Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Xavier: Plot kerajaan perpaduan tanpa PH dirancang lebih awal
Diterbitkan:  Feb 28, 2020 4:37 PM
Dikemaskini: 8:37 AM

Rancangan untuk membentuk kerajaan perpaduan tanpa tiga parti PH dicetuskan dalam beberapa tempoh tertentu sebelum ini lagi, kata Naib Presiden PKR Xavier Jayakumar.

"Apabila melihat semula situasi beberapa hari ini, kini agak jelas ada rancangan untuk menubuhkan kerajaan perpaduan tanpa PH.

"Pada 21 Feb, Majlis Presiden PH bersetuju untuk memberikan kebebasan kepada Dr Mahathir Mohamad untuk menentukan tarikh untuk beliau berundur sebagai perdana menteri. Ia adalah bagi menyelamatkan PH yang merupakan kerajaan yang dipilih rakyat," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Xavier kemudian menyorot usaha penjajaran semula kuasa yang gagal yang disusun oleh bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang bagi membentuk gabungan Perikatan Nasional..

Xavier berkata Mahathir tidak melakukan apa-apa untuk menghentikan plot itu.

Beliau berkata mesyuarat Bersatu yang dipengerusikan oleh Mahathir pada 21 Februari memutuskan untuk Bersatu kekal di PH tetapi ditolak oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang menyertai pemimpin pembangkang dan Azmin di Sheraton Hotel.

Bersatu kemudian meninggalkan PH selepas gagal dalam percubaan merampas kerajaan, kata Xavier.

"Apabila Mahathir berdepan dengan pemimpin PH, beliau menegaskan bahawa beliau tidak terlibat dan akan meletakkan jawatan.

"Ia adalah tamparan hebat kepada kerajaan PH, tetapi PH kemudian bersatu menunjukkan sokongan kepadanya," katanya.

Susulan itu, kata Xavier, Mahathir kemudiannya mencadangkan untuk membentuk kerajaan perpaduan dan dengan jelas memilih untuk mengenepikan pemimpin PH.

PH kemudian memutuskan untuk menyokong Anwar sebagai perdana menteri kelapan selepas Mahathir tidak bersetuju untuk mempengerusikan mesyuarat gabungan itu pada 25 Feb.

"Kami di PH sudah bosan dengan politik kotor yang tidak berkesudahan," katanya.

"Persoalannya mengapa Mahathir tidak dapat menyerahkan kuasa kepada Anwar dan bersara dengan aman? Mengapa beliau mendakwa bahawa Yang Di-Pertuan Agong bertitah tentang pengumuman berhubung sidang khas parlimen?" soal Xavier.

Beliau berkata Bersatu sedang dalam keadaan kucar-kacir dan sekiranya kemelut ini membawa kepada pilihan raya, parti itu kemungkinan akan kalah.

"Saya yakin parti itu mungkin berdepan kekalahan besar atau kemungkinan terhapus jika itu berlaku," katanya.

"Apa yang perlu beliau (Mahathir) lakukan ialah memecat lima anggota kabinet (yang terlibat dalam menumbangkan PH), melantik semula menteri lain dan teruskan, kenapa beliau membiarkan kejatuhan kerajaan yang dipilih secara sah dan sekarang mengatakan bahawa beliau mahu menyelamatkan negara?" katanya.

"Pilihan kami adalah untuk Mahathir menyerahkan kuasa kepada kami dan kami akan dihakimi oleh rakyat dalam pilihan raya akan datang.

"Apa yang sukar sangat bagi Mahathir untuk berbuat demikian? Saya berharap dan berdoa Yang Di-Pertuan Agong akan membuat keputusan yang kita semua akan patuhi," kata Xavier.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS