Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Annuar enggan ulas sidang khas parlimen, tunggu kenyataan Istana

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa enggan mengulas kenyataan Perdana Menteri Interim, Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan sidang khas parlimen akan diadakan Isnin depan bagi menentukan bakal perdana menteri baru.

Sebaliknya, parti itu akan menunggu titah rasmi daripada Yang di-Pertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Umno akan tetap menunggu kenyataan rasmi daripada Istana Negara sahaja. Jadi tidak ada komen."

"Sebab, (Umno) tidak boleh mengambil kenyataan dari Tun (Mahathir). Saya rasa tidak masalah. Tun berhak untuk nyatakan pandangan sendiri beliau. Kami hormati itu," katanya di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur, petang tadi.

Terdahulu, pada sidang media selepas ucapan Pakej Rangsangan Ekonomi hari ini, Dr Mahathir berkata Yang di-Pertuan Agong mendapati tidak ada seorang pemimpin yang mempunyai majoriti untuk membentuk sebuah kerajaan.

Oleh sebab itu katanya, parlimen akan mengadakan sidang khas untuk mengetahui sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

"Bagaimanapun, jika Dewan Rakyat gagal mendapat seorang yang ada majoriti, kita perlu lalui pilihan raya," katanya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir tidak menjelaskan sekiranya Agong menitahkan beliau untuk menjelaskan perkara tersebut kepada umum.

Ini kerana, Majlis Raja-raja Melayu dijadualkan akan bersidang esok.

Mahathir pagi tadi mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Pada Selasa dan Rabu, Yang di-Pertuan Agong menemuduga semua ahli parlimen secara individu bagi mengetahui sokongan terhadap calon perdana menteri pilihan mereka.

Baginda berbuat demikian bagi mendengar sendiri pandangan mereka dalam mencari penyelesaian terhadap kemelut politik yang berlaku kini.

Sementara itu, Annuar berkata Umno menghormati pengumuman yang dibuat Sultan Johor mengenai pembentukan kerajaan baru di negeri itu.

"Kita mesti menghormati proses yang harus dilakukan di Johor terutama sekali menghormati istana Johor, proses ini berlaku mengikut saluran-saluran tertentu.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas kerjasama Bersatu dan Umno menubuhkan kerajaan perpaduan.

Dalam pada itu beliau mengesahkan tidak ada pemimpin Umno keluar dari parti ketika ditanya khabar angin beberapa ahli parlimen Umno sedia menyertai Bersatu.

"Tidak ada keluar, alhamdilullah, Umno semakin kuat dan lebih perpaduan," katanya.

Lihat Komen
ADS