Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nak kutuk saya lagi buat apa, soal Anwar
Diterbitkan:  Mar 9, 2020 4:27 PM
Dikemaskini: 8:27 AM

Presiden PKR Anwar Ibrahim mempersoalkan keperluan untuk terus mengkritiknya, dipercayai ditujukan kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Anwar berkata demikian ketika mengimbas kembali keruntuhan kerajaan PH dan apa yang berlaku selepas itu, dalam satu majlis di rumahnya di Bukit Segambut, Kuala Lumpur semalam.

Beliau berkata, terdapat banyak dakwaan berkenaan siapa yang patut dipersalahkan atas apa yang berlaku, antaranya yang mengatakan beliau tergesa-gesa untuk memegang jawatan perdana menteri.

"Saudara tahu perjanjian (peralihan kuasa antara Mahathir dan Anwar) dibuat pada 2018. Sudah tandatangan semua.Ia tak ditunaikan (tetapi) saya tak bantah, terus sabar.

"Ada kawan cadang kalau boleh saya (dilantik) timbalan perdana menteri. (Mahathir jawab) 'Tak boleh'. Tak apa kita teruskan.

"Nak kutuk saya lagi buat apa?" kata Anwar.

Semalam The Sun melaporkan Mahathir berkata Anwar mencadangkan beliau menjadi timbalan perdana menteri jika Mahathir berjaya membentuk kerajaan baru.

Mahathir berkata cadangan itu dinyatakan dalam mesyuarat PH yang bersedia sekali lagi untuk menyokong pengerusi Bersatu itu, dalam usaha menggagalkan Muhyiddin Yassin daripada membentuk gabungan baru, yang kini dikenali sebagai Perikatan Nasional.

Bagaimanapun Mahathir berkata beliau menolak cadangan Anwar dan mahukan Dr Wan Azizah Wan Ismail kembali menjadi timbalannya.

Beliau juga mendakwa mendapat maklum balas bahawa ada pihak yang tidak selesa dengan Anwar dalam kerajaan kerana dikatakan lebih cenderung politiking berbanding mentadbir.

Dalam ceramahnya semalam, Anwar turut menceritakan bagaimana tindakan Mahathir meletakkan jawatan pada 24 Feb sebagai

peletakan jawatan Mahathir sebagai perdana menteri pada 24 Feb lepas sebagai tidak bersungguh-sungguh.

"Bila kita (dengar) Tun Mahathir letak jawatan, ia satu kejutan.

"Tapi selepas itu segera diambil sebagai perdana menteri interim. Kita masa itu sedih. Ingat sudah letak (jawatan) sungguh-sungguh rupa-rupanya tidak. Letak (jawatan) sementara dan jadi perdana menteri interim.

"Kita kata tak apalah, untuk kestabilan politik dan perjuangan jangka panjang, kita sokong, semua sokong perdana menteri sementara," katanya lagi.

Bagaimanapun, anggota parlimen Port Dickson itu berkata sebagai perdana menteri interim, Mahathir telah mencadangkan sistem pentadbiran baru, di mana dia mempunyai kuasa melantik sesiapa sahaja tanpa peranan parti politik.

"Pada masa itu, saya sebut macam mana (sistem pentadbiran baru)? Sistem kita ini kena runding, kena musyawarah dengan parti.

"Dia kata tak payah kerana semua orang sokong dia. Bukan sahaja PH, (tetapi) PAS, Umno, dan Sabah dan Sarawak sokong dia.

"Kalau semua sokong mesti ikut dia. Kita semua sokong (Mahathir) tetapi tidak bermakna kita boleh ketepikan agenda perubahan musyawarah di kalangan kita," katanya lagi.

Apabila Mahathir mendedahkan rancangan kerajaan perpaduannya, Anwar berkata PAS dan Umno menarik balik sokongan kepadanya dan menggesa pilihan raya diadakan.

"Bila mereka tidak sokong, kita minta Tun M pengerusikan majlis PH malam itu, beliau enggan sebab beliau bukan lagi dalam PH.

"...Maka kita kembali kepadacalon asal PH, (sebab) itu dikemukakan nama saya," katanya.

Dalam satu majlis di Kedah minggu lepas, Mahathir dilaporkan berkata bahawa jika PH mencalonkannya sebagai perdana menteri dan bukannya Anwar, beliau akan memiliki cukup sokongan anggota parlimen.

"Mereka menamakan Anwar sebagai calon mereka dan kerana ini saya kalah. Saya tidak boleh mendapatkan majoriti. Anwar juga tidak mendapat majoriti," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS