Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tok Mat teringat pesanan Gus Dur
Diterbitkan:  Feb 24, 2020 8:16 PM
Dikemaskini: 12:16 PM

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menyuarakan pandangannya yang tersendiri terhadap perkembangan politik negara masa kini.

Katanya, dalam keadaan sekarang, dia teringat pada pesanan yang pernah diberikan presiden Indonesia keempat, Gus Dur- atau nama sebenarnya Abdurrahman Wahid.

“Yang lebih penting dari politik dan segalanya, adalah kemanusiaan,” kongsinya di Facebooknya.

Kata Adun Rantau itu, perkembangan yang berlaku beberapa hari lalu mendatangkan dampak yang besar kepada Malaysia.

“Dalam percaturan politik yang sedang berlaku ini, semoga pemenangnya adalah rakyat, tanah air kita Malaysia dan demokrasi,” kongsinya lagi.

 

Kerajaan PH tumbang selepas Bersatu dan 11 ahli parlimen PKR termasuk Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali meninggalkan gabungan itu.

Bermula daripada “perjumpaan khas” oleh Bersatu dan sebahagian pemimpin PKR yang menyebelahi Mohamed Azmin Ali semalam, khabar angin yang sudah lama bertiup, semakin kencang bahawa gerakan untuk menukar kerajaan sudah hampir pasti berlaku.

Kemuncaknya semalam, apabila anggota-anggota parlimen dari Bersatu, BN, PAS dan PKR dari kem Azmin, bertemu dalam satu majlis makan malam di Hotel Sheraton, menguatkan lagi spekulasi itu.

Setelah beberapa kumpulan pemimpin politik keluar masuk ke Istana Negara semalam dan hari ini, Dr Mahathir Mohamad pula secara mengejut meletakkan jawatannya selaku perdana menteri dan pengerusi Bersatu.

Anwar menafikan penglibatan Mahathir dalam menjatuhkan PH dan mendakwa Dr Mahathir meletakkan jawatan kerana kecewa dikaitkan akan bekerjasama dengan "perasuah".

Pada masa sama DAP dan Amanah pula menyatakan sokongan agar Dr Mahathir terus menjadi perdana menteri setelah melakukan pertemuan dengannya di kediamannya hari ini.

Mengulas lanjut mengenai situasi yang berlaku dalam dua hari ini, Mohamad berpesan pada rakan-rakan politiknya, bahawa mempunyai cita-cita dan aspirasi politik itu wajar, selagi seseorang ahli politik itu “pandai menginsafi” batasan etika dan nilai.

“Semoga Allah SWT memelihara dan memberikan kesejukan kepada bangsa dan negara ini.

“Sesungguhnya kekuasaan penuh berada dalam ketentuan Allah SWT jua. Dialah yang memberi kekuasaan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan mencabut kekuasaan daripada sesiapa yang kehendaki-Nya,” kongsinya lagi.

Dalam perkembangan terkini, berdasarkan kenyataan terbaru daripada Ketua Setiausaha Negara, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima pelantikan Dr Mahathir selaku perdana menteri interim sementara menunggu perdana menteri baru dilantik mengikut Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Lihat Komen
ADS