Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar, bukan Dr M ketuai PH jika p'raya diadakan - Azizah
Diterbitkan:  Mar 10, 2020 5:02 PM
Dikemaskini: 9:41 AM

Anwar Ibrahim dan bukannya Dr Mahathir Mohamad yang akan mengetuai PH dalam pilihan raya akan datang, kata Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam wawancara bersama Bloomberg.

Bagaimanapun bekas timbalan perdana menteri itu berkata, perkara itu perlu dibincangkan bersama parti komponen PH terlebih dahulu.

"Kita akan adakan mesyuarat, tetapi saya fikri kemungkinan besar Anwar (yang akan dicalonkan)," kata Wan Azizah seperti dipetik.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan siapakah yang akan mengetuai PH - sama ada Anwar atau Mahathir - jika dan apabila pilihan raya diadakan.

Antara kritikan utama pemimpin PH selepas Muhyiddin menjadi perdana menteri baru adalah jumlah sebenar anggota parlimen yang menyokongnya.

Pilihan raya mengejut mungkin boleh dilakukan jika Muhyiddin tidak mendapat sokongan yang cukup jika ada usul undi tidak percaya terhadapnya di Parlimen, yang dijadual mula bersidang 18 Mei ini.

Mengambil kira perkembangan semasa, Wan Azizah yang juga pengerusi Majlis Penasihat PKR, berkata PH bersedia dengan sebarang kemungkinan, termasuk pilihan raya mengejut.

"Kita perlu tunggu dan lihat perkembangan.

"Kerana semua kelihatan tak menentu, begitu rapuh," katanya, sambil menambah beliau tidak menyimpan harapan tinggi terhadap kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Isu peralihan kuasa antara Mahathir dan Anwar menjadi isu politik utama sepanjang kira-kira 22 bulan pentadbiran PH yang akhirnya membawa kepada kejatuhannya.

Mahathir membayangkan beliau akan meletakkan jawatan selepas sidang Apec pada November ini, manakala penyokong Anwar menggesa ia dilaksanakan pada Mei.

Bagaimanapun terdapat beberapa pihak dalam gabungan itu - termasuk timbalan presiden PKR Azmin Ali - yang menggesa Mahathir memegang jawatan itu sehingga tamat penggal.

Azmin dan sejumlah anggota parlimen PKR yang menyokongnya serta Bersatu akhirnya keluar PH dan menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Dalam wawancara yang disiarkan hari ini, Wan Azizah turut ditanya sama ada beliau terbuka untuk menerima kembali mereka yang keluar daripada PH.

Wan Azizah menjawab: "Dalam sebarang keadaan, pengkhianatan sukar diterima. Pengkhianatan tetap pengkhianatan."

Lihat Komen
ADS