Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NUTP harap Jawi di sekolah Cina dan Tamil diteruskan

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) berharap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meneruskan pengenalan tulisan Jawi di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

“NUTP pun turut mengharapkan menteri baru meneruskan usaha menyisipkan (pengenalan) tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu sebagaimana perancangan asal KPM tanpa tunduk pada mana-mana pihak yang menentang.

“Kerana usaha dan kajian bagi melaksananya telah lama dibuat oleh pakar pakar pendidikan,” kata presidennya Aminuddin Awang ketika dihubungi Malaysiakini.

KPM memperkenalkan pembelajaran tulisan Jawi secara pilihan semasa pentadbiran menteri pendidikan lama Maszlee Malik bawah kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini.

Tiga halaman diperuntukkan bagi pembelajaran asas tersebut. Bagaimanapun, ia mendapat tentangan hebat beberapa pihak, termasuk NGO berpengaruh China Dong Zong.

Sementara itu, NUTP juga berkata KPM meneruskan usaha menangani beban guru, tidak meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan memastikan bekalan talian Internet di sekolah berfungsi dengan baik.

NUTP turut menyambut baik tindakan Muhyiddin Yassin memecahkan pentadbiran pendidikan kepada kementerian pendidikan dan kementerian pengajian tinggi.

Jelasnya, ini kerana pentadbiran terdahulu jelas memperlihat beban berat yang ditanggung menteri pendidikan dan beberapa bidang juga gagal mendapat perhatian.

“Apa yang boleh nampak sebelum ini, sektor pengajian tinggi kurang mendapat fokus.

“Dengan adanya dua kementerian ini, diharapkan tiada lagi bahagian atau bidang yang terkeluar daripada radar pemacuan kecemerlangan oleh menteri,” katanya lagi.

Dua kementerian itu pernah berpecah di erah pentadbiran BN sebelum ini.

Menteri Pendidikan kini diambil alih oleh Dr Mohd Radzi Md Jidin bersama timbalannya, Dr Mah Hang Soon dan Muslimin Yahaya.

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi pula bakal diurus oleh Dr Noraini Ahmad bersama timbalannya, Dr Mansor Othman.

Lihat Komen
ADS