Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Keluar rumah, rentas negeri: Apa anda perlu tahu tentang perintah kawalan pergerakan

PANDUANKINI | Masuk hari kedua penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan, ramai yang mempunyai pertanyaan tentang apa sebenarnya yang perlu dilakukan dan sama ada mereka boleh meninggalkan rumah.

Ada yang mendakwa negara ketika ini sedang menuju ke arah perintah berkurung (lockdown) dengan kehadiran polis yang membuat sekatan jalan raya.

Orang ramai berulang kali dinasihatkan untuk tinggal di rumah sepanjang tempoh dua minggu untuk mengehadkan jangkitan baru semasa tempoh pengeraman virus berkenaan.

Bagaimanapun terdapat pengecualian untuk keadaan tertentu.

Adakah saya boleh keluar untuk membeli makanan dan keperluan harian?

Boleh. Tetapi anda dinasihatkan untuk terus pulang ke rumah dan mengehadkan bilangan ahli keluarga yang turut sama keluar bersama anda.

Anda masih boleh membeli makanan di restoran tetapi hanya untuk dibawa pulang.

Anda juga boleh keluar untuk mendapatkan rawatan perubatan.

Jika anda memang perlu keluar, amalkan penjarakkan sosial setiap masa seperti berada pada jarak sekurang-kurangnya satu meter daripada orang di sekeliling. Untuk menganggarkan jarak, anda boleh bayangkan terdapat sebuah motosikal antara anda dan orang di hadapan.

Bolehkah saya pergi bekerja?

Mereka yang bekerja dalam perkhidmatan penting serta industri dan perkhidmatan terpilih sahaja diberi pengecualian untuk keluar ke tempat kerja.

Berikut senarai perkhidmatan yang dibenarkan untuk beroperasi dan senarai kilang-kilang yang dikecualikan daripada perintah kawalan pergerakan.

Bagi yang bekerja dalam sektor pertanian, perikanan dan industri berkaitan perladangan, mereka juga dibenarkan untuk keluar bekerja.

Bolehkah saya hadir ke majlis perkahwinan, lepak bersama kawan di restoran atau pergi ke pusat beli-belah?

Tidak. Anda perlu kekal di rumah.

 Boleh saya keluar daripada negeri?

Berdasarkan Warta Persekutuan yang diterbitkan Rabu lalu, anda perlu mempunyai kebenaran bertulis daripada polis jika mahu keluar daripada negeri.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador menyatakan empat kriteria tertentu bagi mereka yang mahu berbuat demikian.

  • Jika ada ahli keluarga terdekat yang mati;
  • Jika ada ahli keluarga yang sakit tenat;
  • Jika mereka memerlukan rawatan perubatan sama ada untuk diri sendiri atau ahli keluarga; atau,
  • Hal-hal lain dengan budi bicara ketua balai polis.

Pada Selasa lalu, sebelum warta tersebut dikeluarkan, Hamid berkata polis menangguhkan dahulu keperluan untuk mendapatkan kebenaran polis, setelah orang ramai mula memenuhi balai polis.

Beliau berkata, pihak polis akan melaksanakannya selepas mendapat mekanisme yang lebih baik.

Bagaimanapun, kerajaan tidak menasihatkan orang ramai agar pulang ke kampung halaman mereka semasa tempoh perintah kawalan pergerakan kerana dibimbangi ia boleh menyebabkan penularan virus.

Tambahan pula orang berusia dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan lebih berisiko terdedah kepada Covid-19.

Jadi kenapa pihak polis lakukan sekatan jalan raya?

Pihak polis melakukan sekatan jalan raya untuk menasihati orang awam agar mematuhi perintah kawalan pergerakan.

“Buat masa ini, kami akan menasihati mereka yang telah berada di luar agar hanya keluar dari rumah bila perlu atau ketika kecemasan,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmad seperti dipetik The Star.

Beliau berkata, ia termasuk untuk menasihati orang ramai agar tidak keluar secara berkumpulan semasa membeli makanan dan barang keperluan.

 Sementara itu, polis juga melakukan rondaan sebagai usaha untuk menggalakkan orang ramai agar tinggal di rumah.

Kata Hamid lagi, beliau tidak mahu keadaan memaksa polis menggunakan langkah drastik seperti membuat tangkapan.

Oleh itu, beliau menasihatkan orang ramai agar mematuhi perintah kawalan pergerakan.

Adakah akan ada perintah berkurung sepenuhnya, atau darurat?

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, tempoh perintah kawalan pergerakan mungkin dilanjutkan jika penularan wabak Covid-19 tidak berkurangan.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob juga berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mungkin terpaksa dikerahkan untuk menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan jika masih ada yang ingkar. 

Tetapi buat masa ini, Ismail berkata beliau percaya dengan keupayaan polis untuk meningkatkan pematuhan yang kini berada pada kadar 60 peratus.

Bagaimanapun, katanya lagi, polis mungkin mengubah strategi mereka daripada sekadar memberi nasihat kepada tindakan lebih ketat jika perintah itu tidak dipatuhi. 

Lihat Komen
ADS