Malaysiakini
BERITA

Orang Asli berdemo mohon MB selamatkan Hutan Kuala Langat

Yasmin Ramlan

Diterbitkan

Lebih 200 masyarakat Orang Asli hari ini berkumpul di hadapan bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) untuk menyuarakan bantahan terhadap cadangan kerajaan negeri Selangor untuk memansuhkan Hutan Simpan Kuala Langat.

Menurut Tok Batin Rahman Pahat, memorandum bantahan yang diserahkan hari ini bertujuan supaya Menteri Besar Amirudin Shari mempertimbangkan pemansuhan status Hutan Simpan Kuala Langat.

"Hutan simpan tempat kami.. dari dulu hingga sekarang (kami) sayang hutan.

"Ikut dalam sejarah kita dah turun menurun 1845 orang asli di sana.

"Kita kesal dengan tindakan YB menyahkan hutan tersebut. Terlalu lama (kami di situ) sejak dari kecil, dari nenek moyang kami," kata Rahman yang juga tok batin bagi kampung Pulau Kempas, Bukit Ceeding dan Bukit Kecil.

Lapan buah bas yang membawa mereka bertolak seawal jam 9 pagi dari Kuala Langat dan mereka seterusnya berkumpul di Dataran Shah Alam sebelum berjalan kaki ke bangunan SSAAS.

Meskipun dalam keadaan panas terik, masing-masing yang hadir bersemangat melaungkan bantahan serta membawa plakad seperti "Kami bantah nyah warta," "jangan rosak hutan kami," dan "sayangi hutan simpan kami."

Ada yang hadir datang membawa anak kecil mereka, ada juga dari kalangan warga emas.

Amirudin sebelum ini mendakwa kerajaan bercadang untuk menjadikan hutan itu sebagai zon pembangunan bercampur.

Antara lain, Amirudin pada 20 Feb lalu, mendakwa cadangan pemansuhan status hutan simpan di Kuala Langat Utara dibuat kerana 40 peratus kawasan itu sudah menjadi hutan rosot dan untuk mengelakkan kegiatan pembakaran hutan secara haram berulang.

Katanya, berdasarkan keadaan itu maka timbul cadangan untuk mengeluarkan tanah sebagai rizab hutan.

Rahman turut mengulangi kesan yang besar terhadap sumber pendapatan Orang Asli serta ekosistem berikutan pembangunan itu.

Katanya, ini merupakan bantahan kedua. Manakala yang pertama kepada Istana Selangor kira-kira dua minggu lalu.

Sementara itu, setiausaha politik kepada menteri besar, Borhan Aman Shah turun bertemu dengan Rahman untuk menerima memorandum mereka.

Borhan berkata pihaknya akan membincangkan mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, beliau tidak memberikan sebarang garis masa.

"Selangor (negeri) pertama buka bantahan secara terbuka.

"Kita terima semua jenis bantahan cuma dengan cara yang betul. Masyarakat orang asli dan tok batin hari ni melalui saluran yang betul - hantar memorandum dan kita akan terima untuk dibincangkan," katanya.

Amirudin juga sebelum ini berjanji untuk menjadikan hutan-hutan lain sebagai rizab dan mengekalkan 30 peratus tanah di Selangor sebagai hutan simpan.

Beliau tidak menjelaskan tujuan sebenar tanah itu digunakan. Satu laporan oleh Straits Times Singapura melaporkan bahawa kemungkinan kerabat diraja merupakan antara pemaju tanah tersebut.


Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan