Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Dr M letak jawatan sebab pemimpin Bersatu lebih dengar cakap SU politiknya'
Diterbitkan:  Feb 25, 2020 3:25 PM
Dikemaskini: 8:31 AM

Tokoh veteran A Kadir Jasin berkata Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai pengerusi Bersatu kerana majoriti Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu lebih menghiraukan pandangan "setiausaha politiknya berbanding pandangannya".

"Beliau (Mahathir) meletakkan jawatan kerana merasakan majoriti ahli Majlis Pimpinan Tertinggi lebih mendengar cakap setiausaha politiknya berbanding dirinya sendiri," kata Kadir dalam tulisan di blognya hari ini.

Kadir yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi Bersatu bagaimanapun tidak menyatakan secara spesifik "setiausaha politik" yang dimaksudkannya.

Untuk rekod, Mahathir mempunyai tiga setiausaha politik iaitu Abu Bakar Yahya, Muhammad Zahid Mat Arip, Mohamad Nuhairi Rahmat. Malaysiakini masih cuba menghubungi mereka untuk mendapatkan ulasan.

Kadir berkata, Mahathir merujuk kepada "perdebatan hangat" yang berlaku dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi yang membincangkan masa depan Bersatu dalam PH, yang berlangsung Ahad lalu.

"Pada mesyuarat itu, Mahathir menjelaskan mandat yang diberikan Majlis Presiden PH pada mesyuarat 21 Feb.

"Beliau merayu kepada ahli Majlis Pimpinan Tertinggi untuk tidak memaksanya mengenepikan prinsip dan melanggar janjinya (untuk menyerahkan kuasa kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim selepas Sidang Apec pada Nov)," katanya.

Semalam, selain meletakkan jawatan sebagai perdana menteri, Mahathir juga meletakkan jawatan sebagai pengerusi Bersatu.

Peletakan jawatan Mahathir itu hadir tidak lama selepas Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa Bersatu keluar PH, selain 11 ahli parlimen yang diketuai Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali meninggalkan PKR dan PH.

Dalam tulisannya, Kadir berkata kunjungan "yang tidak dirancang" oleh pemimpin Bersatu pagi ini di kediaman Mahathir adalah bagi merayu beliau menarik balik peletakan jawatan sebagai pengerusi Bersatu.

"Tapi daripada apa yang dapat dilihat, beliau (Mahathir) tidak melihat rayuan mereka sebagai perkara yang penting.

"Memang sewajarnya begitu. Ada banyak perkara lain yang lebih penting yang memerlukan perhatiannya.

"Ini termasuklah menguruskan ekonomi, menstabilkan pasaran, meneruskan cadangan pakej ransangan ekonomi, berunding dengan ketua-ketua penjawat awam dan berjumpa dengan parti-parti politik utama," katanya.

Tambah Kadir yang juga merupakan ahli Majlis Tertinggi Bersatu, dengan berjumpa dengan parti-parti politik utama, Mahathir akan lebih faham tentang maksud sokongan yang diberikan kepadanya bagi menyusun langkah seterusnya.

"Sebagai contoh, adakah mereka menyokong beliau (Mahathir_ kerana mereka benar-benar mahu melihatnya menerajui negara atau kerana mereka tidak mahu musuh politik mereka menang sokongan popular untuk menjadi perdana menteri?

"Jika mereka benar-benar sokong beliau dan tidak ada pencabar lain, beliau boleh membentuk kerajaan baru," katanya.

Sejak Ahad lalu, situasi politik negara menyaksikan perkembangan-perkembangan drastik susulan usaha penjajaran semula kuasa.

Selepas Bersatu yang memegang 26 kerusi parlimen dan kumpulan Azmin yang mewakil 11 kerusi meninggalkan PH, gabungan itu tidak lagi mempunyai majoriti di parlimen.

Bagaimanapun, setakat laporan ini ditulis, masih tidak jelas parti atau pakatan politik yang mempunyai majoriti parlimen.

Selepas melantik Mahathir sebagai perdana menteri interim semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini mula menemu bual semua ahli parlimen bagi memutuskan berhubung jawatan perdana menteri.

Lihat Komen
ADS