Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Semangat M'sia: Inisiatif warga hulur bantuan di tengah-tengah Covid-19

Dengan kritikan terhadap kerajaan yang dilihat kurang koordinasi dalam melaksanakan perintah kawalan pergerakan, ada rakyat Malaysia yang mengambil langkah untuk menggerakkan usaha yang menyasarkan golongan yang memerlukan bantuan.

Antaranya inisiatif untuk memberi makanan kepada golongan gelandangan, penghantaran barangan keperluan kepada warga emas dan OKU, serta sokongan untuk petugas yang berkhidmat tanpa mengenal penat lelah di hospital.

Malah senarai inisiatif itu juga semakin bertambah.

Dalam ciapannya di Twitter, novelis Hanna Alkaf menyatakan pasti ada yang berkongsi perasaan tidak berdaya, yang dirasainya, ketika berdepan pelbagai ketidaktentuan di tengah-tengah wabak Covid-19.

"Rakyat Malaysia, bagi mereka yang akan terkesan untuk dua minggu ini, apakah perkara yang boleh kita lakukan?

"Tempat yang boleh kita beri sumbangan, inisiatif komuniti yang boleh kita hebahkan?" katanya, diiringi dengan tanda pagar #kitajagakita yang kini trending di Twitter.

Hanna Alkaf

Beberapa usaha itu digerakkan oleh pertubuhan yang dikenali, seperti Mercy Malaysia yang menubuhkan dana bantuan Covid-19, serta Pertiwi Soup Kitchen yang mana ada sukarelawannya yang merupakan pengamal perubatan.

Sementara itu ada juga yang meningkatkan lagi usaha yang sudah dijalankan termasuk kepada pelarian, anak-anak pelarian dan keluarga yang tinggal di Chow Kit.

Bagi doktor dan jururawat yang bekerja melebihi kebiasaannya, beberapa usaha sokongan sedang digerakkan, termasuk kutipan dana untuk membeli topeng muka dan barangan penting lain.

Selain itu, jenama pakaian tempatan Fashionvalet bekerjasama dengan Pasukan Bantuan dan Respon Imam (IMARET) untuk mengumpul dana bagi menggerakkan sukarelawan yang memberi bantuan berkaitan kemudahan kesihatan, membantu kakitangan dan rakan yang dikuarantin atau dalam rawatan, serta menyediakan bekalan perubatan dan keperluan asas ke hospital-hospital seluruh negara.

Menyedari bahawa perintah kerajaan boleh memberi tekanan kepada kesihatan mental, kumpulan sokongan Befrienders Kuala Lumpur akan meneruskan operasi talian mereka, sementara NGO memberikan bantuan pencegahan bunuh diri, manakala kumpulan wanita Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) dan Women's Centre for Change Pulau Pinang meneruskan khidmat talian untuk aduan berkaitan keganasan rumah tangga.

Dengan gesaan untuk mengamalkan penjarakkan sosial dan tinggal di rumah, ramai yang mengumpulkan maklumat di internet, termasuk berkenaan bahan pendidikan kanak-kanak untuk ibu bapa yang perlu tinggal di rumah bersama anak mereka.

Bagi mereka yang ingin menawarkan bantuan, dua kumpulan - Caremongering Malaysia dan Zero Waste Malaysia - telah membangunkan peta komuniti yang menghubungkan mereka dengan orang yang memerlukan di kawasan kejiranan mereka.

Pada Isnin lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan perintah kawalan pergerakan akan dikuatkuasakan bermula hari ini hingga 31 Mac.

Perintah ini bertujuan untuk mengurangkan penularan jangkitan Covid-19 yang kian meningkat, dengan empat hari kes baru melangkaui tiga angka sejak 15 Mac lalu.

Bagaimanapun kekurangan koordinasi dan komunikasi yang dilihat tidak memadai daripada pihak berkuasa, mencetuskan beberapa isu seperti pembelian panik dan ribuan mengambil keputusan meninggalkan Lembah Klang. 

Lihat Komen
ADS