Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kegiatan sawit, pertanian dan perikanan diteruskan ketika perintah kawalan pergerakan
Diterbitkan:  Mar 19, 2020 2:46 PM
Dikemaskini: Mar 20, 2020 3:36 PM

Kegiatan sawit dan beberapa lagi perladangan dan komoditi akan diteruskan dengan langkah-langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Khairuddin Aman Razali, berkata kelonggaran diberikan selepas mengambil kira kepentingan industri tersebut, serta implikasi besar jika ia dihentikan dalam tempoh perintah kawalan pergerakan.

Khairuddin berkata kelonggaran itu diberikan setelah mendapat panduan umum Kabinet serta pengesahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurutnya, kelonggaran kepada sektor seperti berikut:

  • Membenarkan penuaian buah tandan segar sawit oleh syarikat perladangan dan pekebun kecil.
  • Membenarkan pemprosesan buah tandan segar dilaksanakan oleh kilang-kilang sawit.
  • Membenarkan pemprosesan minyak sawit mentah di kilang penapis untuk pengeluaran minyak masak bagi memenuhi keperluan pasaran tempatan.
  • Membenarkan aktiviti penorehan getah bagi tujuan pembekalan bahan mentah untuk penghasilan produk peralatan perubatan seperti sarung tangan dan kateter.
  • Membenarkan aktiviti bagi sektor perkayuan beroperasi untuk memenuhi kontrak sedia ada yang telah dimeterai.

Perintah kawalan pergerakan berkuatkuasa semalam hingga 31 Mac ini.

Semalam Perdana Menteri Muhyiddin Yassin membayangkan ia mungkin dilanjutkan jika penularan wabak Covid-19 belum dapat dibendung sepenuhnya.

Sementara itu, Khairuddin menggesa semua pihak yang terlibat dalam kegiatan perladangan dan komoditi itu agar memastikan langkah pencegahan wabak dipatuhi.

'Ini termasuk meminimakan tenaga kerja dan pergerakan pekerja dengan melaksanakan penjarakkan sosial dan pulang segera ke tempat tinggal setelah selesai kerja. Semua pihak diingatkan sentiasa menjaga kebersihan seperti membasuh tangan dengan sabun atau pencuci tangan," katanya lagi.

Semalam, Malaysia merekodkan 117 kes baru Covid-19, menjadikannya hari keempat berturut-turut dengan kes baru melangkaui angka 100.

'Pertanian, penternakan dan perikanan juga diteruskan'

Sementara itu soalan lazim yang dikeluarkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengesahkan kegiatan berkaitan pertanian, penternakan dan perikanan akan diteruskan.

"Kegiatan berkaitan pertanian, penternakan dan perikanan boleh diteruskan bagi memastikan bekalan daging, sayuran, buah-buahan dan ikan yang cukup untuk rakyat Malaysia.

"Bagaimanapun petani, penternak dan nelayan perlu mengamalkan penjarakkan sosial dan meminimumkan kontak dengan orang lain. Mereka juga perlu membuat pemeriksaan kesihatan, jika perlu," kata kementerian itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Felcra Bhd menyambut baik keputusan kerajaan di atas kelonggaran untuk menjalankan aktiviti perladangan dan kilang Felcra sepanjang perintah kawalan.

"Felcra mewakili lebih kurang 110 ribu orang peserta yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah, B40 sangat mengalu-alukan langkah kelonggaran ini dan ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri dan barisan Kabinet Kerajaan di atas pertimbangan dan keprihatinan memberi kelonggaran agar operasi ladang dan kilang kelapa sawit diteruskan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini.

"Para peserta amat bergantung harap kepada hasil pendapatan yang dijana oleh ladang-ladang mereka yang diuruskan oleh Felcra," kata Ketua Pegawai Eksekutif Mohd Nazrul Izam Mansor dalam kenyataan media sejurus pengumuman menteri.

Terdahulu, Felcra mengesahkan membuat rayuan kepada kerajaan kepada pihak Kerajaan agar industri sawit dan sektor perladangan diberi kelonggaran daripada Perintah Kawalan Pergerakan ini. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS