mk-logo
Berita
Luah kemarahan pada MP paling tadah - NGO
Diterbitkan:  Feb 24, 2020 6:53 PM
Dikemaskini: 10:53 AM

Kumpulan masyarakat sivil menggesa orang ramai menyuarakan kemarahan kepada anggota parlimen yang telah mengkhianati undi rakyat dengan berpaling tadah

Dalam satu kenyataan bersama, mereka berkata "semua anggota parlimen PH yang menang atas tiket PH tetapi telah menukar ikatan parti meletak jawatan dengan serta-merta kerana mereka tidak lagi menikmati mandat rakyat."

Mereka menjelaskan jika MP berkenaan gagal berbuat demikian, maka parlimen perlu dibubarkan untuk membolehkan pilihan raya umum baru diadakan.

Mereka juga "memohon kepada Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong untuk memperkenankan pembubaran."

"Kami menyeru semua rakyat Malaysia untuk meluahkan kemarahan dan kehampaan dan, bersama-sama dengan masyarakat sivil, menyuarakan kedua-dua tuntutan di atas terhadap pengkhianatan dan penguguran mandat yang diberikan kepada Kerajaan PH.

"Malaysia boleh meluahkan suara mereka melalui media sosial, surat kepada ahli-ahli parlimen mereka dan mengorganisasikan perhimpunan aman di mana jua mereka berada.

"Pembentukan sebarang kerajaan pintu belakang tidak boleh ditoleransi langsung dan tidak akan berlaku tanpa bantahan awam.

"Bersih 2.0, sebagai penganjur utama kenyataan ini, akan menganjurkan Bersih 6 jika kedua-dua tuntutan kami di atas tidak dipenuhi," kata mereka lagi.

Kenyataan itu ditandatangani 34 pertubuhan, termasuk Bersih, Suaram dan Amnesty International Malaysia.

Kenyataan gabungan NGO ini mengulas tindakan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin mengumumkan partinya yang mempunyai 26 MP keluar daripada PH dan bekas timbalan presiden PKR, Azmin Ali yang mengaturkan 11 MP PKR untuk berpaling tadah.

Semalam, Muhyiddin, Azmin, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi, Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Presiden GPS Abang Johari Openg dan Presiden Warisan Shafie Apdal telah bertemu dengan Yang Di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan campuran baru.

Bagaimanapun, Azmin mendedahkan baginda Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam meminta lebih banyak masa untuk membuat keputusan.

Dr Mahathir Mohamad kelihatan tidak merestui langkah itu dan meletak jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu.

Kumpulan masyarakat sivil itu pada hari ini turut berkata, sebarang percubaan untuk membentuk "kerajaan pintu belakang" adalah tidak demokratik.

"Kami memandang percubaan untuk membentuk sebuah kerajaan pintu belakang sebagai tindakan yang melanggar demokrasi dan mengkhianati pengundi yang telah memangkah untuk perubahan.

"Rakyat telah memilih Pakatan Harapan dan parti-parti sepakatnya atas janji-janji dan dasar-dasar dalam manifesto masing-masing.

"Penyusunan semula komponen-komponen gabungan pemerintah di pertengahan penggal melalui lompat gabungan dan parti telah menggagalkan manifesto pilihan raya PH, iaitu Buku Harapan.

"Sebagai pengundi, kami berasa amat jelik dengan percaturan oleh ahli-ahli parlimen dalam gabungan pemerintah dan pembangkang yang melanggar norma demokrasi dalam politik parti yang bertanggungjawab," tegas kenyataan itu.

Lihat Komen
ADS