Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin tidak suka PPSMI, kata Dr Mahathir
Diterbitkan:  Mar 12, 2020 12:06 PM
Dikemaskini: 4:06 AM

Bekas perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad meminta kerajaan Perikatan Nasional (BN) supaya tidak mengugurkan dasar-dasar baik yang pernah dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Memberi contoh program Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, katanya ia satu dasar yang baik dan orang yang mencipta dasar itu juga bgerada dalam jemaah menteri yang diterajuinya, sebelum ini.

“Lagi satu perkara yang saya khuatir, (Perdana Menteri) Muhyiddin (Yassin) tidak suka Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Mentematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Dia nak balik kepada bahasa Melayu.

“Sains dan matematik ini bukan seperti geografi dan sejarah. Dua subjek itu tidak bertukar. Berbanding dengan sains dan matematik, ia bertukar sepanjang hari.

“Tiap-tiap hari kita mendengar penemuan baharu, aplikasi baharu. Jadi kalau dalam bahasa Melayu, datang kertas berkenaan application, digitalization, artificial intelligence dan sebagainya, dalam bahasa Melayu kita tidak boleh faham,” katanya dalam wawancara bersama Sinar Harian yang disiarkan hari ini.

Menurut Dr Mahathir, mereka yang menterjemah itu perlu mempunyai ilmu dan fasih dalam kedua-dua bahasa, iaitu Melayu dan bahasa Inggeris.

Ini kerana, katanya bahasa sains dan matematik berlainan dengan bahasa Inggeris biasa. Justeru, untuk menterjemahkannya adalah satu perkara yang sukar dilakukan.

“Jadi kita akan ketinggalan pada waktu sains berkembang dengan maju. Kalau kita tidak faham dengan penggunaan ilmu sains ini, kita akan ketinggalan.

“Umpamanya kita pergi ke persidangan antarabangsa, biasanya akan menggunakan bahasa Inggeris. Jadi orang kita tidak faham bahasa Inggeris dan suka mengikuti persidangan.

“Kalau diterjemah pun tidak akan dapat diterjemah kepada bahasa-bahasa baharu, idea-idea baharu yang datang dalam bidang sains. Sebab itu saya kata sains dan matematik bukan satu ilmu yang statik. Ia berkembang sepanjang masa,” katanya.

Dasar PPSMI pertama kali diperkenalkan pada 2003, ketika Dr Mahathir adalah perdana menteri.

Bagaimanapun, selepas beliau bersara, program itu digantikan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) secara berperingkat mulai 2009.

Pada 2015, di bawah dasar MBMMBI, kerajaan memperkenalkan program dwibahasa (DLP) di sejumlah sekolah, dengan tujuan menyokong penguasaan kemahiran berbahasa Inggeris melalui pendedahan tambahan secara tidak langsung.

Pada 31 Jan lalu, Dr Mahathir sekali lagi mencadangkan PPSMI dikembalikan tetapi kerajaan Pakatan Harapan yang diterajuinya kemudian tumbang pada Februrai lalu.

Mengulas lanjut, bekas perdana menteri itu berkata, tujuannya memperkenalkan PPSMI bukan bukan kerana dirinya tidak sayang akan bahasa Melayu.

“Saya pejuang bahasa sebelum ramai orang lahir. Tahun 1945, 1946 saya (telah) perjuangkan bahasa tetapi saya lebih utamakan ilmu.

“Kalau kita ketinggalan ilmu, kita akan mundur. Sekarang ini pun kita mundur,” katanya.

Dr Mahathir juga ditanya sama ada beliau mengharapkan PPSMI akan diteruskan oleh kerajaan baru di bawah pentadbiran Muhyiddin.

“Pentadbiran dalam bahasa Melayu tiada masalah. Ia mudah.

“Masa zaman saya dahulu, orang Cina yang menjadi kakitangan kerajaan lebih fasih berbahasa Melayu daripada bahasa Inggeris.

“Bahkan mereka lebih senang menggunakan bahasa Melayu daripada bahasa Inggeris,” katanya.

Lihat Komen
ADS