Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wee: Saya tak berani pakai perkataan 'taliban' di kampung
Diterbitkan:  Mar 15, 2020 10:43 AM
Dikemaskini: 5:23 AM

Tidak seperti DAP, MCA adalah sebuah parti yang sejak negara ini Merdeka telah terbukti bahawa ia boleh bekerjasama dengan orang Melayu, kata Presiden MCA Wee Ka Siong.

Dalam temu bual dengan Sinar Harian yang diterbitkan hari ini, Wee berkata tidak seperti DAP, MCA tidak akan menggunakan kata-kata yang menjejaskan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

"Saya nampak apa yang berlaku semasa kerajaan PH ialah hubungan kaum yang renggang, saya sakit hati. Dulu kalau ada orang kata parti ini dengan parti itu berkerjasama dianggap sebagai ‘taliban’.

"Perkataan ini di kampung saya, saya tidak berani pakai. Mana boleh wakil rakyat gunakan perkataan ‘celaka’, tidak boleh menyakitkan hati orang.

"Macam mana boleh gunakan perkataan, 'kalau bekerjasama dengan parti ini, malapetaka’ (atau) 'kalau kedua-duanya bekerjasama, mereka akan isytiharkan perang terhadap kaum bukan Islam'," katanya.

Wee berkata demikian selepas ditanya perbezaan MCA dan DAP.

Setahun yang lalu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan kontroversi yang menyifatkan penyatuan Umno-PAS sebagai "mengisytiharkan perang" ke atas bukan Islam dan bukan Melayu.

Penyatuan Umno dan PAS kemudian dimanifestasikan dengan pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di peringkat persekutuan dan di tujuh kerajaan negeri baru-baru ini.

Tambah Wee dalam temu bual itu, ayat seperti diungkap Lim tidak pernah digunakan oleh parti MCA.

"Sebab itu persepsi mereka (DAP) dulu dia anggap MCA memang lemah, bukan lemah! Kita tidak sampai hati dan mulut kena jaga," katanya.

Jelas Wee, walaupun keanggotaan MCA adalah Cina tetapi pendekatan yang diambil adalah untuk semua rakyat Malaysia.

"Kita tidak boleh mengagung-agungkan kehendak kita sahaja, biarlah berdasarkan perlembagaan dan konsep kesederhanaan serta kepelbagaian," katanya.

Menjawab soalan kenapa MCA hanya memenangi satu kerusi semasa pilihan raya umum 2018 manakala DAP memenangi 42 kerusi, Wee berkata ia kerana "fitnah" dan kelemahan MCA sendiri.

Dalam temu bual itu, Wee menegaskan bahawa beliau boleh menggunakan Bahasa Malaysia keranapernah tinggal di kampung Melayu.

Beliau juga berkata walaupun mendapat pendidikan di sekolah Cina, beliau diajar bahasa Melayu oleh jirannya, termasuk tentang pantun dan puisi.

Lihat Komen
ADS