Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
UPSI nafi persembahan untuk menteri, tapi tak sebut tentang latihan
Diterbitkan:  Apr 4, 2020 9:07 PM
Dikemaskini: Apr 5, 2020 2:43 AM

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menafikan laporan Malaysiakini berhubung lawatan Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad di pusat pengajian itu pada petang ini.

Laporan Malaysiakini sebelum ini memetik salah seorang kakitangan yang enggan mendedahkan identitinya yang memaklumkan bahawa hampir 20 pelajar dari fakulti muzik sebelum ini diarah membuat latihan selama seminggu bagi membuat persembahan sempena kunjungan Noraini, pada jam 3 petang tadi.

Laporan Malaysiakini itu menyatakan bahawa persembahan itu sudah dibatalkan, namun program lawatan menteri itu masih dijadualkan berjalan seperti biasa.

UPSI dalam kenyataan medianya hanya menafikan berhubung persembahan berkenaan namun tidak menyentuh tentang latihan yang dibuat pelajar berkenaan.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebook petang ini, Naib Canselor UPSI Mohammad Shatar Sabran mengakui terdapat rancangan awal untuk persembahan daripada pelajar.

"Namun setelah merujuk dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) maka hanya empat orang sahaja kalangan pengurusan tertinggi termasuk Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang bertemu Dr Noraini di Pusat Pelajar," katanya.

Beliau menambah bahawa empat pegawai KPT turut mengiringi lawatan tersebut.

"Tidak berlaku sebarang persembahan seperti yang ditularkan bahawa lebih 20 pelajar Fakulti Muzik dan Seni Persembahan akan hadir pada satu majlis," tambahnya.

Sehubungan itu Presiden Persatuan Akademik (PEKA) UPSI, Prof Madya Dr Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah dan Presiden Kesatuan Pegawai Am (KPA) UPSI, Saiful Lizan Mohd Lajis membuat laporan polis menyangkal bahawa persatuan mereka menyuarakan rayuan kepada menteri supaya menangguhkan lawatan ke UPSI seperti yang tersiar dalam Malaysiakini hari ini.

Untuk rekod, laporan Malaysiakini tidak ada menyebut apa-apa tentang persatuan ini, atau berhubung sebarang rayuan.

Kakitangan UPSI yang dihubungi Malaysiakini sebelum ini turut menyifatkan tindakan pihak atasan universiti terhadap pelajar-pelajar itu sebagai "tidak bertanggungjawab" kerana mereka telah mengadakan latihan seminggu sebelum program diadakan.

“Itu (latihan) menyalahi peraturan dan arahan PM. Aktiviti pelajar sepatutnya dihentikan, tetapi latihan telah diadakan sebelum ni dalam tempoh PKP,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurut memo Jabatan Canselori yang dilihat oleh Malaysiakini, bertarikh 2 April, daripada Naib Canselor kepada pensyarah universiti Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP), Prof Madya Dr Mohd Azam Sulong menyatakan permohonan persediaan persembahan FMSP, sempena lawatan Noraini.

Ironinya, tujuan lawatan Noraini itu adalah bagi mengkaji semula kesediaan pasukan petugas Covid-19 UPSI dalam usaha untuk menangani sebarang jangkitan wabak yang mungkin berlaku

PKP yang pada mulanya akan tamat pada 31 Mac, tetapi kemudian dilanjutkan sehingga 14 April diambil sebagai langkah oleh kerajaan untuk mengurangkan atau memecahkan rangkaian jangkitan Covid-19.

Sementara itu Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UPSI Mohamad Faiz Farhan Abdul Rahman pula menyuarakan rasa tidak puas hati, mendakwa artikel Malaysiakini terdahulu berniat untuk memaparkan imej menteri pengajian tinggi dan badan siswa tersebut.

Mohamad Faiz juga menjelaskan rancangan asal untuk membuat persembahan lagu berjudul Kau pejuangku, yang ditulis khas oleh UPSI melibatkan hanya tujuh pelajar dan pertunjukan yang telah dirancang itu dibatalkan sebelum lawatan menteri.

Lihat Komen
ADS