Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Afif: Saya di Sheraton untuk pantau dan lapor semula pada KM

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jaya Dr Afif Bahardin mengakui berada di Sheraton Hotel pada 23 Feb tetapi berkata beliau berada di sana untuk "memantau" keadaan.

Afif, yang baru meletakkan jawatan sebagai exco Pulau Pinang, berkata kehadirannya di hotel itu diketahui Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan PKR.

"Saya berada di sana untuk memantau keadaan dan selepas itu, saya melaporkan semula kepada ketua menteri," katanya dalam sidang media di rumahnya di Taman Pauh, Bukit Mertajam.

"Saya berbuat demikian kerana apa yang berlaku di Sheraton akan memberi kesan kepada Pulau Pinang. Saya sentiasa berada di sekitar peristiwa penting seperti ini.

"Sejak Pakatan Harapan mengambil alih, saya selalu bertindak sebagai penghubung antara kerajaan negeri dan persekutuan," tambah Afif.

Afif dilihat merupakan antara penyokong bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

Langkah Sheraton yang menggemparkan negara minggu lepas menyaksikan tumbangnya kerajaan PH. Gerakan itu dimulakan oleh Azmin dengan alasan untuk menghalang Presiden PKR Anwar Ibrahim menggesa Dr Mahathir Mohamad menyerahkan jawatan perdana menteri.

Mahathir bagaimanapun meletakkan jawatan sebagai perdana menteri kerana enggan bekerjasama dengan Umno, sementara Bersatu keluar dari PH untuk menubuhkan kerajaan bersama BN dan PAS.

Selepas lebih seminggu kemelut itu, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, diangkat sebagai perdana menteri kelapan, dengan sokongan Umno, PAS dan kumpulan Azmin, selain Gapungan Parti Sarawak.

Sementara itu, Afif mendakwa peletakan jawatannya sebagai exco, adalah kerana tekanan oleh PKR ekoran hubungannya dengan Azmin.

Beliau berkata Chow, yang ditekan oleh PKR, menasihatkannya supaya melepaskan jawatan yang telah dipegangnya selama tujuh tahun.

Afif menambah bahawa dia memahami kedudukan Chow dan mengucapkan terima kasih kepada ketua menteri itu.

"Saya masih dalam PKR dan akan kekal sehingga parti memutuskan kedudukan saya, saya akan terus berkhidmat kepada pengundi Seberang Jaya sebagai wakil rakyat kerana itu adalah mandat yang diberikan kepada saya," katanya.

Sementara itu, Afif berkata beliau bertemu dengan Anwar pada Ahad lalu dan menjelaskan pendiriannya kepada presiden parti.

Beliau juga memberitahu Anwar bahawa beliau bersedia untuk berdepan tindakan parti terhadapnya, dengan mengatakan dia tetap "setia kepada perjuangan dan bukan individu".

Ditanya apakah beliau menerima kerajaan Perikatan Nasional yang baru, Afif menggesa rakyat untuk memberi Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ruang membuktikan kabinetnya.

"Muhyiddin mesti diberikan ruang untuk melaksanakan janji-janjinya tentang basmi rasuah dan kerajaan, dia juga menjanjikan kerajaan untuk semua," kata Afif.

"Jika rasuah, kekejaman dan kekerasan berterusan, lawan tetap lawan (kita akan bertanding)," katanya.

Afif berkata beliau tidak menyesal meletakkan jawatan sebagai exco negeri, dan mengucapkan agar Chow dan rakan-rakannya terus berusaha ke arah Wawasan Pulau Pinang 2030.

Tambah Afif, beliau menerima banyak mesej sokongan daripada akar umbi untuk kekal dalam PKR, dengan mengatakan beliau menghormati pandangan mereka, terutama para belia yang telah menyokongnya sejak awal kerjaya politiknya 10 tahun lalu.

"Saya komited untuk kekal dalam perjuangan untuk betulkan apa yang salah," katanya.

Bagaimanapun, kata Afif, beliau faham ada individu dalam parti yang mahu tindakan dikenakan terhadap pihak yang menyokong Azmin sebelum ini.

"Ia adalah perkara biasa dan saya menerimanya kerana saya mengambil jalan untuk menyokong Azmin sebagai timbalan presiden PKR.

"Ia harganya saya perlu bayar untuk perjuangan saya," katanya.

Lihat Komen
ADS