Paling Popular
Terkini

ULASAN | Umum mengetahui bahawa Pakatan Harapan (PH) asalnya adalah sebuah perkahwinan politik.

Satu pihak, golongan liberal dan moderat, mahu menumbang kerajaan Barisan Nasional (BN). Satu pihak lagi, golongan konservatif dan neo-konservatif, adalah lebih spesifik - mahu menjatuhkan Najib.

Namun atas titik temu untuk menewaskan pentadbiran Najib dalam Pilihan Raya Umum 2018 (PRU 2018), kesepakatan dicapai bagi membentuk sebuah pakatan politik yang mantap dengan mengkoordinasikan dua golongan ini, dalam usaha untuk menyaingi BN dengan lebih berkesan.

Strategi ini membuahkan hasil. Tanpa disangka ramai, malah PH sendiri, rejim BN yang mendominasi pemerintahan Malaysia lebih enam dekad, berjaya ditumbangkan dalam PRU 2018.

Namun implikasinya, struktur parti hybrid (menggabung elemen konservatif dan liberal) terbentuk, dan PH sukar mempunyai hala tuju yang dengan tekanan (forces) yang berbeza-beza daripada dua elemen ini (konservatisme lawan liberalisme) dalam pakatan parti itu.

Pengiktirafan ICERD umpamanya, selepas diumumkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, wujud dua kumpulan yang berbeza dasar. Satu pihak mahukan kerajaan menarik balik pengiktirafan itu, satu lagi mahu ia diteruskan.

Begitu jugalah hal dengan pendirian kerajaan terhadap Sosma. Hal ini dirumitkan lagi, dengan golongan konservatif memegang kuasa dominan, melalui kedudukan penting dan strategik di dalam kerajaan.

Golongan liberal dan moderat pula lebih berpengaruh dalam pakatan parti pemerintah, dengan kedudukan utama dan terbanyak di dalam parti pemerintah dan Parlimen.

Persaingan kuasa

Inilah realpolitik kerajaan PH ini, ketidaktentuan dasar dan hala tuju, hasil dari persaingan kuasa kepimpinan dan parti-parti dalaman pakatan itu.

Pengumuman Dr Mahathir pada lewat malam 21 Februari 2020 sejurus selepas Mesyuarat Majlis Presiden PH membangkitkan dua ketidaktentuan baharu dalam isu ketidaktentuan transisi kepimpinan kini.

Pertama, sampai bilakah Dr Mahathir akan memerintah? Dua tahun, tiga tahun, atau sepenggal? Kedua, apakah benar Presiden PKR Anwar Ibrahim akan menggantikan beliau?

Umum mengetahui, Anwar telah disepakati oleh PH pada awal 2018 sebagai pengganti Dr Mahathir sekiranya PH berjaya ke Putrajaya pada PRU 2018. Cakap-cakap asal, malah oleh Dr Mahathir sendiri, hanya untuk dua tahun sahaja.

Kemudian selepas memegang kuasa, Dr Mahathir mengatakan itu adalah cadangan semata-mata, dan beliau tidak terikat dengan itu. Beberapa bulan lepas, Dr Mahathir mengumumkan bahawa beliau akan menyerahkan jawatan kepada Anwar selepas persidangan APEC pada November 2020, sekaligus merupakan lanjutan dari Mei 2020, dan dari 'cakap-cakap asal'.

Terbaru, pada 21 Februari 2020, Dr Mahathir mengumumkan kuasa untuk menentukan kedudukannya, dan untuk berapa lama, adalah hak prerogatifnya.

Terpulang pada beliau untuk memerintah sampai bila tanpa perlu meletakkan satu tarikh masa. "Tiada tempoh masa, tiada tarikh dan tiada apa-apa," kata Dr Mahathir dalam soal ini.

Dan apabila ditanya lagi oleh wartawan "adakah Anwar penggantinya?", Dr Mahathir mengelak dan menyatakan persoalan itu tidak dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH.

Hal ini membangkitkan persoalan dan dilema transisi dalam kepimpinan PH, yang bukan sahaja tidak jelas, tetapi semakin tidak jelas.

Dari satu sudut yang positif, keputusan ini boleh dilihat sebagai satu kompromi kepimpinan PH dan penerusan pakatan parti itu sebagai pemerintah, dengan mengurangkan risiko penubuhan kerajaan baru bersama Muafakat Nasional (MN).

Hal ini penting dalam memastikan kestabilan politik dan ekonomi semasa kekal dan tidak terus terganggu dengan permainan penguasa-penguasa politik. Ia juga boleh dilihat sebagai satu langkah untuk menjaga air muka Dr Mahathir yang agak teruk ditekan oleh elemen liberal di dalam PH, selain memastikan kelancaran perlaksanaan dasar pentadbiran beliau.

Sebaliknya, perkembangan terbaharu ini turut memperlihatkan penerusan konsep ketertinggian eksekutif dalam sistem politik Malaysia, khasnya kedudukan dan kekuasaan perdana menteri.

Struktur parti BN sebelum ini dikritik ramai penganalisis sebagai tidak seimbang, dengan pemusatan kuasa eksekutif yang tinggi di tangan perdana menteri, yang memboleh elemen kleptokrasi terbentuk sebelum ini.

Organisasi parti PH, di peringkat awal, dilihat lebih seimbang, khasnya dengan penginstitusian Majlis Presiden PH. Majlis ini bersidang setiap bulan. Ia menyediakan bukan sahaja wadah untuk para presiden parti komponen PH untuk berbincang secara langsung dengan Perdana Menteri, tetapi juga menyarankan agenda bersama parti pemerintah dan menyemak kekuasaan PM, agar lebih setara dan kolektif bersama kepimpinan parti-parti lain di dalam parti itu.

Namun, isu peralihan kuasa perdana menteri dan lain-lain dasar PH menunjukkan bahawa isu kekuasaan, lebih spesifik lagi, ketertinggian kuasa perdana menteri di dalam sistem politik Malaysia masih lagi berterusan di dalam rejim Malaysia Baru.

Mahathir baru

Pelbagai perkara dan keputusan didominasi oleh PM tanpa sekatan dan semakan yang yang efektif dari parti pemerintah, badan-badan dan agensi-agensi lain dalam kerajaaan.

Dalam isu transisi kuasa, Majlis Presiden PH nampaknya lumpuh. Dari sudut pelantikan utama jawatan sektor awam, Jawatankuasa Parlimen lebih kepada satu hal yang kosmetik.

Dari masa ke semasa, boleh dilihat corak yang jelas perluasan kuasa Perdana Menteri yang melemahkan dan membelakangkan kuasa-kuasa lain yang boleh menyemak dan mengimbangi kuasa PM, walaupun masih belum mencapai tahap kekuasaan Najib Razak semasa beliau memegang tampuk pemerintahan negara.

Namun, sistem politik dan ekonomi Malaysia di bawah 'Dr Mahathir baru' kini telah direkayasa dengan pelbagai kerumitan dan kesimbolikan demokrasi baru, meskipun operasi kekuasaan secara praktiknya tidak banyak berubah.

Justeru timbul persoalan, apakah yang berlaku pada PRU 2018 itu sebuah perubahan regim? Ataupun ia sebenarnya adalah satu penyusunan semula rejim lama dalam bentuk baharu?

Kesemua wakil parti komponen PH diugut wakil parti Bersatu bahawa parti itu akan keluar PH sekiranya Dr Mahathir terus ditekan untuk berundur dalam Mesyuarat Majlis Presiden baru-baru ini.

Mohamad Sabu, memahami akan maksud ugutan itu, membalas bahawa mereka tidak kisah kerana "sudah biasa menjadi pembangkang". Gertakan itu tidak bermaksud Bersatu akan menyerahkan kuasa dan kedudukan dominannya dalam badan eksekutif, sebaliknya lebih membawa maksud untuk keluar dari PH, dan bentuk kerajaan baharu dengan pihak lain.

Anwar juga semakin kelihatan sebagai bukan pengganti pilihan Dr Mahathir lewat ini. Dr Mahathir cenderung mengelak dari menjawab persoalan itu kebelakangan ini, dan apabila jawapan diberikan, ia sering tidak membawa apa-apa makna, selain Anwar perlu terus menunggu.

Dr Mahathir sebagai 'Dr Mahathir', tiada siapa yang boleh membacanya. Keputusan beliau boleh berubah berdasarkan perkembangan dan kepentingan semasa di sekeliling beliau.

Politik Malaysia hampir dua tahun pentadbiran PH di Putrajaya kini kembali di bawah Dr Mahathir. Tidak banyak yang boleh menghalang beliau kecuali masa. Berdasarkan keadaan semasa kini, peluang Anwar sebagai PM nampaknya lebih tipis.

Namun sekali lagi, Dr Mahathir menjadi Dr Mahathir, tiada siapa yang boleh menjangkakan beliau. Anwar mungkin diangkat beliau sebagai pengganti kalau keadaan dan kepentingan di masa depan mereka boleh diselaraskan sekali lagi.

Apapun buat masa ini, politik nampaknya masih lagi mengatasi prinsip. PH jelas sekali sebuah pakatan yang rapuh, yang kini sebenarnya hidup atas kompromi kepentingan-kepentingan yang bukan sahaja bersaing, tetapi berbeza dan bertentangan antara satu sama lain.

Manakala yang berlaku pada PRU 2018 bukanlah satu perubahan rejim yang fundamental, tetapi lebih kepada penyusunan semula rejim pemerintah dalam bentuk dan koordinasi yang baru, yang mungkin tidak berkekalan lama.


DR MUHAMAD NADZRI MOHAMED NOOR merupakan penganalisis politik.

Tulisan ini adalah pendapat peribadinya dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS