Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri akui tahap kebersihan pusat kuarantin di Sabah teruk

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Frankie Poon mengakui kemudahan asas dan tahap kebersihan di beberapa pusat kuarantin di negeri itu tidak mencapai piawai.

Beliau berkata demikian selepas tular klip video yang memaparkan keadaan dan tahap kebersihan yang menjadi keluhan pihak yang dikehendaki menjalani kuarantin 14 hari di pusat kuarantin.

Dalam salah satu klip video, seorang pelajar merakam keadaan tandas yang kotor di Pusat Pendidikan Daerah Penampang.

Poon, yang sudah menonton klip video itu berkata keadaan pusat kuarantin itu tidak boleh diterima.

"Kami mendapati beberapa kemudahan itu tidak sesuai, terutamanya kemudahan tandas. Kami sedang membaiki dan membersihkan beberapa pusat kuarantin," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Ini termasuklah pusat kuarantin di Akademi Bomba di Sepanggar, Institut Latihan Kementerian Kesihatan di Bukit Padang dan Politeknik Kota Kinabalu.

Beliau berkata semua 28 premis yang diwartakan pusat kuarantin adalah bangunan pentadbiran persekutuan, termasuk kuarters untuk jururawat dan bomba.

"Walaupun ini adalah harta kerajaan (persekutuan), kami membantu (Putrajaya) untuk melakukan kerja yang diperlukan dalam beberapa unit tertentu," katanya.

Selain membaiki kemudahan asas, beliau berkata, kerajaan negeri juga berusaha untuk memasang wifi, meningkatkan kualiti makanan dan menyediakan cerek bagi semua orang yang menjalani kuarantin.

Poon berkata kerajaan negeri juga menyediakan pilihan untuk mereka menjalani kuarantina selama 14 hari di tiga hotel di Kota Kinabalu yang kosnya ditanggung sendiri.

Bagi pilihan itu, kerajaan negeri tidak akan menyediakan mereka makanan dan mereka perlu membayar makanan mereka sendiri.

Poon berkata beliau sudah melawat pusat kuarantin berkenaan dan mendapati tiada seorang pun yang tidak berpuas hati dengan keadaan pusat kuarantin di sana.

Pada 22 Mac, kerajaan Sabah mengumumkan bahawa rakyat negeri Sabah yang pulang ke negeri itu melalui pengangkutan tanah, laut atau udara, akan dihantar ke pusat kuarantin selama 14 hari.

Poon berkata mulai 3 April, penduduk Sabah yang pulang dari luar negara tidak akan menjalani kuarantin mereka di Sabah, tetapi di Semenanjung.

Ini kerana, beliau menjangkakan tidak ada penerbangan langsung akan mendarat di Sabah, tetapi semua penerbangan akan transit di Semenanjung Malaysia.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS