Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

ULASAN | Jangan hilang fokus, Pakatan Harapan (PH) hadir di persada kuasa atas mandat rakyat untuk pembentukan Malaysia Baru yang tanpa rasuah, parlimen yang bebas, serta memelihara perpaduan dan keharmonian. Fokus Malaysia Baru ialah pemulihan secara instituitional semua instrumen negara.

Peralihan kuasa bukan fokus utama PH dan sememangnya di kalangan anggota kepimpinan PH amat menyedari hakikat ini.

Sebab itu, Anwar Ibrahim yang menjadi watak utama dalam peralihan ini menegaskan supaya didahulukan kepentingan mentadbir negara daripada perbahasan peralihan kuasa.

Dr Mahathir Mohamad yang diberi kepercayaan sebagai perdana menteri oleh semua komponen PH juga sedar tanggungjawab tumpuan apabila meletakkan Apec sebagai had tempoh demi kepentingan negara.

Kedua-dua tokoh besar negara amat memahami hasrat dan keutamaan PH, bukan isu peralihan yang diutamakan.

Kalau begitu, mengapakah hiruk-pikuk peralihan kuasa ini?

Hanya kelompok tertentu yang sudah hilang fokus terdiri daripada mereka yang tidak merasai susah payah perjuangan sejak hujung 90-an di kalangan PH, mereka yang sudah ada dalam perjuangan reformasi yang 'bimbang berlebihan' dan kelompok yang mengheret perbalahan dalaman parti lalu mengeksploitasi isu peralihan kuasa.

Pembangkang pula yang menangguk dari air yang keruh lebih melihat kepentingan politik kepartian mereka bukan soal kepentingan utama negara.

Lihatlah sepanjang hampir dua tahun PH, isu yang mereka ketengahkan tidak membawa kepada pemulihan institusi negara bahkan menjejas perpaduan dan hubungan kaum dengan hamburan perkauman dan agama sempit.

Umno secara khusus tiada local standi untuk bercakap tentang pemulihan sedangkan tekanan politik kepada proses pemulihan terbentuk atas kegagalan Umno dan BN.

Tangan 'daulah terpendam'

PAS pula hilang kredibiliti kerana mengheret pengikutnya kepada 'politik ketaksuban' dan hidup di alam utopia politik. Entah di mana pijaknya politik mereka hingga hari ini adalah misteri PAS.

Hilang fokus kepada isu pemulihan institusi negara turut membawa dilema kepada penjawat awam. Penjawat awam dalam keadaan tidak bermotivasi kerana tiada kestabilan dan sekaligus mencacat perlaksanaan dasar-dasar baru yang hendak dilaksanakan oleh PH.

Diburukkan lagi dengan tangan-tangan 'daulah terpendam'.

Sikap daripada kepimpinan komponen PH amat jelas dan mandat rakyat sentiasa menjadi keutamaan manakala isu peralihan kepimpinan telah pun ditangani dengan hikmah.

Dr Mahathir perlu diberi ruang dan Anwar Ibrahim sedia menunggu. Itulah yang kami tegaskan selama dua tahun ini.


MUJAHID YUSOF ialah Naib Presiden Parti Amanah Negara dan Anggota Parlimen Parit Buntar.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS