Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Hari 84: Peguam Najib akan panggil Latheefa Koya sebagai saksi

Ketika politik negara mengalami ketidaktentuan, Najib Razak terus dibicarakan atas tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.

Hari ini merupakan hari ke-84 beliau dibicarakan di depan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali. Peguam kanan, Muhammad Shafee Abdullah bertindak sebagai ketua pasukan pembelaan, manakala Peguam Negara Tommy Thomas mengepalai pasukan pendakwaan.

Seperti biasa Malaysiakini membawakan laporan perbicaraan itu secara langsung.

LANGSUNG

Nasharudin akan bawa dokumen untuk sahkan keberadaan Najib pada 11 Jan 2010

3.50 petang: Penolong pesuruhjaya SPRM Mohd Nasharudin Amir akan membawa dokumen untuk mengesahkan keberadaan Najib pada 11 Januari 2010 kepada mahkamah, Isnin minggu depan.

Saksi kelapan pembelaan itu bersetuju dengan permintaan yang dikemukakan timbalan pendakwa raya V Sithambaram (gambar) semasa pemeriksaan balas.

Dalam prosiding terdahulu, beberapa saksi memberi keterangan bahawa pada 11 Januari 2020, bekas perdana menteri Najib Razak melakukan lawatan tidak rasmi ke Arab Saudi untuk bertemu pemerintah Arab Saudi Raja Abdullah.

Pada ketika itu, Raja Abdullah, dikatakan berjanji untuk memberikan derma ke akaun peribadi Najib.

Sithambaram: Sebagai pegawai penyiasat kes 1MDB dari Mei 2015 hingga Mei 2018, adakah encik tahu di mana terletaknya ibu pejabat korporat 1MDB?

Nasharudin: Setahu saya di Kuala Lumpur.

Sithambaram: Mengikut saksi-saksi pembelaan, Datuk Seri Najib berada di Arab Saudi pada 11 Januari 2020 tetapi pada hari sama, Datuk Seri Najib dikatakan melakukan pembukaan rasmi ibu pejabat korporat (1MDB) di Kuala Lumpur.

Nasharudin: Ya.

Sithambaram: Sebagai bekas pegawai penyiasat, bolehkah kamu sahkan pada tarikh 11 Januari 2020, adakah Datuk Seri Najib melakukan pembukaan rasmi ibu pejabat 1MDB di Kuala Lumpur? Boleh pastikan?

Nasharudin: Saya akan cuba.

Sithambaram: Kamu sahkan dan bawa catitan pada Isnin ini?

Nasharudin: Boleh.

Peguam bela Harvinderjit Singh kemudiannya berkata bahawa pada Isnin depan, pasukan pembelaan akan turut bertanyakan Nasharudin berhubung keberadaan Najib dari 11 Januari hingga 16 Januari 2010.

Sebelum ini, saksi-saksi pembelaan seperti bekas utusan Malaysia ke Arab Saudi Syed Omar Syed Mohamad al-Saggaf memberi keterangan bahawa Najib melakukan lawatan tidak rasmi ke Arab Saudi pada 11 Januari 2010, sebelum menyertai lawatan rasmi ke negara timur tengah itu dari 13 hingga 16 Januari, tahun yang sama.

Ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa pasukan pembelaan akan memanggil ketua pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya Isnin nanti.

Ini berkenaan rakaman audio perbualan yang dikaitkan dengan 1MDB, membabitkan Najib dan beberapa individu. Rakaman itu didedahkan kepada pihak media pada 8 Januari tahun ini.

Shafee memaklumkan kepada mahkamah bahawa pasukan pembelaan akan turut memanggil beberapa lagi saksi seperti bekas peguam negara Apandi Ali.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menagguhkan perbicaraan. Perbicaraan bersambung pagi Isnin minggu depan. 


Tak wajar individu selain Putera Saud sahkan derma pada Najib - Saksi

3.43 petang: Penolong pesuruhjaya SPRM Mohd Nasharudin Amir mengakui tidak wajar apabila individu selain Putera Arab Saudi mengesahkan bahawa derma ada dibuat kepada bekas perdana menteri Najib Razak.

Bekas pegawai penyiasat dalam kes derma RM2.6 bilion itu berkata demikian dalam pemeriksaan balas oleh timbalan pendakwa raya V Sithambaram.

Terdahulu semasa pemeriksaan utama oleh ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah, Nasharuddin mengesahkan bahawa peguam bernama Abdullah al-Koman yang menandatangani keterangan bagi pihak putera tersebut.

Abdullah menandatangani keterangan yang direkodkan oleh Nasharudin dan seorang lagi pegawai SPRM di dalam sebuah bilik di istana pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah di Riyadh, Arab Saudi pada 7 petang 29 November 2015.

Keterangan itu dikatakan bagi mengakui kesahihan empat pucuk surat yang bertujuan mengesahkan derma kepada Najib.

Sithambaram: Adakah orang yang dikatakan sebagai putera Saudi ada tandatangan apa-apa keterangan yang dirakamkan SPRM pada hari itu?

Nasharudin: Tidak.

Sithambaram: Mengikut keterangan yang diberikan kamu tadi (terhadap soalan Shafee), hanya seorang yang dinamakan Abdullah Al-Koman tandatangan keterangan itu.

Nasharudin: Ya.

Sithambaram: Sebagai pegawai penyiasat, (jika) seseorang dinamakan dalam kenyataan, bolehkah orang lain yang tandatangan keterangan SPRM?

Nasharudin: Tidak boleh.

Menjawab soalan lanjut daripada Sithambaram, Nasharudin turut berkata bahawa pemergian sekumpulan pegawai SPRM ke Arab Saudi pada November 2015 tidak memperoleh apa-apa bukti dokumen untuk menyokong dakwaan derma terhadap Najib. 


3.37 petang: Prosiding bersambung semula.


Prosiding berhenti rehat

3.05 petang: Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan prosiding berhenti rehat selama 30 minit, bagi membenarkan pihak pendakwaan bersiap sedia bagi pemeriksaan balas terhadap pegawai penyiasat SPRM Mohd Nasharudin Amir.


Wakil perundangan Putera Arab sahkan surat derma kepada Najib - Saksi

2.52 petang: Pegawai penyiasat SPRM, Mohd Nasharudin Amir mengakui bahawa wakil perundangan (legal rep) kepada putera Arab ada mengesahkan kesahihan empat surat yang dikaitkan dengan derma kepada bekas perdana menteri Najib Razak.

Nasharudin yang juga penolong pesuruhjaya SPRM mengesahkan hal itu semasa pemeriksaan utama oleh ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah (Gambar).

Shafee bertanya tentang keterangan yang diberikan oleh seorang wakil perundangan kepada Putera Saud Abdul Aziz Malik Abdul Aziz al-Saud di istana raja Arab Saudi ketika itu, Raja Abullah di Riyadh, pada 7 petang 29 November 2015.

Ketika membacakan rekod peristiwa tersebut, Nasharudin berkata wakil perundangan itu bernama Abdullah al-Koman.

Shafee: Orang yang buat kenyataan (Abdullah) yang sahkan ini derma, yang konsisten dengan Dokumen 601 hingga 604 (empat surat yang dikatakan mengesahkan derma kepada Najib)

Nasharudin: Saya tak boleh kata itu derma sebab yang dirakam cakap itu bukanlah pembuat surat tersebut.

Shafee: Mahkamah dimaklumkan tentang ini (Abdullah bukan pembuat surat). (Dalam) Rakaman (keterangan) ini ada tulis (bahawa wang itu adalah derma) ke tidak?

Nasharudin: Ada

Terdahulu, timbalan pendakwa raya V Sithambaram membantah soalan Shafee itu kerana individu yang patut ditanyakan soalan itu adalah putera berkenaan, bukan Nasharudin.

Shafee kemudian menjelaskan kepada Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bahawa dia hanya mahukan jawapan terhadap soalan sama ada individu berkenaan (Abdullah) yang memberikan keterangannya kepada pegawai SPRM di Riyadh ada mengesahkan tentang derma tersebut dalam empat surat berkenaan.

Nazlan kemudiannya membenarkan soalan itu.


2.36 petang: Prosiding bersambung selepas makan tengah hari.

Prosiding berhenti seketika

12.52 tengah hari: Prosiding berhenti seketika untuk makan tengah hari dan akan bersambung pada jam 2.30 petang.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan tersebut oleh ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah.

Shafee berkata, permohonan itu bagi memberi ruang buat saksi kesembilan, iaitu penolong pesuruhjaya SPRM Mohd Nasharudin Amir, membawa keterangan SPRM berhubung Saud Abdul Aziz ke mahkamah.

Keterangan itu dikatakan diambil di Riyadh, Arab Saudi pada November 2015.

Saud pula dikatakan individu yang menulis empat pucuk surat dikaitkan dengan derma berjumlah RM2.6 bilion kepada bekas perdana menteri Najib Razak. 


Saksi tak pasti jika jumpa Saud Abdul Aziz sebenar di Riyadh

12.45 tengah hari: Pegawai penyiasat yang sebelum ini terlibat dalam penyiasatan SPRM mengenai kes derma RM2.6 bilion, kini tidak pasti apakah individu yang ditemuinya di Riyadh pada 2015 benar-benar Saud Abdul Aziz.. 

Saud dikatakan sebagai individu di sebalik empat pucuk surat berhubung derma kepada Najib Razak.

Saksi kesembilan Mohd Nasharudin Amir berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah.

Terdahulu, Nasharudin memberi keterangan bahawa antara 27 dan 29 November 2015, dia merupakan salah seorang yang menyertai kumpulan ke Arab Saudi bagi memastikan kebenaran di sebalik empat surat yang dikaitkan dengan derma RM2.6 bilion kepada Najib.

Katanya, antara yang lain daripada kumpulan itu ialah timbalan ketua pesuruhjaya SPRM, Azam Baki dan timbalan pendakwa raya Pejabat Peguam Negara Dzulkifli Ahmad.

Dzulkifli kemudiannya dilantik ketua pesuruhjaya SPRM.

Nasharudin menjawab soalan Shafee berhubung individu yang ditemu duga olehnya dan seorang lagi pegawai di Riyadh- yang dikatakan merupakan individu di sebalik empat pucuk surat berkenaan.

Shafee: Siapa Saud Abdul Aziz?

Nasharudin: Kalau ikut nama, orang besar, keturunan diraja.

Shafee: Dia raja atau anak raja?

Nasharudin: Saya tak tahu.

Shafee: Kamu jumpa dia.

Nasharudin: Saya tak tahu yang saya jumpa itu Saud atau tidak.

Nasharudin menggambarkan tempat individu berkenaan ditemu duga adalah “rumah besar macam istana di Riyadh”, Arab Saudi.


12.25 tengah hari: Penolong pesuruhjaya SPRM Mohd Nasharudin Amir berkata dia tidak bersetuju ditemu bual oleh pasukan pembelaan Najib Razak sebelum memberikan keterangan memandangkan dia tidak terlibat dalam penyiasatan RM42 juta SRC International.

Saksi kesembilan pembelaan itu berkata demikian dalam pemeriksaan utama oleh peguam bela Muhammad Shafee Abdullah.

Sebelum itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan pasukan pembelaan untuk menemu bual Nasharudin terlebih dahulu sebelum dia memberikan keterangan di mahkamah.

Nasharudin: Saya tak mahu beri temu duga kerana saya tak terlibat dalam penyiasatan SRC. Rosli (pegawai penyiasat SPRM untuk kes RM42 juta SRC) menghubungi saya. Saya tak terlibat dalam penyiasatan SRC, jadi saya tak perlu memberikan keterangan.

Shafee: Tapi sekarang kamu beri keterangan?

Nasharudin: Saya disepina.

Shafee kemudian memaklumkan kepada Nasharudin bahawa terpulang pada mahkamah untuk menentukan sama ada sesuatu keterangan itu relevan dengan kes RM42 juta SRC atau pun tidak.

Nasharudin bersetuju dengan kenyataan Shafee itu.


Penolong pesuruhjaya SPRM saksi seterusnya

12.05 tengah hari: Setelah berehat, perbicaraan disambung dengan keterangan saksi seterusnya, penolong pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Nasharudin Amir.

Sebelum itu, mahkamah menolak permohonan pasukan pembelaan agar pegawai penyiasat SPRM itu ditemu bual oleh pasukan pembelaan terlebih dahulu sebelum memberi keterangannya di kandang saksi.


Mahkamah berehat sebentar

11.31am: Prosiding berehat setengah jam.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan oleh ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah, memandangkan pasukannya perlu mengadakan persiapan untuk saksi seterusnya.

Terdahulu, saksi kelapan Rosman Abdullah, selesai melalui pemeriksaan semula oleh pasukan pembelaan sebelum dilepaskan.


Jho Low panggil Najib bos - saksi

10.58 pagi: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa ahli perniagaan dalam buruan Jho Low memanggil bekas perdana menteri Najib Razak sebagai “bos”.

Hal itu diberitahu pengarah urusan Putrajaya Perdana Bhd (PPB) Rosman Abdullah ketika pemeriksaan balas oleh timbalan pendakwa raya V Sithambaram.

Sithambaram bertanyakan saksi berhubung perbualan BBM antara dia dan Jho Low berhubung aliran wang RM27 juta ke akaun Ambank Najib.

Sithambaram: Dia (Jhow Low) minta kamu maklumkan kepada dia (tentang pindahan wang) supaya dia boleh maklumkan kepada bosnya.

Rosman: Ya. Itulah yang dia kata.

Sithambaram: Bila Jho Low sebut bos pada masa itu, kamu tahu dia rujuk kepada Najib?

Rosman: Ya.

Sithambaram: Kamu tahu daripada perbualan dengan Jho Low sebelum ini, bahawa Jho Low panggil Najib sebagai bosnya?

Rosman: Ya.

Sithambaram: Kamu juga tahu daripada Azlin (Alias, ketua setiausaha peribadi Najib ketika itu) bahawa Jho Low berhubung secara langsung dengan Najib?

Rosman: Ya.

Pemeriksaan balas oleh pasukan pendakwaan adalah berkenaan aliran keluar masuk wang berjumlah jutaan ringgit dari anak syarikat PPB, Putra Perdana Construction, dengan RM42 juta dikatakan masuk ke akaun Najib.


Nama SRC dah jadi toksik - saksi

10.26 pagi: Setelah apa yang berlaku, nama SRC menjadi “toksik”, kata pengarah urusan Putrajaya Perdana Bhd (PPB) Rosman Abdullah.

Perkara itu diungkapkan saksi kelapan itu semasa pemeriksaan utama oleh peguam bela Farhan Read.

Ketika itu, Rosman disoal mengenai aliran wang RM117 juta dari SRC International ke akaun anak syarikat PPB.

Wang itu dikaitkan dengan RM42 juta yang dimasukkan ke akaun bank peribadi Najib Razak antara Disember 2014 hingga Februari 2015.

Sebelum itu, kata Rosman, ahli perniagaan dalam buruan Jho Low yang mengaturkan untuk aliran wang RM117 juta itu.

“Dulu pada 2014, pengetahuan saya tentang SRC terhad. Sekarang, setelah apa yang berlaku, nama SRC menjadi toksik.

“Apa-apa yang ada kena mengena dengan SRC adalah jenayah,” kata Rosman.


10.24 pagi: Pengarah urusan Putrajaya Perdana Bhd (PPB), Rosman Abdullah, enggan menjawab soalan daripada pasukan pembelaan Najib berkaitan dana RM117 juta yang disalurkan ke anak syarikat PPB.

Hal itu dibangkitkan dalam pemeriksaan utama oleh peguam bela Farhan Read.

Farhan bertanyakan Rosman tentang wang RM117 juta yang dikaitkan dengan RM42 juta yang didakwa dimasukkan ke akaun Najib antara Dis 2014 hingga Feb 2015.

“Bagaimanapun, saya tahu (having benefit of hindsight), jawapan saya terhadap sebahagian daripada soalan ini mungkin akan menunjukkan saya melakukan kesalahan jenayah. Saya mahu dapatkan panduan mahkamah,” kata Rosman di kandang saksi.

Farhan kemudiannya membacakan Seksyen 132 Akta Keterangan bahawa saksi tidak dikecualikan daripada menjawab atas alasan bahawa jawapan itu akan melibatkannya dalam jenayah.

Hakim kemudian mengarahkan Rosman untuk menjawab soalan peguam bela, dan menjelaskan saksi tidak akan didakwa, melainkan dia memberikan jawapan yang tidak benar. 


10.13 pagi: Najib memasuki kandang tertuduh. Perbicaraan bermula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. 

Lihat Komen
ADS