Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Uncle Kentang fitnah 2 pemancing ada rekod jenayah, kata peguam

Dakwaan aktivis sosial Kuan Chee Heng bahawa dua lelaki yang dikenakan hukuman tiga bulan penjara semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) mempunyai rekod jenayah, disifatkan peguam mereka sebagai fitnah.

Peguam Balakrishna Balaravi Pillai berkata, kedua-dua individu itu tidak meminta mahkamah menjatuhkan hukuman penjara ke atas mereka seperti didakwa Kuan yang juga dikenali sebagai Uncle Kentang.

"Saya sangat tidak puas hati dengan kenyataan dia. Saya tidak tahu dari mana beliau dapat maklumat-maklumat ini. Semuanya fitnah.

"Saya peguam dari National Legal Aid Foundation mewakili mereka semasa prosiding.

"Saya boleh sahkan bahawa mereka tidak minta untuk dipenjarakan sebaliknya merayu untuk hukuman menjalani perintah khidmat masyarakat," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut laporan Sin Chew Daily, dua individu berkenaan ditahan ketika menaiki sebuah motosikal untuk keluar memancing di Sungai Siput, Perak Khamis lalu.

Kedua-dua lelaki itu memberitahu mahkamah bahawa mereka mendapat upah harian sebagai buruh sebanyak RM100 tetapi tidak dapat bekerja disebabkan pelaksanaan PKP.

Awal hari ini, Kuan dalam hantaran Facebook berkata beliau dihubungi untuk membantu membayar denda kedua-dua lelaki itu sebanyak RM1,000 setiap seorang bagi membebaskan mereka.

Bagaimanapun, beliau tidak berbuat demikian selepas dimaklumkan oleh kenalan bahawa kedua-duanya mempunyai rekod jenayah dan mereka sendiri meminta untuk dihantar ke penjara.

Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 menghalang orang ramai daripada meninggalkan rumah, kecuali atas urusan penting.

Mereka yang disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau dipenjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Malaysiakini sudah menghubungi Kuan untuk mendapatkan reaksinya mengenai dakwaan berkenaan.

Lihat Komen
ADS