Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pakej rangsangan RM20b tak cukup serap kesan Covid-19, kata MTUC
Diterbitkan:  Mar 16, 2020 12:13 PM
Dikemaskini: 4:13 AM

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) meminta kerajaan memperkenalkan pakej rangsangan baru bagi memastikan kebajikan pekerja terjamin sambil membantu mereka menyerap kesan daripada wabak Covid-19.

Dalam satu kenyataan hari ini, MTUC menggesa kerajaan menubuhkan Pelan Tindakan Kecemasan (EAC) Covid-19 bagi menangani isu-isu kesihatan dan mata pencarian pekerja.

“Tugas utama EAC itu adalah menghasilkan garis panduan yang boleh dilaksanakan secara kolektif menerusi pelbagai kementerian bagi mengekang penyebaran Covid-19 di tempat kerja.

“EAC itu akan turut membolehkan pemegang taruh menghasilkan rancangan berfungsi kepada kerajaan untuk pakej ransangan ekonomi baru tersebut.

“Pakej RM20 bilion yang diumumkan bulan lepas itu jelas tidak cukup, atau tidak mampan, lebih-lebih lagi sebagai rangkaian keselamatan (safety net) buat pekerja, terutamanya dari kumpulan B40 dan M40," katanya.

Justeru MTUC mencadangkan beberapa idea yang boleh dimasukkan dalam paket rangsangan baru itu:

a) Bank menangguhkan bayaran ansuran pinjaman perumahan, pinjaman pelajaran, dan pinjaman kenderaan tanpa mengenakan penalti kepada B40 dan M40 sekurang-kurangnya untuk enam bulan.

b) Semua penerima faedah kebajikan termasuk keputusan Lembaga Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) diberikan sumbangan khas RM500.

c) Semua pesara dalam kumpulan B40 dan M40 turut diberikan sumbangan khas RM500

d) Semua pekerja yang bergaji kurang daripada RM4,000 diberikan sumbangan khas RM1,000.

Dalam kenyataan sama, MTUC turut menggesa kerajaan segera campur tangan dalam syarikat-syarikat seperti Malaysia Airlines Bhd (MAS) dan Malindo Air yang menggesa pekerjanya mengambil cuti tanpa gaji.

“MTUC bimbang apabila syarikat-syarikat seperti MAS dan Malindo Air menggesa pekerjanya untuk ambil cuti tanpa gaji sedangkan semua negara seluruh dunia mengenakan sekatan perjalanan yang luas.

“Langkah seumpama itu tidak adil terhadap pekerja dan kerajaan mesti campur tangan segera bagi mengelakkan pekerja menjadi mangsa tindakan drastik sebegitu” katanya.

Cadang MTUC lagi, pakej berkenaan hanya diberikan kepada majikan terkesan sekiranya mereka dapat membuktikan kepada EAC tentang ketidakmampuan mereka untuk bertahan dan untuk membayar gaji pekerja.

Semalam, Anggota Parlimen Klang, Charles Santiago, menggesa kerajaan mempertimbangkan perintah berkurung sebagai langkah drastik bagi mengekang kadar penyebaran wabak itu.

Setakat 15 Mac, Malaysia mencatatkan 190 kes baru, menjadikan jumlah kes Covid-19 melonjak menjadi 428 kes.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS