Malaysiakini
BERITA

Anwar: Dari mana Ku Nan punggah 'kekayaan RM800j?'

Diterbitkan
Dikemaskini 5 Mac 2020, 3:27 pagi

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata "jika benar Perdana Menteri Muhyiddin Yasin berikrar untuk membersihkan jentera kerajaan" maka beliau perlu meminta penjelasan daripada pemimpin Umno yang didakwanya memiliki kekayaan luar biasa.

"Tentang bagaimana wang begitu banyak dikumpul.

"Dipunggah dari mana, khazanah rakyat mana, tanah negeri mana, saham peruntukan bumiputera yang mana, barulah secara jujur kita boleh menyatakan bahawa pemimpin-pemimpin ini adalah pejuang hakiki orang Melayu.

"Saya mohon rakyat membuka mata dan minda untuk menuntut perdana menteri yang baru memberi penjelasan yang saksama dan jangan hanya bergelut untuk memperoleh kuasa tapi tidak memikul amanah," katanya dalam suatu kenyataan di media sosial malam tadi.

Anwar mengulas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang menolak permohonan pasukan pembelaan bagi kes rasuah bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Mansor supaya dokumen pengisytiharan hartanya dibuat secara tertutup.

MP Port Dickson menyifatkan pendedahan itu sebagai "kejutan baru mengenai kekayaan luar biasa oleh pemimpin Umno."

Semalam, setiausaha agung BN itu dilaporkan "berang" ketika disoal pendakwaan tentang pengisytiharan harta yang dibuatnya ketika berada dalam kabinet.

"Bila saya katakan saya tidak mahu mengisytiharkan sendiri, kerana (jika buat) secara terbuka anda tahu mengapa.

"Kerana sekarang saya mempunyai masalah dengan hampir satu bilion aset. Kerana mereka merasakan mereka mahu mensensasikan, itulah sebabnya saya rasa saya telah ditindas," katanya dipetik sebagai berkata.

Tengku Adnan sedang menghadapi perbicaraan kerana didakwa menerima rasuah sebanyak RM2 juta daripada pemaju hartanah. Strategi pasukan pembelaannya melibatkan usaha membuktikan bahawa Tengku Adnan sangat kaya dan tidak memerlukan rasuah.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan bahawa orang ramai harus dibenarkan mendengarkan perincian harta milik pemimpin Umno itu agar perbicaraan dilihat sebagai telus dan adil.

Ketika disoal oleh peguam bela Tan Hock Chuan, Tengku Adnan berkata beliau mengisytiharkan aset RM938,643,566.16 pada tahun 2001 apabila Dr Mahathir Mohamad merupakan perdana menteri.

Pada tahun itu, Tengku Adnan dilantik sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri pada tahun 2001.

Pada tahun 2006, Tengku Adnan mengisytiharkan asetnya berjumlah RM711,325,822. Pada masa itu, beliau dilantik sebagai Menteri Pelancongan oleh Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi.

Pada 2013, Tengku Adnan mengisytiharkan asetnya berjumlah RM691,770,649 kepada Perdana Menteri Najib Razak. Tengku Adnan adalah Menteri Wilayah Persekutuan untuk keseluruhan penggal.

Pada 2016, Tengku Adnan membuat perisytiharan aset sebanyak RM782,748,061.

 

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan