepentingan.

Waythamoorthy berkata lagi, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) tidak menghalang pembangunan tetapi ia harus mengambil kira hak dan kebajikan masyarakat Orang Asli.

"Terutama berkenaan pengekalan cara hidup, tradisi, budaya dan hak mereka untuk mengekalkan tanah adat dan tanah rayau.

"Kerajaan Selangor diminta berbincang secara menyeluruh dengan pihak Jakoa agar keperluan dan impak cadangan pembangunan ini kepada masyarakat Orang Asli diperhalusi bagi mencapai keputusan menang-menang," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS