Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ahli parlimen PH gesa Annuar kaji semula penamatan khidmat MPP
Diterbitkan:  Mar 26, 2020 4:48 PM
Dikemaskini: 12:54 PM

Sepuluh ahli parlimen Pakatan Harapan (PH) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan menggesa Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa untuk mengkaji semula keputusan menamatkan perkhidmatan semua ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) di bawah kawasan pilihan raya mereka.

Dalam satu kenyataan bersama, 10 ahli parlimen itu berkata mereka hanya dimaklumkan berhubung perkara itu hari ini.

"Tindakan ini, pada ketika Malaysia di dalam perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19, amatlah tidak patut dan amat kejam.

"Ini kerana sejak ahli MPP dilantik pada Januari 2019, mereka telah berkhidmat kepada semua penduduk KL dan Labuan tanpa mengira kaum, agama, mahupun fahaman politik.

"Penduduk KL dan Labuan telah mengenali mereka dan mengharapkan bantuan khidmat masyarakat dari MPP," kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, MPP pada waktu ini juga sedang dikerah untuk membantu rakyat dalam pelbagai program sumbangan kebajikan.

Penukaran MPP, katanya, hanya akan melambatkan penyampaian sumbangan yang amat diperlukan terutama di kalangan golongan miskin bandar.

"Oleh itu, kami menggesa Menteri Wilayah Persekutuan agar mengutamakan rakyat ketika ini dan memberi pertimbangan khusus dan tidak menamatkan perkhidmatan MPP sedia ada.

"Penukaran MPP hanya akan menimbulkan keresahan dan kekeliruan di kalangan rakyat," katanya.

Tak suka penangguhan

Sepuluh ahli parlimen itu ialah; Tan Kok Wai (Cheras), Fahmi Fadzil (Lembah Pantai), Hannah Yeoh (Segambut), Teresa Kok (Seputeh), P Prabakaran (Batu), Lim Lip Eng (Kepong) dan Rozman Ismail (Labuan).

Terdahulu hari ini, Pengarah Sosial dan Ekonomi DBKL, Anwar Zain, dalam suratnya mengeluarkan arahan agar anggota MPP mengembalikan van yang digunakan; mengembalikan semua aset yang dibeli menggunakan geran pengurusannya; memulangkan semua pengurusan dan aktiviti yang tidak diperlukan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur; menutup akaun bank rasmi mereka; dan mengemukakan laporan penuh aktiviti mereka.

Menurut surat tersebut, semua perkara yang berkaitan harus diselesaikan sebelum 8 April.

Datuk Bandar itu juga melampirkan surat rasmi dari Annuar yang memaklumkan cadangan kementerian untuk melakukan penstrukturan semula kepada anggota MPP sedia ada untuk memperkuat fungsinya.

Sementara itu, Annuar dalam kenyataan medianya mengulas isu itu berkata langkah berkenaan diambil selepas pejabatnya menerima aduan yang mendakwa perkhidmatan yang tidak memuaskan oleh anggota MPP, selain daripada tidak mematuhi garis panduan.

"Berdasarkan laporan yang diterima, terdapat sebahagian besar MPP Wilayah Persekutuan yang tidak aktif dan tidak pernah menghantar sebarang laporan kegiatan dan perbelanjaan seperti yang disyaratkan sejak ahli-ahlinya dilantik.

"Malah banyak yang tidak pernah menghantar laporan walaupun peruntukan telah dibelanjakan. Selain itu, pihak KWP juga menerima banyak aduan daripada penduduk setempat yang tidak berpuas hati kerana MPP Wilayah Persekutuan tidak aktif dan berfungsi dengan baik.

Berdasarkan laporan dari pihak berkuasa tempatan, Annuar berkata beliau mendapati terdapat "MPP tidak aktif" tanpa laporan perbelanjaan yang dikemukakan untuk penelitian lebih lanjut.

"Justeru demi kepentingan awam, Kementerian Wilayah Persekutuan sedang menyusun semula MPP Wilayah Persekutuan dan akan digerakkan segera tidak lama lagi," katanya.

Anwar juga berkata, ahli parlimen termasuk dari PH boleh mencadangkan nama individu yang aktif dan berkebolehan dalam persatuan penduduk untuk memegang jawatan berkenaan.

Dalam kenyataan berasingan di Facebook, Annuar meyakinkan bahawa proses melantik MPP baru tidak akan mengambil masa lebih lama daripada 14 hari.

"Saya tidak suka penangguhan... jadi ia tidak akan mengambil masa lebih lama dari 14 hari, dan (selepas itu) MPP akan berfungsi lagi," katanya.

Lihat Komen
ADS