Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PPSMI, tulisan Jawi antara isu nak didalami Radzi

Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), tulisan Jawi dan Program Sarapan Pagi (PSP) adalah antara isu yang akan diberi perhatian oleh Menteri Pendidikan, Mohd Radzi Md Jidin.

Kata senator itu, beliau memerlukan masa untuk mendalami isu tersebut namun memberikan janji untuk melakukan yang terbaik di kementerian berkenaan

"Perkara pertama yang akan saya lakukan adalah untuk memahami dan mendalami konteks, situasi, isu dan perkara-perkara yang perlu ditangani dan keutamaan yang mana yang kita ingin tekankan terlebih dahulu.

“Jadi kita akan cuba lakukan yang terbaik secepat mungkin, semampu dan seadanya," kata beliau selepas melapor diri di Kementerian Pendidikan di Putrajaya hari ini.

Mohd Radzi adalah calon Pakatan Harapan (PH) dari Bersatu dalam PRU ke-14 lalu namun kalah kepada Annuar Musa di kerusi parlimen Ketereh.

Annuar memperoleh 25,467 undi manakala Mohd Radzi hanya 6,799 undi. Bagaimanapun dalam susunan jemaah menteri yang diumum Muhyiddin, Mohd Radzi diberi jawatan satu daripada empat menteri kanan kerajaan.

Sebelum ini ada ura-ura untuk kerajaan memperkenalkan semula PPSMI selepas ia dibatalkan oleh Muhyiddin semasa beliau menjadi menteri pendidikan pada Julai 2009. Idea asal PPSMI dibawa oleh Dr Mahathir Mohamad.

Cari kaedah terbaik

Pembelajaran tulisan Jawi pula mendapat tentangan hebat daripada sekolah rendah jenis kebangsaan serta pertubuhan pendidikan Cina seperti Dong Zong.

Turut mendapat kecaman ramai ialah program sarapan percuma untuk sekolah rendah yang dicadangkan penyandang terdahulu, Dr Maszlee Malik.

Isu itu dianggap sebahagian daripada konflik yang mencalarkan imej kerjaaan PH sebelum ini.

Mohd Radzi berkata buat masa ini beliau akan cuba melihat apa yang perlu diberi penekanan dan perhatian awal.

"Kita cuba lakukan yang terbaik untuk kementerian, ibu bapa dan anak-anak mereka,” katanya.

Ditanya mengenai isu tersebut, Mohd Radzi berkata: "Isu PPSMI, tulisan Jawi, sarapan - izinkan saya lihat dulu.

"Dalam keadaan pelbagai isu yang timbul ini, apa yang penting kita pandang ke depan. Kita tidak mahu ditarik oleh isu-isu ini.

"Apa yang kita nak ialah untuk melihat ke depan, apakah kaedah terbaik yang kita boleh lakukan untuk anak-anak kita," katanya.

Tambah Radzi, beliau memerlukan masa itu bagi meneliti semua dasar sedia ada semasak-masaknya agar tidak menjejaskan pembelajaran pelajar.

Lihat Komen
ADS