BERITA

Mengapa MPP cemerlang pun ditamatkan, tanya Fahmi

Diterbitkan
Dikemaskini 26 Mac 2020, 2:11 tengahari

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, berkata majlis perwakilan penduduk (MPP) kawasan itu pernah diiktiraf Kementerian Wilayah Persekutuan sebagai yang terbaik di Kuala Lumpur.

Kata Fahmi MPP Lembah Pantai diberikan anugerah emas dengan lima bintang pada majlis anjuran kementerian itu pada 28 Fen lalu.

"Anugerah ini diberi atas pengiktirafan mutu kerja, laporan lengkap dan aktiviti-aktiviti di lapangan yang dibuat MPP Lembah Pantai.

"Pengiktirafan ini dibuat oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Wilayah Persekutuan sendiri.

"Adakah pengiktirafan ini tidak bermakna?" katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fahmi berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa, berkenaan penamatan tugas semua ahli MPP di Kuala Lumpur dan Labuan.

Annuar mendakwa tindakan itu dibuat atas pertimbangan kepentingan awam.

Kata bekas setiausaha agung Umno itu, pejabatnya menerima aduan yang mendakwa perkhidmatan anggota MPP tidak memuaskan, selain tidak mematuhi garis panduan.

"Berdasarkan laporan yang diterima, terdapat sebahagian besar MPP Wilayah Persekutuan yang tidak aktif dan tidak pernah menghantar sebarang laporan kegiatan dan perbelanjaan seperti yang disyaratkan sejak ahli-ahlinya dilantik.

"Malah banyak yang tidak pernah menghantar laporan walaupun peruntukan telah dibelanjakan. Selain itu, pihak KWP juga menerima banyak aduan daripada penduduk setempat yang tidak berpuas hati kerana MPP Wilayah Persekutuan tidak aktif dan berfungsi dengan baik," katanya. 

Menurut Fahmi jika pertimbangan Annuar itu diambil kira, mengapa khidmat anggota MPP Lembah Pantai juga ditamatkan.

"Bagaimana pula dengan MPP lain yang turut diiktiraf pada malam itu?" katanya.

Menurut Fahmi, jika benar ada MPP yang tidak berfungsi, setidak-tidaknya ia dirombak dengan mengambil kira cadangan ahli parlimen kawasan tersebut.

"Bukannya semua ditamatkan serentak sebegini rupa. Dan bukan pada waktu ini, ketika perintah kawalan pergerakan berkuat kuasa kerana Covid-19 melanda," katanya.

Justeru Fahmi berkata semua ahli parlimen di Kuala Lumpur dan Labuan berharap Annuar mengkaji semula keputusannya untuk menamatkan khidmat semua MPP terbabit.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.