Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
190 kes baru Covid-19 di Malaysia hari ini
Diterbitkan:  Mar 15, 2020 5:34 PM
Dikemaskini: 10:32 AM

Jumlah keseluruhan kes Covid-19 meningkat hampir sekali ganda dalam masa 24 jam menjadikan jumlah keseluruhan 428 kes.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata terdapat 190 kes baru yang direkod setakat 12 tengah hari tadi.

"Berdasarkan siasatan awal, kebanyakan kes berkaitan dengan kluster perhimpunan Tabligh di Masjid Sri Petaling," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Ia merupakan rekod peningkatan jangkitan paling tinggi dalam asa sehari. Pertambahan jangkitan kedua tertinggi direkodkan semalam dengan 41 kes baru.

Sementara itu, jumlah pesakit Covid-19 yang berada di unit jagaan rapi (ICU) dan memerlukan alat bantuan pernafasan juga meningkat daripada lima ke enam orang.

"Sehingga kini, seramai sembilan kes positif Covid-19 sedang dirawat di ICU dan memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Adham berkata usaha untuk menjejaki peserta himpunan Tabligh itu masih berjalan.

Perhimpunan Ijtima Tabligh di Masjid Sri Petaling berlangsung dari 27 Februari ke 1 Mac lalu, melibatkan kira-kira 16,000 hadirin. 

Dianggarkan sekitar 14,500 rakyat Malaysia ikut serta, manakala 1,500 lagi hadirin terdiri daripada warga asing.

"Kementerian Kesihatan menggesa para peserta himpunan Tabligh untuk menghubungi pusat kesihatan daerah yang terdekat bagi tindakan lanjut," kata Adham lagi.

Beliau berkata peserta dan kontak rapat mereka perlu dikuarantin selama 14 hari.

"Peserta perhimpunan itu akan diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian untuk tempoh 14 hari dari tarikh akhir menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling atau kontak rapat kepada kes positif Covid-19 mengikut mana yang terkemudian.

“Begitu juga untuk kontak rapat kepada kes positif Covid-19, pesakit dalam siasatan (PUI) yang tidak mematuhi kriteria kemasukan ke hospital, mereka juga perlu diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian mengikut ketentuan di bawah Akta yang sama,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Adham berkata seramai tujuh pesakit Covid-19 telah sembuh, menjadikan jumlah keseluruhan pesakit yang sembuh sebanyak 42 orang.

Lihat Komen
ADS