Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syed Saddiq kecewa: Muhyiddin macam ayah sendiri
Diterbitkan:  Mar 7, 2020 6:39 PM
Dikemaskini: 12:19 PM

Bekas menteri Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membidas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kerana mengambil "kleptokrat" ke dalam pentadbirannya walaupun pernah berikrar untuk melawan mereka.

Semasa wawancara bersama program UpFront Al Jazeera semalam, pengacara Mehdi Hasan bertanya kepada Syed Saddiq mengenai perubahan kesetian politik Muhyiddin dan bagaimana beliau sampai ke tampuk kekuasaan negara.

"Beliau (Muhyiddin) macam ayah saya sendiri. Salah satu sebab kenapa saya menyertai politik kerana beliau.

"Beliau salah seorang yang bersuara menentang kleptokrat global, yang pernah dipecat oleh partinya Umno kerana lantang melawan kleptokrat global.

"Apa yang menyedihkan saya hari ini, pemimpin saya sendiri, yang macam ayah saya sendiri memutuskan untuk membuka pintu kerajaan Malaysia dan demokrasi kepada kleptokrat sama yang pernah mengancam saya dan keluarga saya, kleptokrat sama yang memecat beliau dan mengancam keluarganya.

"Sekarang (beliau telah) meletakkan dirinya sejajar dengan (mereka)," jawab Syed Saddiq.

Pada 2015 ketika kemuncak skandal 1MDB, Muhyiddin dipecat oleh perdana menteri keenam Najib Razak daripada jawatan timbalan perdana menteri.

Beliau kemudian bergabung bersama Mahathir untuk membentuk Bersatu. Pada PRU14, parti itu merupakan sebahagian daripada gabungan Pakatan Harapan yang telah menumbangkan kerajaan BN Najib daripada kekuasaan negara buat kali pertama dalam sejarah Malaysia.

Berikutan peletakan jawatan Mahathir pada 24 Februari, kem Muhyiddin dalam Bersatu bergabung dengan BN, PAS, Gabungan Parti Sarawak dan MP serpihan PKR pimpinan Mohamed Azmin Ali untuk membentuk Perikatan Nasional (PN) dan berjaya menggulingkan kerajaan PH.

Mahathir dan pemimpin PH sejak itu menggelar Muhyiddin sebagai pengkhianat.

Dr M tak gila kuasa

Ketika wawancara ini, Syed Saddiq pula menyifatkan pentadbiran PN sebagai "tidak sah" dan kerajaan "pintu belakang."

Bagaimanapun, beliau bertegas Dr Mahathir atau pun Yang di-Pertuan Agong tidak boleh disalahkan atas keruntuhan PH.

MP Muar mendakwa Muhyiddin telah membentangkan gambaran yang salah kepada Agong bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti anggota parlimen.

Apabila ditanya jika Mahathir merancang rampasan kuasa yang sama untuk menggagalkan Presiden PKR Anwar Ibrahim daripada menggantikannya, Syed Saddiq menyangkal dakwaan itu.

"Tentu sekali tidak, jika Mahathir benar-benar kuasa gila, beliau boleh kekal sebagai PM. Dan sekiranya ada (perubahan) gabungan, beliau tetap menjadi perdana menteri. Itulah yang sebenarnya dikehendaki oleh gabungan baru ini.

"(Tetapi) beliau meletak jawatan, hati nuraninya bersih dan beliau masih berjuang untuk memastikan kerajaan yang dipilih secara demokratik akan terus berkuasa kerana rakyat," katanya.

Syed Saddiq juga diasak Hasan mengenai komitmen Mahathir yang dilihat "tidak konsisten" untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar telah menyebabkan krisis.

Menjawab soalan itu, beliau mempertahankan bekas perdana menteri dan menegaskan majlis presiden PH telah memutuskan untuk membenarkan beliau mentadbir sehingga selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) 2020 pada bulan November.

"Kami membuat keputusan secara muafakat.

"Malangnya, persetujuan bersama ini tidak didengar dan pada akhirnya, ada pihak lain di luar sana yang tidak suka dan tidak berpuas hati. Dan akibatnya, (mereka) menggulingkan demokrasi Malaysia," katanya.

 

Lihat Komen
ADS