BERITA

Amanah, DAP mahu namakan semula Mahathir sebagai PM

Diterbitkan
Dikemaskini 24 Feb 2020, 9:38 pagi

Majlis presiden Pakatan Harapan akan mengadakan mesyuarat tergempar malam ini, dengan DAP berikrar untuk mencalonkan Dr Mahathir Mohamad semula untuk terus menjadi perdana menteri.

Dalam satu kenyataan hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat panjang kepimpinan DAP hari ini, Setiausaha Agung parti itu Lim Guan Eng berkata partinya memuji Dr Mahathir kerana enggan bekerjasama dengan Umno yang "korup".

"Saya telah berjumpa dengan Tun (Mahathir) pagi ini di kediamannya dan terkejut apabila dia memberitahu saya mengenai hasratnya untuk meletakkan jawatan.

"Mahathir dengan jelas menyatakan bahawa beliau tidak boleh bekerjasama dengan Umno selepas kita bekerja keras untuk menolak Umno semasa pilihan raya 2018.

"DAP memuji pendirian berprinsip Tun yang enggan bekerjasama dengan Umno, yang pemimpinnya terlibat dalam amalan rasuah dan salah tadbir," kata Lim.

Beliau juga memuji Mahathir sebagai perdana menteri Malaysia pertama yang bersedia meletakkan jawatan atas prinsip menegakkan integriti dan memerangi rasuah.

Pada masa sama, Lim juga menolak tanggapan bahawa gabungan itu telah kehilangan majoriti untuk kekal sebagai kerajaan.

"Saya menolak tanggapan yang kita tidak mempunyai majoriti [...]

"Itu (harus) diuji di parlimen apabila bersidang pada bulan Mac jadi mari kita lihat, marilah kita tunggu bersama.

"Saya fikir akan ada banyak pihak yang mengadakan sidang akhbar ketika ini, kita tunggu selesai. Kita boleh membincangkan kemungkinan secara terperinci sama ada esok atau beberapa hari akan datang," jawabnya apabila ditanya oleh media.

Begitu juga, presiden Amanah, Mohamad Sabu mengumumkan bahawa partinya akan tetap menyokong Mahathir sebagai menteri.

"Parti Amanah Negara ingin menegaskan pendirian bahawa kami menyatakan sokongan penuh kepada Mahathir sebagai perdana menteri Malaysia dan untuk terus memimpin PH.

"Semoga Allah SWT memberi kekuatan kepada Tun untuk melalui kemelut politik yang berlaku ini," katanya.

Mahathir telah meletak jawatan sebagai perdana menteri dan sebagai pengerusi Bersatu.

Sementara itu, presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengumumkan parti itu akan keluar dari PH. Pada masa sama Azmin Ali dan 10 ahli parlimen PKR yang lain turut keluar parti dan meninggalkan PH.

Ketika ditemui pemberita selepas berjumpa Agong, Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata beliau menasihati Mahathir agar tidak meletakkan jawatan.

Katanya beliau cuba memujuk Mahathir agar menukar fikiran tetapi ahli parlimen Langkawi itu berkata, beliau kecewa kerana dikaitkan dengan pihak "yang korup".

"Saya ada merayu kepada beliau bagi pihak PKR dan PH.

"Pengkhianatan ini boleh ditangani bersama, tetapi sudah tentu beliau ada pandangan yang berbeza.

"Beliau berpendapat tidak wajar untuk beliau dilayan begitu, dikaitkan untuk bekerja dengan perasuah," katanya.

Anwar juga berpandangan, Mahathir tidak terlibat dalam gerakan menjatuhkan kerajaan PH.

"Tidak, saya tak fikir beliau (terlibat). Namanya digunakan oleh orang dalam dan luar parti dan beliau menyatakannya sekali lagi seperti sebelum ini, beliau tak ada peranan.

"Beliau sangat jelas (pendiriannya), tidak mungkin untuk beliau bekerjasama dengan sesiapa yang ada kaitan dengan rejim lalu," katanya.

Mahathir dijadual bertemu dengan Agong pada petang ini untuk membincangkan peletakan jawatannya.

*Laporan tambahan oleh Ng Xiang Yi, Hariz Mohd, Annabelle Lee

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.