Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Komposisi k’jaan PN hampir kepada k’jaan Melayu, kata Dr M
Diterbitkan:  Mar 12, 2020 12:44 PM
Dikemaskini: 4:44 AM

Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai pentadbiran yang hampir kepada kerajaan Melayu.

Mengulas senarai jemaah menteri yang diumumkan Isnin lalu, katanya, komposisi itu memihak kepada orang Melayu.

“Komposisi itu ialah kerajaan yang hampir kepada kerajaan Melayu, katanya dalam wawancara bersama Sinar Harian yang disiarkan hari ini.

Bekas perdana menteri itu disoal mengenai tidak ramai pemimpin Cina dan India yang dilantik sebagai menjadi menteri dan timbalan menteri dalam kabinet Muhyiddin yang mempunyai 31 orang menteri itu.

Bagi pemimpin Cina dan India, hanya Presiden MCA, Wee Ka Siong dan Timbalan Presiden MIC, V Saravanan tersenarai dalam jemaah menteri Muhyiddin itu. Malah dari empat menteri kanan yang dilantik itu, tidak ada seorangpun calon bukan Melayu.

Sementara itu, anggota komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) - Parti Demokratik Progresif Sarawak (PDP) - menolak pelantikan presidennya Tiong King Sing sebagai timbalan menteri perpaduan negara.

Menurut parti itu, jawatan berkenaan tidak sesuai dengan kedudukan ahli parlimen Bintulu itu sebagai presiden parti.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, masyarakat Cina dan India pastinya tidak akan menyokong kerajaan PN yang turut dianggotai oleh Bersatu, Umno dan PAS serta disokong oleh GPS.

“Tetapi bila kita ada pilihan raya, saya tidak fikir orang Cina akan sokong. Tentulah orang India tidak akan sokong.

“Jadi majoriti orang Melayu sekarang ini akan berkurangan dalam pilihan raya akan datang,”katanya.

Sebelum ini beberapa pemimpin Umno turut menyuarakan rasa tidak puas hati dengan komposisi kabinet PN itu.

Ahli parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Noor menyifatkan kerajaan PN mengketepikan kepentingan Orang Asli apabila gagal melantik sebarang wakil masyarakat itu.

Katanya, masyarakat Orang Asli bukan sahaja kumpulan yang paling miskin dan mundur di negara ini, tetapi kini suara politik mereka yang julung kali “hadir di pesada politik negara terus dikuburkan.”

Bagi rekod, Ramli adalah ahli parlimen Orang Asli pertama yang memenangi pilihan raya kecil Cameron Highlands tahun lalu di bawah tiket BN.

Turut meluahkan rasa tidak puas hati adalah bekas menteri Umno, Azalina Othman Said.

Katanya, gabungan kerajaan harus berdasarkan perwakilan yang seimbang dan bukannya didominasi oleh satu parti.

Baginya, Umno sepatutnya layak diberikan kementerian yang lebih significant seperti Kementerian Wanita, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar Bandar, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Secara sinis, Azalina mengakhiri ciapannya dengan berkata "Kesimpulannya... pendapat saya, # PM8 adalah ahli politik yang paling bijak di kalangan pemimpin Melayu pada 2020," dan meletakkan tanda pagar #KingmakerPN2020 yang dipercayai memperli Muhyiddin.

Lihat Komen
ADS