Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP persoal hak Mahathir panggil sidang khas parlimen
Diterbitkan:  Feb 27, 2020 10:52 PM
Dikemaskini: 3:12 PM

Seorang anggota parlimen Pakatan Harapan (PH) mempersoalkan hak Dr Mahathir Mohamad untuk memanggil sidang khas di Dewan Rakyat bagi menentukan kerajaan baru atas kapasiti beliau sebagai perdana menteri sementara.

Ini kerana, beliau berkata, Perkara 11 (3) Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat hanya membenarkan perdana menteri untuk berbuat demikian, dan bukan perdana menteri sementara.

"Dia PM interim dan bukan perdana menteri, jadi Perkara 11 (3) tidak terpakai," kata ahli Parlimen itu yang memberitahu Malaysiakini dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.

"Oleh itu, mengapa Perdana Menteri interim mahu memanggil sidang khas parlimen?" soalnya.

Menurut Perkara 11(3), seorang perdana menteri boleh meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk memanggil sidang khas demi kepentingan awam.

Speaker kemudian perlu segera mengeluarkan notis kepada ahli-ahli Dewan beberapa hari sebelum sidang khas berlangsung.

Perkara 11 (3) juga membenarkan perdana menteri untuk menetapkan agenda mesyuarat itu.

Mahathir yang mengadap Yang di-Pertuan Agong awal hari ini, pada sidang akhbar kemudiannya mengatakan sidang khas parlimen itu akan diadakan pada 2 Mac bagi menentukan kerajaan baru.

Beliau berkata Agong mendapati tiada ada seorang pemimpin pun mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan, dan oleh sebab itu forum yang tepat adalah Dewan Rakyat.

"Jadi parlimen akan bersidang pada 2 Mac (Isnin depan)... siapa yang ada sokongan majoriti di Dewan Rakyat akan menjadi perdana menteri seterusnya," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PKR Chang Lih Kang juga mempersoalkan mengapa Mahathir perlu memanggil sidang itu untuk memilih calon perdana menteri sedangkan Yang di-Pertuan Agong telah membuat perkara sama sepanjang dua hari ini.

"Apa yang peling pelik ialah saya difahamkan Yang di-Pertuan Agong akan membincangkan perkara ini dengan Majlis Raja-raja Melayu esok. Jadi mengapa perlu buat keputusan hari ini?

"Saya tidak boleh fikir sebab lain kecuali keputusan itu mungkin tidak berpihak kepadanya (Mahathir)," katanya.

Begitu juga Pengerusi DAP Kelantan, Zaid Ibrahim juga mempersoalkan motif Mahathir mengumumkan sidang khas berkenaan.

"Jika tidak ada majoriti jelas selepas dua hari kerja yang teliti, perdana menteri sementara harus menasihatkan Agong untuk membubarkan parlimen.

"Tapi dia tak buat. Kenapa?" soalnya di Twitter.

Sementara itu, Adun DAP, Lee Chin Chen memberi amaran bahawa perkara itu mungkin akan mencetuskan krisis perlembagaan.

"Yang di-Pertuan Agong bertemu dengan semua anggota parlimen dan Raja-raja Melayu akan bertemu Yang di-Pertuan Agong esok. Nampaknya belum ada keputusan akhir.

"Tidak jelas siapa yang memperoleh majoriti dan mereka akan memilih perdana menteri. Adakah ini dilakukan menurut Perlembagaan Persekutuan?".

"Adakah akan ada satu lagi krisis perlembagaan?" soalnya.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada Selasa dan Rabu lalu menemuduga anggota parlimen untuk menentukan siapa mempunyai sokongan mencukupi bagi membentuk kerajaan.

Berikutan temu duga itu, BN dan PAS berkata mereka telah menarik balik sokongan kepada Mahathir, manakala PH berkata mereka memilih Presiden PKR,

Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri baru.

Lihat Komen
ADS